Kesan Terhadap Kewangan Anda Jika Terlantar Di Hospital Berminggu-minggu

KONGSI

Dimasukkan ke hospital selama berminggu-minggu bukan sahaja menguji kesihatan, tetapi boleh melumpuhkan kedudukan kewangan anda dengan sekelip mata. Ketika gaji bulanan mula terganggu, ansuran pinjaman terus berjalan dan komitmen sara hidup keluarga pula semakin bertambah. Walau bagaimanapun, undang-undang di Malaysia memberi anda beberapa lapisan perlindungan, walaupun sebahagian daripadanya perlu diuruskan sendiri.

Gaji Anda Terjamin Untuk Tempoh Tertentu

Jika anda merupakan pekerja sektor swasta, Akta Kerja 1955 (Seksyen 60F) memberi anda cuti hospitalisasi sehingga 60 hari setahun dengan gaji penuh, tanpa mengira berapa lama anda sudah bekerja. Ini berbeza berbanding sijil cuti sakit biasa (MC) yang berjumlah 14, 18, atau 22 hari mengikut tempoh perkhidmatan. Cuti sakit biasa digunakan bagi rawatan ringan seperti demam, berbeza dengan cuti hospitalisasi yang memerlukan pesakit ditahan di wad untuk rawatan lanjut.

Untuk membolehkan anda menggunakan cuti hospitalisasi ini, anda atau wakil keluarga mesti memaklumkan kepada majikan dalam masa 48 jam selepas dimasukkan ke wad. Jika gagal berbuat demikian, majikan berhak untuk menganggap ketidakhadiran itu sebagai tanpa kebenaran (Absent Without Official Leave, AWOL) dan tidak membayar gaji untuk hari berkenaan. Simpan slip kemasukan dan surat discaj sebagai bukti untuk diserahkan kepada bahagian sumber manusia majikan anda. Selepas tempoh 60 hari tamat, anda mungkin terpaksa mengambil cuti tanpa gaji.

Bagi kakitangan kerajaan pula, kemudahan cuti sakit bergaji penuh tersedia sehingga 180 hari dalam setahun. Dimana 90 hari pertama diluluskan oleh Ketua Jabatan dan 90 hari tambahan oleh Ketua Setiausaha Kementerian di bawah Perintah Am Bab C. Sekiranya masih belum pulih, mereka boleh memohon cuti sakit tambahan dengan separuh gaji atau cuti sakit tanpa gaji yang disertakan elaun bantuan khas.

Kesan Kewangan Lebih Berat Untuk Pekerja Gig 

Penghantar makanan, peniaga kecil, dan pekerja bebas (freelancer) tidak mempunyai cuti sakit bergaji. Sehari tidak bekerja bermakna sehari tanpa pendapatan. Sebagai contoh, jika seorang penghantar makanan menjana RM100 sehari dengan jadual kerja dari Isnin hingga Sabtu, tempoh tiga minggu di hospital akan menyebabkan kehilangan pendapatan sebanyak RM1,800 bagi 18 hari bekerja. 

Walau bagaimanapun, golongan ini dilindungi di bawah skim LINDUNG KENDIRI oleh PERKESO. Mengikut Akta Pekerja Gig 2025, penyedia platform wajib mendaftar dan mencarum untuk pekerja mereka. Manakala peniaga kecil dan freelancer pula boleh mendaftar sendiri dengan caruman bermula serendah RM13.10 sebulan. Perlu diingatkan bahawa skim ini hanya tertumpu kepada kecederaan atau penyakit yang berkaitan dengan kerja. Untuk penyakit biasa di luar waktu kerja, anda tetap memerlukan simpanan atau insurans kesihatan sendiri. 

Skim LINDUNG KENDIRI ini sangat membantu kerana ia menanggung bayaran balik kos rawatan tertakluk kepada Akta Fi 1951, selain membayar Faedah Hilang Upaya Sementara sebanyak 80% daripada gaji harian sepanjang tempoh rawatan (antara RM30 hingga RM118.50 sehari). Malah, ia turut menyediakan kemudahan rehabilitasi secara percuma serta Elaun Layanan Sentiasa sebanyak RM500 sebulan sekiranya pesakit disahkan memerlukan penjagaan berterusan akibat kecederaan yang berkaitan dengan kerja. 

Bil Hospital dan Had Kad Perubatan Anda

Di hospital kerajaan, kos rawatan untuk warganegara adalah sangat rendah. Kadar caj wad Kelas Ketiga hanyalah RM3 sehari, wad Kelas Kedua RM25 (tanpa penyaman udara) hingga RM40 sehari, manakala wad Kelas Satu bermula dari RM45 hingga RM120 sehari mengikut bilangan katil dan kemudahan penyaman udara.

Caj rawatan harian bagi pesakit dalam untuk rawatan biasa pula adalah percuma bagi Kelas Ketiga, RM5 bagi Kelas Kedua, dan RM15 untuk Kelas Satu. Sekiranya anda terlantar di wad Kelas Kedua tanpa penyaman udara selama tiga minggu (21 hari), anggaran kos asas adalah sekitar RM630 (merangkumi RM25 caj wad dan RM5 caj rawatan harian, didarab 21 hari), tidak termasuk kos ubat khas atau prosedur lain. Jika tidak mampu membayar, anda boleh memohon pengurangan atau pengecualian bil melalui Perkhidmatan Kerja Sosial Perubatan di hospital berkenaan. 

Di hospital swasta pula, satu kemasukan wad untuk tempoh waktu yang panjang boleh mencecah kos sehingga ribuan Ringgit sehari untuk bilik sahaja, tidak termasuk kos pembedahan yang boleh mencapai puluhan ribu Ringgit. Sebagai contoh, Hospital Pantai Kuala Lumpur mengenakan kadar serendah RM105 bagi bilik empat katil untuk sehari. Jika seseorang ditahan selama tiga minggu di wad, kos wad sahaja sudah mencecah RM2,205 tidak termasuk cukai kerajaan dan caj rawatan yang lain. Jika anda mempunyai kad perubatan, semak had tahunan polisi anda serta fahami terma co-payment atau deductible (jumlah yang perlu dibayar sendiri sebelum insurans bermula). Kemasukan wad bagi tempoh yang lama berisiko untuk mengakibatkan had tahunan dalam sekali rawatan anda habis digunakan.

Apa Yang PERKESO dan KWSP Boleh Bantu

Bagi pekerja formal, skim LINDUNG 24 Jam di bawah PERKESO turut melindungi kemalangan di luar waktu kerja secara automatik. Sekiranya penyakit atau kecederaan menyebabkan anda hilang upaya kekal untuk bekerja, Skim Keilatan menyediakan Pencen Ilat bulanan antara 50% hingga 65% daripada purata gaji anda (minimum RM550 sebulan), tertakluk kepada syarat caruman dan pengesahan Jemaah Doktor.

Walau bagaimanapun, caruman LINDUNG 24 Jam yang berkuat kuasa pada 1 Jun lalu kini tidak lagi mandatori untuk pekerja tempatan. Peraturan ini berbeza bagi pekerja asing kerana skim ini kekal wajib bagi mereka. Pekerja tempatan boleh memilih untuk kekal mencarum atau tidak. Opsyen ‘opt-out’ bagi skim ini telahpun dibuka secara dalam talian.

KWSP pula membenarkan pengeluaran daripada Akaun Sejahtera untuk membiayai rawatan penyakit kritikal diri sendiri atau ahli keluarga terdekat, dengan tempoh tuntutan semula dalam masa 12 bulan dari tarikh rawatan. Selain itu, Akaun Fleksibel boleh dikeluarkan pada bila-bila masa untuk keperluan tunai segera, dengan syarat akaun anda mempunyai baki sekurang-kurangnya RM50.

Ansuran Pinjaman dan Kos Sampingan

Ketika anda di wad, komitmen seperti ansuran rumah, kereta, dan kad kredit tetap berjalan. Jika pendapatan anda terjejas, hubungi pihak bank seawal mungkin secara dalam talian untuk memohon penstrukturan semula atau penangguhan bayaran. Anda juga boleh merujuk kepada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) yang menyediakan Program Pengurusan Kredit (PPK) secara percuma.

Selain bil hospital, kos sampingan untuk keluarga yang menjaga anda juga perlu diambil kira. Sebagai gambaran, caj parkir di kebanyakan hospital di Malaysia puratanya bermula dari RM6 hingga RM20 sehari. Ditambah pula dengan kos minyak ulang-alik setiap hari dan bajet makan minum penjaga yang boleh mencecah RM30 sehari. Secara keseluruhan, ia boleh mencecah sekitar RM40 hingga RM50 sehari. Dalam tempoh tiga minggu, kos tersembunyi ini sahaja sudah mencecah hampir RM1,000 sebelum bil rawatan serta caj kemasukan ke wad dikira.

Perbezaan Kos Untuk Tempoh 3 Minggu Di Hospital Swasta dan Kerajaan

Kos / KategoriHospital Kerajaan (Kelas 3)Hospital Swasta
Caj Bilik atau WadBeberapa ratus Ringgit atau kurangRM2,200 (4 katil) hingga RM8,600+ (bilik single)
Yuran Rawatan dan UbatDisubsidi tinggi / Mampu milikBelasan hingga puluhan ribu Ringgit
Kos SampinganAnggaran RM1,000Anggaran RM1,000

Apa Yang Anda Boleh Buat Sekarang

Sebagai langkah persediaan ketika anda masih sihat, sebaiknya dapatkan polisi kad perubatan atas nama sendiri supaya perlindungan kesihatan tidak bergantung sepenuhnya kepada status pekerjaan anda.

Pada masa yang sama, bina tabung kecemasan dalam akaun mudah cair yang mampu menampung sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan perbelanjaan tetap. Pastikan juga anda mengaktifkan aplikasi i-Akaun KWSP serta sentiasa menyemak status caruman bulanan PERKESO kerana kelewatan caruman boleh menjejaskan kelayakan tuntutan. Malah bagi yang bekerja sendiri, pendaftaran skim LINDUNG KENDIRI harus dilakukan segera. 

Akhir sekali, luangkan masa untuk berbincang dengan keluarga dan maklumkan kepada mereka lokasi penyimpanan dokumen polisi serta maklumat kewangan penting, kerana merekalah yang akan menguruskan segala tuntutan dan pembayaran bil semasa anda sedang terlantar di hospital.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen