Sebagai seorang profesional muda di Malaysia, menguruskan kewangan boleh menjadi agak rumit. Anda mungkin sibuk menguruskan perbelanjaan harian, menabung untuk masa depan, dan merancang impian besar anda. Dalam kesibukan ini, hal-hal berkaitan kesihatan mungkin tidak menjadi keutamaan.
Namun, bil perubatan yang tidak dijangka boleh menggugat kestabilan kewangan anda. Di sinilah kad perubatan memainkan peranan penting. Ia adalah penyelamat kewangan yang memastikan anda boleh mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan tanpa perlu risau tentang bil yang tinggi.
Artikel ini akan menerangkan secara ringkas tentang apa itu kad perubatan, bagaimana ia berfungsi, dan cara untuk mendapatkannya.
Apa Itu Kad Perubatan?
Kad perubatan ialah kad fizikal atau digital yang dikeluarkan oleh syarikat insurans. Kad ini membolehkan anda mendapatkan rawatan perubatan tanpa perlu menggunakan wang tunai. Ia direka untuk digunakan di hospital dan klinik yang telah disenaraikan dan diluluskan oleh syarikat insurans anda yang dikenali sebagai “hospital panel” atau “klinik panel”.
Apabila anda memerlukan rawatan, anda hanya perlu menunjukkan kad ini. Pihak hospital kemudiannya akan menguruskan pembayaran terus bil perubatan anda yang layak dengan pihak syarikat insurans. Cara ini menjadikan proses pembayaran lebih mudah dan lancar, terutamanya semasa anda berada dalam situasi yang mungkin stres atau mendesak.
Adakah Kad Perubatan Sama Dengan Insurans Kesihatan?
Tidak. Kad perubatan tidak sama dengan insurans kesihatan, tetapi kedua-duanya sangat berkait rapat antara satu sama lain. Polisi insurans kesihatan anda ialah kontrak terperinci dengan syarikat insurans menjelaskan secara teliti apa yang dilindungi, manfaat, dan had-hadnya. Kad perubatan pula hanyalah alat yang disediakan di bawah polisi tersebut. Fungsinya adalah untuk memudahkan anda mendapatkan rawatan tanpa perlu membayar tunai.
Secara ringkasnya, anda boleh memiliki polisi insurans kesihatan tanpa kad, tetapi kad perubatan sentiasa terikat dengan polisi insurans yang mendasarinya.
Memulakan perjalanan kewangan sebagai profesional muda di Malaysia boleh menjadi cabaran. Antara menguruskan perbelanjaan harian, menabung untuk masa depan, dan merancang matlamat hidup yang besar, penjagaan kesihatan mungkin kelihatan seperti perkara yang remeh.
Maka, inilah sebab adanya kad perubatan yang menjadi alat penting dalam kehidupan anda. Ia berfungsi sebagai jaring keselamatan (safety net), memastikan anda mendapat akses kepada penjagaan perubatan yang diperlukan tanpa perlu menanggung beban kewangan sepenuhnya saat menerima bantuan kesihatan awal.
Apakah Perkhidmatan Yang Dilindungi Oleh Kad Perubatan?
Perkhidmatan yang dilindungi telah ditentukan oleh polisi insurans kesihatan anda. Kebanyakan pelan memberi tumpuan kepada perlindungan kos yang anda tanggung semasa dimasukkan ke hospital, tetapi pelan yang lebih komprehensif menawarkan manfaat yang lebih luas.
Perlindungan biasanya termasuklah:
- Rawatan Pesakit Dalam (In-patient Treatment): Ini adalah perlindungan yang paling biasa, merangkumi kos bilik, pembedahan, penginapan di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan perkhidmatan perubatan lain yang diperlukan semasa dimasukkan ke hospital.
- Rawatan Pesakit Luar (Outpatient Treatment): Beberapa polisi yang komprehensif juga mungkin melindungi perkhidmatan pesakit luar tertentu. Ini boleh merangkumi konsultasi sebelum kemasukan ke hospital, rawatan selepas keluar hospital, pembedahan dalam tempoh sehari, dan rawatan jangka panjang seperti dialisis buah pinggang atau terapi kanser.
Sentiasa semak dokumen polisi anda untuk mengetahui lebih lanjut tentang apa yang dilindungi dan hadnya.
Siapa Yang Layak Untuk Mendapatkan Kad Perubatan?
Kelayakan untuk mendapatkan kad perubatan ditetapkan oleh penyedia insurans berdasarkan beberapa kriteria dan kebiasannya ia adalah umur, taraf pemastautin, dan status kesihatan. Di Malaysia, kebanyakan syarikat insurans menawarkan pelan untuk individu seawal 14 hari sehingga umur 60 atau 70 tahun.
Pemohon biasanya perlu menjadi warganegara Malaysia atau penduduk tetap, walaupun sesetengah pelan juga tersedia untuk warga asing. Anda juga perlu melengkapkan pengisytiharan kesihatan dan dalam beberapa kes anda perlu menjalani pemeriksaan perubatan.
Macam Mana Cara Untuk Saya Mohon Kad Perubatan Ini?
Nak mohon kad perubatan? Senang je! Berikut adalah beberapa langkah mudah:
- Semak dan Bandingkan: Mulakan dengan menyelidik pelan yang sesuai dengan keperluan dan bajet anda. Cara terbaik untuk melakukannya adalah dengan membandingkan pelbagai pilihan kad perubatan dan insurans di RinggitPlus.
- Hubungi Ejen atau Syarikat Insurans: Selepas selesai memilih pelan, hubungi ejen insurans atau syarikat secara langsung untuk memulakan permohonan.
- Lengkapkan Dokumen: Anda perlu mengisi borang cadangan dan mengemukakan pengisytiharan kesihatan.
- Penilaian Permohonan: Syarikat insurans akan menilai permohonan anda melalui proses yang dipanggil “underwriting”. Mereka mungkin akan meminta maklumat tambahan atau pemeriksaan perubatan.
- Pengeluaran Polisi: Setelah permohonan anda diluluskan dan premium pertama dibayar, polisi anda akan dikeluarkan dan kad perubatan anda akan dihantar kepada anda.
Apa Dokumen Yang Diperlukan Untuk Mohon Kad Perubatan?
Anda perlu menyediakan beberapa dokumen termasuklah:
- Salinan MyKad (untuk warganegara Malaysia) atau pasport (untuk bukan warganegara).
- Borang cadangan yang telah diisi sepenuhnya.
- Pengisytiharan atau soal selidik kesihatan yang terperinci.
- Laporan perubatan daripada doktor, jika diminta oleh syarikat insurans.
Berapa Lama Masa Yang Perlu Saya Tunggu Untuk Dapatkan Kad Perubatan?
Masa yang diperlukan dari proses permohonan sehingga menerima kad anda biasanya mengambil masa beberapa minggu. Proses “underwriting” boleh mengambil masa dari beberapa hari hingga beberapa minggu.
Setelah permohonan anda diluluskan, kad perubatan fizikal anda akan dicetak dan dihantar ke alamat anda. Biasanya ia akan sampai dalam masa satu hingga dua minggu.
Adakah Terdapat Kos Untuk Menggunakan Kad Perubatan?
Walaupun anda tidak perlu bayar apa-apa untuk menunjukkan kad perubatan anda di hospital, anda tetap perlu membayar kos-kos lain untuk polisi insurans itu sendiri. Penting untuk anda memahami kos ini supaya tidak terkejut di kemudian hari. Kos utamanya adalah:
- Premium: Bayaran berkala (bulanan, suku tahunan, atau tahunan) yang anda buat untuk memastikan perlindungan anda kekal aktif.
- Deductible: Jumlah tetap yang perlu anda bayar sebelum syarikat insurans mula menanggung bakinya.
- Co-insurance atau Co-payment: Selaras dengan garis panduan terbaharu dari Bank Negara Malaysia yang bertujuan untuk menjadikan insurans lebih mampu milik, syarikat insurans dan pengendali takaful kini menawarkan pilihan bayaran bersama (co-payment) di mana anda berkongsi peratusan bil akhir dengan syarikat insurans.
Adakah Semua Hospital dan Klinik Menerima Kad Perubatan?
Tidak, kad perubatan hanya boleh digunakan untuk perkhidmatan tanpa tunai di rangkaian hospital dan klinik panel yang diluluskan oleh syarikat insurans. Sebelum anda mendapatkan rawatan, adalah sangat penting untuk mengesahkan bahawa kemudahan tersebut berada dalam senarai panel syarikat insurans anda. Anda boleh semak senarai ini di laman web atau aplikasi mudah alih mereka.
Apa Yang Perlu Saya Lakukan Jika Kad Perubatan Hilang?
Jika kad anda hilang atau dicuri, anda harus melaporkannya kepada syarikat insurans anda dengan segera. Mereka akan menyekat kad yang hilang dan mengeluarkan kad ganti termasuk sedikit bayaran. Perlindungan insurans anda kekal aktif walaupun tanpa kad fizikal. Anda masih boleh mendapatkan rawatan di hospital panel dengan memberikan nombor polisi dan MyKad anda untuk pengesahan.
Kesimpulan

Secara ringkas, kad perubatan hanya berfungsi sebagai alat untuk membolehkan anda mendapatkan rawatan tanpa perlu membayar tunai. Kekuatan kad ini sebenarnya datang daripada polisi insurans kesihatan yang anda beli.
Oleh sebab setiap polisi mempunyai butiran yang berbeza dari segi perlindungan, kos, dan syarat kelayakan, anda perlu memahami semua terma sebelum membuat pilihan.
Dengan begitu banyak pilihan di pasaran, langkah terbaik adalah untuk membandingkan pelbagai pelan mengikut keperluan dan bajet anda. Menggunakan platform perbandingan kewangan yang lengkap seperti RinggitPlus dapat membantu anda membuat keputusan yang tepat dan bijak untuk perlindungan kesihatan anda.
