Patutkah Anda Mempercayai ChatGPT Untuk Menguruskan Wang Anda?

KONGSI

Ramai yang suka bertanya kepada ChatGPT tentang hal kewangan dan ianya sama seperti mencari simptom penyakit di Google. Tidak dinafikan perkara ini dilakukan oleh kebanyakan individu, tetapi tak ramai yang mahu mengaku secara terbuka. Tinjauan menunjukkan bahawa lebih separuh daripada golongan dewasa di Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) pernah menggunakan bot sembang (chatbot) AI untuk mendapatkan panduan kewangan, iaitu angka yang berkemungkinan sudah mengatasi jumlah mereka yang berunding dengan penasihat manusia. 

Bagi menguji sama ada amalan ini berbahaya atau tidak, para penyelidik dari MIT Sloan dan Stanford telah melakukan satu simulasi dengan menggunakan situasi apabila orang ramai mengikut nasihat kewangan daripada bot sembang untuk merancang pengurusan wang bagi jangka masa bertahun-tahun. Hasilnya, nasihat yang diberikan ternyata lebih baik daripada yang dijangkakan, walaupun kualitinya sangat bergantung pada cara soalan ditanyakan.

Kaedah Yang Digunakan Oleh Penyelidik

Kajian [PDF] yang diterbitkan pada Mac 2026 ini menggunakan pendekatan yang unik. Daripada merangka soalan ujian sendiri, para penyelidik meminta 1,000 orang dewasa menulis soalan (prompt) sebenar yang menggambarkan situasi kewangan mereka selain meminta nasihat perbelanjaan serta pelaburan. Soalan-soalan tersebut kemudiannya dimasukkan ke dalam ChatGPT (GPT-5.2) dan Google Gemini. Penyelidik mensimulasikan kesan terhadap kekayaan setiap individu dari umur 22 tahun hingga fasa persaraan sekiranya nasihat tersebut diikuti setiap tahun yang merangkumi fasa kenaikan gaji, kehilangan pekerjaan, hinggalah kejatuhan pasaran.

Kelebihan Nasihat Dari Bot Sembang

Bagi sebahagian besar responden, mereka mempercayai bahawa nasihat AI memberikan hasil kewangan yang lebih baik berbanding mengekalkan tabiat lama mereka. Model-model AI ini secara konsisten menyarankan agar pengguna membina dana kecemasan, melabur dalam pelbagai dana berbanding saham individu, serta mengurangkan pegangan berisiko seiring peningkatan umur. Lebih daripada 99% individu dalam simulasi akhirnya melabur dalam pasaran saham, dengan hanya sebahagian kecil membuat pelaburan ke dalam emas, kripto, atau saham tunggal. Secara umumnya, ini adalah nasihat sama yang akan diberikan oleh penasihat kewangan yang bertauliah, beza bot sembang tidak mengenakan sebarang bayaran perkhidmatan.

“Kami agak terkejut dengan kualiti nasihat yang diberikan,” kata Taha Choukhmane, profesor MIT Sloan yang juga rakan pengarang kajian tersebut. Penyelidik pada awalnya bimbang jika model AI sekadar memberikan nasihat berdasarkan apa yang mahu didengar oleh pengguna, namun tanggapan itu terbukti tidak benar.

Kelemahan Bot Sembang

Walau bagaimanapun, nasihat AI kurang memuaskan apabila melibatkan peristiwa penting dalam kehidupan. Sebagai contoh, apabila individu dalam simulasi kehilangan pekerjaan, bot sembang menyarankan pemotongan perbelanjaan secara drastik, sedangkan individu tersebut mempunyai dana kecemasan yang sememangnya disimpan khas untuk situasi sedemikian. 

AI terlalu bergantung pada formula umum, seperti menyimpan peratusan tetap daripada pendapatan, berbanding menyesuaikan cadangan mengikut perubahan keadaan. Model ini juga hampir tidak pernah menyarankan pengguna untuk mengimbangi semula portfolio pelaburan, menyebabkan pelaburan terbiar mengikut turun naik pasaran. Malah apabila memasuki fasa persaraan, AI menyebabkan ramai yang berbelanja terlalu sedikit, sehingga wang yang sepatutnya boleh dibelanjakan dengan selamat tidak digunakan langsung. 

Pengaruh Soalan Terhadap Kualiti Nasihat

Kualiti nasihat meningkat secara ketara apabila penyelidik menggantikan soalan biasa dengan ‘prompt’ terperinci dan berstruktur yang menyatakan umur, pendapatan, status pekerjaan, dan matlamat kewangan. Seperti yang dinyatakan oleh Choukhmane, “Orang awam tidak menulis soalan mereka seperti mana seorang profesor kewangan melakukannya.”

Soalan yang ditulis oleh golongan wanita serta individu yang mempunyai tahap celik kewangan yang rendah menghasilkan nasihat yang membawa kepada jumlah kekayaan 4% hingga 5% lebih rendah menjelang persaraan. Kira-kira dua pertiga daripada jurang kekurangan dana tersebut berpunca daripada cara soalan dikemukakan. Manakala baki satu pertiga lagi berpunca daripada model AI itu sendiri, yang memberikan nasihat berbeza bagi soalan yang sama bergantung pada profil penulisnya. Namun begitu, para penyelidik menjelaskan bahawa kecenderungan yang sama turut berlaku dalam kalangan penasihat kewangan manusia, jadi ia bukanlah masalah unik AI semata-mata.

Panduan Bertanya Kepada ChatGPT Mengenai Kewangan

Berikan maklumat yang sama seperti yang anda berikan kepada penasihat kewangan manusia. Nyatakan umur, gaji bersih, komitmen bulanan seperti pinjaman kereta, PTPTN, atau sewa, baki KWSP, jumlah simpanan, dan bilangan tanggungan. Soalan seperti “Saya berumur 31 tahun, berpendapatan bersih RM5,200 sebulan, membayar RM750 untuk pinjaman kereta dan RM1,400 untuk sewa kediaman di Cheras, serta mempunyai simpanan RM8,000” akan menghasilkan nasihat yang jauh lebih berguna berbanding soalan ringkas seperti “di mana saya patut melabur RM200 sebulan?”. Selepas itu, minta AI untuk menilai risiko atau perkara yang boleh berlaku sekiranya anda mengikut nasihatnya sendiri.

Bagaimanapun, anda perlu berhati-hati sebelum menggunakan ChatGPT sebagai perancang kewangan peribadi anda. Pertama sekali, ini ialah kajian dari Amerika Syarikat yang menggunakan sistem percukaian dan akaun persaraan mereka, jadi sebarang panduan berkenaan pelepasan cukai, KWSP, atau produk kewangan tempatan perlu disemak semula dengan sumber sah di Malaysia. Kedua, ChatGPT tidak mempunyai lesen sah untuk memberikan nasihat kewangan di Malaysia. Untuk keputusan besar seperti pinjaman perumahan atau pelan persaraan, perkhidmatan perancang kewangan bertauliah masih merupakan pelaburan yang berbaloi untuk anda mendapatkan nasihat mengenai kewangan.

Jika digunakan secara betul, bot sembang tetap mempunyai peranannya yang tersendiri. Para penyelidik sendiri menyarankan agar AI dijadikan alat untuk membina pengetahuan kewangan dan menguji pemikiran kendiri, bukannya sebagai penasihat yang perlu dituruti secara membuta tuli. AI menguasai jawapan berpandukan buku teks, ditawarkan secara percuma, dan tidak seperti bapa saudara anda, AI tidak akan mengulang petua pelaburannya pada setiap kali majlis makan malam keluarga.

Mahu lebih banyak perkongsian dan tip kewangan? Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen