Sekarang ini, memang tengah musim ramai orang berkahwin. Kadang-kadang sampai tiga jemputan kita dapat dalam sebulan. Walaupun kita pun turut tumpang gembira untuk kawan-kawan atau rakan sekerja, poket kita pun kena ada strategi juga nak “survive.”
Satu soalan yang semua orang selalu fikir: “Berapa sebenarnya nilai ang pow atau duit hadiah yang patut saya bagi?” Jawapannya bergantung kepada tempat majlis diadakan, seberapa rapat anda dengan pengantin, dan sedikit sebanyak tentang adab budaya kita.
Panduan ini akan memberikan anggaran jumlah supaya anda boleh ketepikan sedikit wang tunai tanpa perlu ikat perut pada hujung bulan.
Logik Asas: Tampung Kos Untuk Tempat Duduk Anda
Prinsip asas untuk pemberian ang pow atau duit hadiah kahwin di Malaysia sebenarnya mudah sahaja. Pastikan kehadiran anda tidak menyebabkan pasangan pengantin mengalami kerugian. Majlis kahwin zaman sekarang memerlukan kos yang tinggi, jadi sebaiknya jumlah yang kita beri itu cukup untuk menampung kos makanan dan tempat duduk kita sendiri.
Cara kiraannya cukup senang. Anda boleh Google lokasi majlis tersebut dan cari kadar pakej katering atau dewan mereka. Kebiasaannya, pihak hotel atau dewan akan kenakan caj mengikut meja (untuk 10 orang). Jadi, ambil jumlah harga semeja itu dan bahagikan kepada 10 untuk dapatkan kos bagi seorang individu. Itulah jumlah minimum untuk anda bermula.
Sebagai contoh, jika majlis dibuat di Mandarin Oriental, kosnya mungkin sekitar RM3,000 semeja. Bahagi dengan 10, maksudnya setiap tetamu sekurang-kurangnya perlu memberi RM300 supaya pasangan pengantin tidak “rugi.” Kalau kenduri di dewan komuniti pula mungkin kosnya RM500 semeja, jadi jumlahnya RM50 seorang.
Tetapi ini adalah kadar asas untuk kenalan biasa. Untuk ahli keluarga atau kawan rapat, biasanya kita beri lebih sedikit sebagai tanda penghargaan terhadap hubungan akrab tersebut.
Adab Budaya yang Anda Perlu Tahu
Setiap komuniti di Malaysia mempunyai etika tersendiri dalam pemberian hadiah perkahwinan. Memahami budaya ini bukan sahaja menunjukkan rasa hormat, malah membuktikan anda seorang tetamu yang prihatin.
Perkahwinan Kaum Cina: Kepentingan Simbolik Nombor
Wang tunai adalah pemberian yang biasa dalam majlis perkahwinan kaum Cina, dan jumlah yang anda beri membawa maksud yang mendalam. Elakkan sebarang jumlah yang mempunyai angka 4 (seperti RM40, RM140, atau RM400) kerana sebutannya kedengaran seperti perkataan “mati” dalam dialek Cina.
Sebaliknya, angka 8 sangat digemari kerana melambangkan kemewahan, manakala angka 9 melambangkan panjang umur dan hubungan yang kekal lama. Jumlah seperti RM80, RM180, RM280, RM380, RM800, atau RM880 adalah pilihan yang sangat baik. Angka seperti RM88 atau RM288 juga sangat popular kerana “double 8” itu menggandakan simbol kekayaan.
Satu tips praktikal: pastikan anda tulis nama penuh di belakang sampul merah tersebut. Ini memudahkan pengantin untuk rekod simpanan mereka dan urusan menghantar kad ucapan terima kasih nanti. Gunakan nama penuh anda seperti di dalam kad pengenalan supaya tidak timbul kekeliruan atau tertukar dengan tetamu lain.
Perkahwinan Kaum Melayu: Adab Bersalaman
Untuk kenduri kahwin orang Melayu, wang tunai biasanya diberikan semasa sesi bersalaman dengan tuan rumah atau pengantin. Tradisi ini dikenali sebagai “salam keruk,” di mana nota wang yang dilipat diserahkan secara tertib dari tapak tangan ke tapak tangan. Namun, sekarang sudah banyak majlis yang menyediakan tabung khas jika anda lebih selesa dengan cara tersebut.
Walaupun wang tunai menjadi pilihan utama untuk kenduri, pemberian hadiah fizikal juga dialu-alukan jika anda lebih suka memberikan sesuatu yang boleh dilihat dengan mata kasar dan disimpan.
Perkahwinan Kaum India: Jangan Beri Jumlah Genap
Peraturan utama untuk majlis perkahwinan bagi kaum India: jangan sesekali memberikan jumlah yang berakhir dengan angka kosong. Jumlah yang genap melambangkan noktah atau pengakhiran iaitu sesuatu yang kita mahu elakkan dalam sambutan permulaan hidup baru.
Sentiasa tambah RM1 pada jumlah yang anda rancang. Contohnya, beri RM101 dan bukannya RM100, atau RM251 dan bukannya RM250. Wang tambahan itu melambangkan kesinambungan, berkat yang berterusan, dan permulaan kitaran baru. Pasangan pengantin pasti akan perasan dan menghargai kepekaan budaya anda ini.
Panduan Harga Hadiah Kahwin Mengikut Lokasi Majlis Perkahwinan 2026
Kadar ang pow atau duit hadiah kahwin biasanya berubah mengikut lokasi majlis kerana kos yang ditanggung pengantin juga berbeza-beza. Berikut adalah kadar pasaran yang dijangkakan untuk tahun 2026:
Hotel Mewah Lima Bintang (Grand Hyatt, St. Regis, Mandarin Oriental, Four Seasons, Ritz-Carlton)
- Anggaran: RM250 hingga RM350 seorang
- Lokasi sebegini biasanya mengenakan caj antara RM2,500 hingga RM3,500 untuk satu meja. Jika anda menghadiri majlis di lokasi ini, pengantin sekurang-kurangnya membelanjakan RM250 untuk tempat duduk anda dan itu belum dikira kos fotografi, hiburan, dekorasi, dan lain-lain lagi.
Hotel Standard dan Restoran Terkenal (Sunway Resort, Concorde Hotel, Le Meridien, Grand Imperial, Oversea, Wan Li)
- Anggaran: RM150 hingga RM200 seorang
- Lokasi tahap pertengahan ini biasanya mengenakan caj RM1,500 hingga RM2,000 semeja. Ini adalah pilihan popular untuk rakan sekerja dan saudara-mara bagi pasangan yang mahukan kualiti yang baik tanpa bajet yang terlalu mewah.
Dewan Komuniti, Taman, dan Kenduri Kampung (Dewan, Taman, Kenduri, Buffet Ballroom Hotel)
- Anggaran: RM50 hingga RM100 seorang
- Kos untuk lokasi ini biasanya sekitar RM500 hingga RM1,000 semeja, bergantung kepada kualiti katering dan lokasi. Ia sering menjadi pilihan untuk jemputan tetamu yang ramai atau kenduri waktu siang yang lebih mengutamakan kehadiran tetamu berbanding kemewahan.
Satu perkara penting yang perlu diingat iaitu jumlah ini adalah untuk seorang sahaja dan, bukannya untuk satu pasangan. Jika anda membawa pasangan atau teman, anda perlu gandakan jumlah tersebut untuk menampung kos kedua-dua tempat duduk.
Tahap Keakraban Hubungan Anda Mengubah Cara Kiraan Hadiah Duit Kahwin Kepada Pengantin
Panduan berdasarkan lokasi tadi lebih sesuai untuk hubungan yang biasa-biasa seperti rakan sekerja, kawan universiti yang anda jumpa setahun sekali, pasangan sepupu, jiran tetangga, atau kawan satu gim yang baru nak mendirikan rumah tangga.
Namun, bagi ahli keluarga terdekat dan kawan baik sendiri, segala pengiraan tadi biasanya tidak lagi terpakai. Mereka adalah insan-insan yang anda sayangi dan merupakan sebahagian daripada kisah hidup anda. Berikanlah jumlah yang dirasakan sesuai untuk meraikan hari bahagia mereka. Jika anda pernah hadir ke konvokesyen mereka, pernah menangis bersama ketika putus cinta, atau merekalah orang yang anda cari ketika kecemasan, biarlah nilai hadiah anda mencerminkan keakraban hubungan tersebut.
Tetapi, ada satu peraturan yang jauh lebih penting daripada apa-apa jumlah wang iaitu jangan sesekali membebankan diri sendiri demi memberi hadiah kahwin. Jika keadaan kewangan anda sedang sempit disebabkan masalah pekerjaan, kos perubatan, atau faktor kehidupan yang lain, berilah sekadar yang anda mampu dengan ikhlas. Kawan sejati akan lebih menghargai kehadiran anda di hari bahagia mereka berbanding wang di dalam sampul.
Jika anda sedang bergelut dengan kewangan dan berasa segan untuk datang dengan tangan kosong, jumlah yang lebih kecil (sekitar RM50 ke RM80) sebenarnya sudah memadai dan sangat dihargai. Pasangan tersebut menjemput anda kerana mereka mahu anda ada bersama, bukannya untuk “mengutip dana” daripada rakan yang sedang dalam kesusahan.
Jawapan Bagi Situasi “Awkward” Di Majlis Perkahwinan Seseorang
Kalau tak dapat datang, kena bagi hadiah juga ke?
Jika anda memang tak dapat hadir tetapi ingin menghargai jemputan tersebut, bagi hadiah saguhati (biasanya 50% daripada kadar lokasi majlis) adalah satu tindakan yang sangat berbudi bahasa. Anda boleh berikan lebih awal atau titipkan melalui rakan yang turut hadir ke majlis tersebut.
Walau bagaimanapun, ini bukanlah perkara wajib. Jika anda tidak hadir dan tidak mempunyai hubungan yang rapat dengan pasangan tersebut, ucapan tahniah yang ikhlas pun sudah memadai. Jangan rasa tertekan untuk menghantar duit bagi setiap jemputan yang anda terima.
Tak apa ke kalau bawa “Plus One”?
Anda mestilah menampung kos tempat duduk pasangan anda juga. Pihak pengantin membayar untuk dua hidangan dan dua kerusi, jadi ang pow anda perlulah mencerminkan kehadiran dua orang. Jika kadar lokasi mencadangkan RM150 seorang, maka sampul anda perlulah berisi RM300 apabila anda membawa seseorang.
Ini terpakai tidak kira sama ada anda membawa suami atau isteri, pasangan, kawan, atau rakan sekerja. Dua kerusi bermaksud dua sumbangan.
Boleh guna DuitNow atau e-wallet?
Boleh sangat. Sekarang sudah tahun 2026, dan pindahan digital sangat diterima sebagai hadiah perkahwinan. Gunakan DuitNow, perbankan dalam talian, atau Touch ‘n Go e-wallet jika itu lebih memudahkan anda berbanding membawa tunai. Cuma pastikan rujukan anda ditulis dengan jelas seperti “Hadiah Kahwin” atau “Tahniah [Nama Pasangan]” supaya mereka tahu dari mana datangnya pindahan tersebut.
Malah, sesetengah pasangan siap sedia menyertakan butiran bank atau kod QR pada kad jemputan mereka sekarang. Jika mereka sudah memudahkan dengan menyediakan cara digital, mereka pasti tidak akan tersinggung jika anda menggunakan pilihan tersebut.
Strategi Bajet: Tabung Untuk Musim Kenduri Kahwin
Bagi rakyat Malaysia yang berusia lewat 20-an atau awal 30-an, menghadiri tiga hingga lima majlis perkahwinan dalam setahun adalah perkara biasa. Daripada anda pening kepala setiap kali kad jemputan sampai, apa kata sediakan satu “Tabung Sosial” khas dalam akaun bank anda.
Menyimpan hanya RM100 sebulan akan memberikan anda RM1,200 setahun. Jumlah ini cukup untuk menampung sekitar empat hingga lima ang pow majlis tahap sederhana (RM200–RM250 setiap satu), dengan sedikit baki simpanan jika ada jemputan ke hotel lima bintang. Jika anda biasanya menerima lebih banyak jemputan, anda boleh laraskan simpanan bulanan mengikut keperluan.
Kebanyakan bank sekarang membolehkan anda buat tabung simpanan berasingan dalam satu akaun. Namakan sahaja tabung tersebut sebagai “Wedding 2026” supaya anda tahu duit itu memang dikhaskan untuk kenduri kahwin.
Jika anda merancang untuk membeli hadiah fizikal atau perlu menempah tiket perjalanan untuk menghadiri majlis perkahwinan mereka, gunakan kad kredit yang menawarkan pulangan tunai atau mata ganjaran penerbangan.
Sebagai contoh, Alliance Bank Visa Infinite memberikan 8X mata ganjaran untuk pembelian dalam talian, manakala Kad Maybank 2 pula menawarkan pulangan tunai untuk perbelanjaan harian. Alang-alang anda memang perlu berbelanja, lebih baik dapatkan sedikit pulangan. Anda boleh bandingkan manfaat kad kredit yang ada untuk cari pilihan terbaik yang sesuai dengan corak perbelanjaan anda.
Beri Duit Hadiah Kahwin Secara Strategik
Pemberian ang pow atau duit hadiah kahwin sebenarnya mengikut logik yang mengimbangi antara budi bahasa kewangan dan nilai hubungan. Sebagai panduan asas, cuba untuk menampung kos tempat duduk anda, hormati etika budaya pasangan pengantin, dan tingkatkan jumlahnya jika hubungan anda dengan mereka sangat akrab.
Paling penting, berilah mengikut kemampuan sebenar anda. Mana-mana pasangan yang menghargai anda pasti tidak mahu anda merasa stres atau terbeban hanya disebabkan oleh majlis sambutan mereka.
Kongsi panduan ini dengan rakan-rakan anda supaya tiada lagi kes “terlepas pandang” seperti memberi RM50 di hotel St. Regis, atau rasa panik sama ada RM250 itu terlalu banyak untuk majlis di ballroom hotel. Segalanya jadi lebih mudah apabila kita semua mempunyai kefahaman yang sama.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tips kewangan dan kemas kini terkini.
