Bank Islam menamatkan sepenuhnya perkhidmatan pendaftaran haji di semua salurannya berkuat kuasa 11 September 2026. Menurut notis pengumuman Bank Islam [PDF], langkah ini susulan pelaksanaan Seruan Istito’ah (Pelan Persediaan Haji) oleh Lembaga Tabung Haji (TH).
TH mengumumkan pelan itu pada 11 September 2026, lapor Portal Berita RTM. Pelan tersebut menggantikan proses pendaftaran dan pengurusan giliran haji yang sedia ada.
Empat Saluran Bank Islam Yang Terlibat
Perkhidmatan pendaftaran haji ditamatkan di kaunter cawangan, ATM, BIMB Mobile dan BIMB Web. Bank Islam menyatakan perkhidmatan TH yang lain masih beroperasi seperti biasa. Bank itu juga memohon maaf atas kesulitan yang dialami pelanggan.
Pendaftaran Manual Akan Digantikan Dengan Sistem Automatik
Menurut soalan lazim TH, semua kaedah pendaftaran haji secara manual akan digantikan dengan sistem Kelayakan Giliran Haji Automatik. Ini merangkumi kaunter cawangan TH, Bank Rakan Strategik TH, THiJARI dan skim pendaftaran haji KWSP.
Jika anda sudah mendaftar haji dan mahu bertanya tentang giliran anda, semak melalui THiJARI atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di +603 6207 1919 atau e-mel th-info@lth.gov.my. Talian dibuka 8:00 pagi hingga 6:30 petang, Isnin hingga Ahad kecuali cuti umum di Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan.
Syarat Simpanan Minimum RM15,000 Untuk Giliran Haji
Di bawah Seruan Istito’ah, pendeposit TH yang belum menunaikan haji mendapat Kelayakan Giliran Haji Automatik apabila baki simpanan mereka mencapai minimum RM15,000. Pendeposit yang sudah menunaikan haji tidak layak mendapat giliran walaupun bakinya mencukupi.
Pendeposit sedia ada yang belum mendaftar haji akan menerima emel daripada TH apabila simpanan mereka mencukupi. Baki minimum RM15,000 perlu dikekalkan dalam tempoh sebulan dari tarikh notifikasi itu, dan seterusnya pada setiap masa untuk terus berada dalam giliran.
Bagi pendeposit yang sudah mendaftar haji, TH menyatakan konsep yang dahulu dikekalkan, berdasarkan tarikh dan masa pendaftaran haji, tertakluk kepada syarat simpanan minimum. Bagi pendeposit yang belum mendaftar dan belum mencapai RM15,000, merit giliran adalah berdasarkan tarikh mereka mencapai RM15,000 dalam akaun TH.
Bagi anda yang tidak tahu, Istito’ah bermaksud kemampuan menunaikan haji, seperti dilaporkan Bernama. TH menetapkan RM15,000 untuk mengukur kesiapsiagaan simpanan pendeposit dalam mencapai istito’ah kewangan.
Pendeposit Berdaftar Diberi Tempoh Sehingga 31 Disember 2028
Jika anda sudah mendaftar haji, TH memberi tempoh peralihan sehingga 31 Disember 2028 untuk anda mencapai simpanan minimum itu bagi mengekalkan giliran haji sedia ada. Bermula 1 Januari 2029, TH menyusun semula kelayakan giliran haji berdasarkan pematuhan syarat tersebut.
Pendeposit yang mengekalkan RM15,000 berpeluang mendapat kelayakan giliran lebih awal, menggantikan pendeposit yang tidak mencapainya menjelang 31 Disember 2028.
Bagi pendeposit yang sudah mendaftar haji, TH akan memindahkan RM1,300 ke Tabung Istito’ah dan jumlah itu perlu dikekalkan di sana. Bagi yang mendaftar melalui KWSP, jumlahnya RM5.
Kadar Penangguhan Tawaran Haji Turun Kepada 18 Peratus
Bernama melaporkan bahawa TH, dalam kenyataan pada 11 September 2026, menyatakan kos menunaikan haji ialah RM33,300 seorang. Pada tahun-tahun sebelumnya, purata 50% pendeposit yang menerima tawaran haji terpaksa menangguhkan hasrat mereka.
Baki simpanan minimum RM15,000 diperkenalkan pada 2025 sebagai syarat menerima surat tawaran haji. TH menyatakan syarat itu membantu menurunkan kadar penangguhan kepada 18%.
Tabung Istito’ah Diperkenalkan Mulai 19 September 2026
TH menyatakan Tabung Istito’ah diperkenalkan mulai 19 September 2026, lapor Malaysia Tribune. Menurut soalan lazim TH, semua pendeposit, termasuk akaun kanak-kanak, mempunyai dua tabung secara automatik dalam satu akaun, iaitu Tabung Am dan Tabung Istito’ah. Tabung Am kekal sebagai tabung utama untuk simpanan dan pengeluaran seperti biasa. Pengeluaran daripada Tabung Am boleh dibuat serta-merta, tertakluk kepada baki tersedia dalam Tabung Am.
Simpanan ke Tabung Istito’ah hanya boleh dibuat melalui pindahan dari Tabung Am, di kaunter TH atau THiJARI. Anda boleh memindahkan simpanan secara sukarela tanpa had amaun. Bagi pendeposit yang telah mencapai RM15,000, TH akan memindahkan sehingga RM14,995 ke Tabung Istito’ah secara automatik. Pendeposit yang tidak mahu menerima Kelayakan Giliran Haji Automatik boleh membuat permohonan Opt Out di kaunter TH.
Anda juga boleh menggunakan Kalkulator Haji di laman web TH untuk merancang simpanan yang diperlukan bagi mencapai sasaran anda. Maklumat bagi setiap profil pendeposit, dari BH1 hingga BH4 dan Alumni Haji, ada di halaman Seruan Istito’ah TH.
Pengeluaran Dari Tabung Istito’ah Tertakluk Tempoh 10 Hari
Untuk mengeluarkan wang dari Tabung Istito’ah, anda perlu memindahkannya ke Tabung Am dahulu. Pindahan itu tertakluk kepada tempoh 10 hari termasuk hari cuti. Bagi pendeposit yang sudah mendapat kelayakan giliran haji, jika pengeluaran menyebabkan baki Tabung Istito’ah jatuh di bawah RM14,995, kelayakan itu hilang.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
