Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan membuka opsyen ‘opt-out’ bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) secara dalam talian mulai Isnin depan (13 Julai). Ia susulan keputusan Jemaah Menteri yang mengekalkan caruman wajib skim tersebut hanya untuk pekerja asing, manakala pekerja tempatan pula kini bebas memilih untuk keluar dari skim berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam satu sidang media khas hari ini (10 Julai) berkata, keputusan ini dibuat oleh Kabinet dan arahan Menteri Sumber Manusia. Sebelum ini, LINDUNG 24 Jam terpakai secara menyeluruh kepada semua pencarum.
Pekerja Asing Kekal Wajib, Pekerja Tempatan Bebas Untuk Memilih
Dengan dasar baharu ini, anda sebagai pekerja tempatan boleh memilih sama ada ingin kekal mencarum atau keluar daripada LINDUNG 24 Jam. Pekerja asing pula tiada pilihan di mana caruman mereka kekal bersifat mandatori.
Walau bagaimanapun, Dr. Mohammed Azman tetap menggalakkan pekerja tempatan untuk terus mencarum dalam LINDUNG 24 JAM. Caruman skim ini jauh lebih rendah berbanding premium insurans di pasaran, tetapi manfaatnya sama iaitu gantian pendapatan jika anda ditimpa musibah di luar waktu kerja.
Hampir RM2 Juta Sebulan Disalurkan Sejak LINDUNG 24 Jam Berkuat Kuasa
Menurutnya, mengikut statistik, dalam tempoh sebulan skim ini mula berkuat kuasa, PERKESO telah merekodkan purata sebanyak 27 kes setiap hari untuk penyaluran faedah LINDUNG 24 Jam dengan jumlah hampir RM2 juta disalurkan dalam tempoh sebulan.
“Kadar ini lebih tinggi berbanding sekitar 13 kes permohonan setiap hari yang terpaksa ditolak oleh PERKESO pada 2025 kerana dikategorikan sebagai bukan bencana kerja, sekali gus mencerminkan keberkesanan LINDUNG 24 Jam bagi menampung kelangsungan hidup pencarum dan waris.
“Justeru, faedah yang disediakan melalui caruman berkadar rendah ini tidak wajar dipandang ringan kerana ia adalah sandaran utama di saat bencana merencatkan kehidupan,” kata Dr. Mohammed Azman.
Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa perubahan tersebut boleh menjejaskan kemapanan dana serta penyaluran faedah dalam jangka panjang. PERKESO akan membuat kajian semula mekanisme pelaksanaan skim ini bersama Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menjelang hujung tahun.
Nak Opt-Out? Anda Perlu Tandatangan Perakuan Pelepasan Liabiliti
Jika anda mahu keluar daripada LINDUNG 24 Jam, anda perlu melengkapkan perakuan pelepasan liabiliti terlebih dahulu.
Perakuan ini penting kerana LINDUNG 24 Jam dikuatkuasakan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4). Tanpa perakuan tersebut, anda tetap tertakluk kepada akta ini. Dengan menandatanganinya, anda dikecualikan daripada pemakaian akta, dan ini akan menjadi asas perundangan sekiranya berlaku pertikaian pada masa hadapan, terutamanya dalam kes kemalangan di luar waktu kerja.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
