Kos Yang Perlu Dikira Sebelum Anda Membeli Di Temu

KONGSI

Platform rentas sempadan seperti Temu dan Pinduoduo semakin menjadi pilihan pembeli di Malaysia yang mencari barang pada harga lebih rendah, menurut laporan The Star. Namun harga pada halaman produk belum tentu jumlah yang anda bayar. Cukai jualan, serta kos jika barang perlu dipulangkan, boleh menambah perbelanjaan anda.

Cukai Jualan LVG 10% Untuk Barang Import RM500 Ke Bawah

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), barang dari luar negara bernilai RM500 ke bawah yang dijual dalam talian kepada pengguna di Malaysia dikenakan cukai jualan sebanyak 10% sejak 1 Januari 2024. Cukai ini dikenali sebagai cukai jualan barang bernilai rendah (LVG), dan tidak dikenakan ke atas rokok, produk tembakau, minuman keras dan rokok paip. 

Berdasarkan soalan lazim Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), cukai ini dikenakan ke atas nilai jualan barang, tidak termasuk sebarang cukai, duti, yuran atau caj lain seperti kos penghantaran dan insurans. 

Semakan RinggitPlus di laman Temu Malaysia pada 28 September 2026 mendapati cukai jualan dipaparkan sebagai baris berasingan di halaman pembayaran, bukan termasuk dalam harga barang. Bagi satu barang berharga RM14.73 selepas diskaun, cukai jualan sebanyak RM1.47 ditambah, menjadikan jumlah pesanan RM16.20. Untuk membandingkan harga dengan kedai tempatan, gunakan jumlah akhir ini, bukan harga barang semata-mata.

Polisi pemulangan Temu pula menyatakan kos penghantaran asal dan cukai import tidak dikembalikan jika pemulangan bukan disebabkan kesalahan Temu atau penjual. Polisi itu tidak menjelaskan sama ada cukai import merujuk kepada cukai jualan di halaman pembayaran, jadi semak dengan khidmat pelanggan Temu sebelum memulangkan barang. 

Tawaran Barang Percuma Boleh Menaikkan Bil Anda

Aina Ahmad, 32, eksekutif pemasaran dari Shah Alam, kini hanya sesekali membeli di platform rentas sempadan. Dahulu, dia membeli kerana tertarik dengan diskaun dan tawaran barang percuma. Ada tawaran yang meminta pembeli memasukkan enam atau tujuh barang ke dalam troli, tetapi hanya membayar untuk satu atau dua.

Menurut Aina, tawaran itu terasa seperti untung, namun bilnya masih boleh mencecah RM100 hingga RM200. Dia melihatnya sebagai gimik jualan supaya orang membeli lebih banyak. 

Tempoh Pemulangan Mungkin Bermula Sebelum Barang Sampai

Seorang suri rumah berusia 55 tahun yang mahu dikenali sebagai Loi memberitahu The Star bahawa sesetengah barang yang dibelinya berhenti berfungsi selepas sebulan. Dia juga tidak kisah jika penghantaran mengambil masa lebih sebulan.

Di Temu, tempoh pemulangan dikira dari tarikh pembelian, bukan dari tarikh barang sampai. Bagi barang elektronik, tempohnya boleh jadi lebih singkat. Jika situasi seperti Loi berlaku pada barang elektronik dengan tempoh pemulangan 45 hari, iaitu penghantaran mengambil masa sebulan dan barang rosak selepas sebulan digunakan, anda sudah berada di hari ke-60 dan tempoh pemulangan itu sudah tamat. Bagi barang dengan tempoh pemulangan 90 hari, barang yang sama masih berada dalam tempoh pemulangan. 

Polisi Temu turut menyatakan ia tidak menghalang hak anda di bawah undang-undang perlindungan pengguna yang terpakai. Jika tempoh pemulangan sudah tamat tetapi barang anda mempunyai kecacatan, Temu meminta anda menghubungi khidmat pelanggannya.

Cara Pembeli Mengehadkan Risiko Barang Rosak Atau Tidak Berbaloi

Hannah Toh, 28, eksekutif pentadbiran yang membeli di Temu sekali atau dua kali sebulan, mengelak barang elektronik yang mahal. Dia hanya membeli barang kecil seperti barangan rumah, aksesori telefon, alatan dapur dan alat tulis, kerana kerugiannya tidak besar jika barang RM10 atau RM20 perlu diganti. Untuk barang mahal, dia lebih rela membeli daripada penjual tempatan yang boleh dihubungi jika ada masalah. 

Loi pula menghadkan pembeliannya kepada RM200. Dia masih akan membeli di platform ini, tetapi perkakas rumah hanya akan dibelinya di kedai tempatan. 

Ringkasan Polisi Pemulangan Dan Bayaran Balik Temu 

Jadual berikut meringkaskan polisi pemulangan dan bayaran balik Temu untuk Malaysia yang disemak pada 25 September 2026. Temu boleh mengubah polisinya pada bila-bila masa, dan polisi platform lain seperti Pinduoduo mungkin berbeza.

PerkaraPolisi Temu
Tempoh pemulangan90 hari dari tarikh pembelian bagi kebanyakan barang
Kebanyakan barang elektronik45, 60 atau 90 hari dari tarikh pembelian, bergantung pada penjual
Tempoh menghantar bungkusanDalam 14 hari selepas memohon pemulangan
Pemulangan pertama setiap pesananTiada caj penghantaran dalam tempoh pemulangan, dengan beberapa pengecualian
Pemulangan kedua dan seterusnya daripada pesanan yang samaRM8.50, ditolak daripada bayaran balik
Kos yang tidak dikembalikan jika bukan salah Temu atau penjualKos penghantaran asal, cukai import (istilah polisi Temu), insurans jika ada, serta caj tandatangan semasa penghantaran jika ada dan barang berjaya dihantar
Potongan bayaran balikJika barang sudah digunakan, rosak, tidak lengkap atau terjejas semasa penghantaran pemulangan kerana bungkusan tidak sempurna, dan bukan disebabkan Temu atau penjual
Barang besar atau beratBoleh dihantar sendiri dengan kos pembeli, kemudian hubungi Temu untuk menuntut. Dibayar balik dalam bentuk kredit selepas barang lulus pemeriksaan kualiti
Barang yang tidak boleh dipulangkanPakaian yang sudah dipakai, dibasuh, rosak selepas diterima atau dibuang tag atau pelekat kebersihannya, barangan runcit dan makanan, sesetengah barang kesihatan dan penjagaan diri, sesetengah hadiah percuma, sesetengah produk tersuai dan sesetengah pesanan pakaian dalam 
Bila bayaran balik diprosesKebiasaannya selepas barang yang dipulangkan diterima dan lulus pemeriksaan kualiti
Kredit TemuTiada tarikh luput, dan biasanya tidak boleh dibatalkan selepas diproses

Tempoh Bayaran Balik Temu Mengikut Kaedah Pembayaran

Kaedah bayaran balikTempoh selepas bayaran balik diproses
Kredit TemuSerta-merta
Apple Pay1 hingga 5 hari bekerja
Kad5 hingga 14 hari bekerja (kadangkala sehingga 30 hari)
Google Pay1 hingga 5 hari bekerja
Atome1 hingga 15 hari bekerja
Touch ‘n Go eWallet3 hingga 5 hari bekerja
Perbankan dalam talian (FPX)1 hingga 5 hari bekerja
GrabPay1 hingga 2 hari bekerja
DuitNow1 hingga 3 hari bekerja
BoostPay5 hingga 14 hari bekerja

Perkara Yang Perlu Disemak Sebelum Membeli Di Platform Luar Negara

Sebelum membayar, semak semula troli anda dan keluarkan barang yang ditambah hanya untuk melayakkan tawaran. Baca juga polisi pemulangan platform dan halaman produk untuk memastikan barang yang anda beli boleh dipulangkan. Jika anda bercadang membayar dengan kad kredit, bandingkan dahulu kad kredit untuk pembelian dalam talian. 

Dalam polisi itu, lihat bila tempoh pemulangan bermula dan sama ada barang elektronik mempunyai tempoh yang berbeza. Ketahui juga siapa yang menanggung kos penghantaran pemulangan, serta sama ada kos penghantaran asal dan cukai akan dikembalikan jika anda memulangkan barang.

Baca penerangan produk dengan teliti sebelum membeli, termasuk saiz dan jenis barang yang dijual. Hannah memberitahu The Star bahawa barang yang diterimanya kadangkala sedikit berbeza daripada gambar. Aina pula pernah menyangka dia membeli mainan miniatur, tetapi yang diterima hanyalah gambar mainan itu.

Apabila memohon bayaran balik di Temu, anda boleh memilih antara kredit Temu dan kaedah pembayaran asal. Kredit Temu biasanya tidak boleh ditunaikan dan hanya boleh dibelanjakan di Temu, jadi pilih kaedah pembayaran asal jika anda mahu wang kembali ke akaun. Selepas barang sampai, periksa barang dengan segera dan simpan kod bar setiap barang. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen