Terdapat tiga jenis pemberi loan yang wujud bila anda cari duit tunai segera iaitu bank yang diselia Bank Negara Malaysia (BNM), syarikat pinjaman wang berlesen di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), dan ah long yang tak diselia sesiapa pun.
Ramai anggap dua yang terakhir ini sama je, sedangkan bezanya boleh tentukan sama ada anda berurusan dengan syarikat yang sah, atau dengan pihak yang boleh ugut dan sita barang anda tanpa sebarang perlindungan undang-undang.
Apa Beza Loan Bank Dengan Pinjaman Berlesen?
Beza utama terletak pada siapa yang selia. Bank diselia BNM, syarikat pinjaman wang berlesen diselia KPKT di bawah Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (Akta 400). Ah long? Tak diselia sesiapa, sebab mereka operate tanpa lesen langsung.
Bank layan pemohon dengan rekod kredit bersih dan gaji tetap yang boleh disahkan, lepas tu bagi loan lebih besar dengan kadar lebih rendah. Pinjaman berlesen pula isi jurang untuk orang yang bank reject, iaitu peminjam yang gagal syarat bank tapi masih layak dari segi undang-undang. Sebab tu undang-undang benarkan mereka kenakan kadar lebih tinggi atas risiko tambahan ni, tapi undang-undang sendiri yang tetapkan had maksimum kadar tu. Syarikat berlesen tiada kuasa nak naikkan kadar ikut suka.
Ah long pula tidak termasuk dalam mana-mana kategori ini. Apa-apa ‘perjanjian’ dengan ah long adalah tidak sah di sisi undang-undang dan menjalankan perniagaan pinjaman tanpa lesen itu sendiri sudah pun menjadi satu kesalahan di bawah Akta 400. Cara mereka mengutip hutang seperti ugutan sehingga penyitaan barangan secara paksa, ia merupakan satu jenayah berasingan yang boleh disaman di bawah Kanun Keseksaan.
Pinjaman Berlesen Ini Scam Ke Tak?
Tak. Syarikat pinjaman wang berlesen sah di sisi undang-undang selagi mereka pegang lesen KPKT yang aktif. Punca kekeliruan datang daripada segelintir pihak tak bertanggungjawab yang menyamar jadi pemberi loan berlesen, walhal tiada lesen langsung.
Pinjaman berlesen yang sah takkan minta anda bayar apa-apa ‘yuran pemprosesan’ sebelum duit loan masuk akaun. Mereka bagi perjanjian bertulis yang nyatakan kadar faedah, tempoh, dan semua caj sebelum anda tandatangan, dan mereka operate dari alamat berdaftar yang boleh disahkan, bukan sekadar nombor WhatsApp.
Kalau pihak yang hubungi anda tunjuk corak sebaliknya, elak terus. Antara tanda paling jelas: minta bayaran dulu sebelum loan lulus, tahan dokumen peribadi macam MyKad atau kad ATM sebagai cagaran, atau guna ugutan dan gertakan untuk kutip bayaran.
Macam Mana Nak Tahu Pemberi Pinjaman Itu Betul-Betul Berlesen Ke Tak?
Anda boleh membuat semakan melalui aplikasi i-KrediKom yang dilancarkan pada 5 April 2019. Aplikasi ini boleh dimuat turun ke telefon pintar melalui Google Play bagi pengguna Android atau App Store untuk iOS.
Untuk makluman anda, nombor lesen yang sebenar bermula dengan “WL” (Waran Lesen). Kalau syarikat itu hanya ada permit iklan, nombornya bermula dengan “WP” (Waran Permit), itu adalah tidak sama dengan lesen memberi pinjaman.
Semak juga tarikh tamat lesen dan alamat operasi berdaftar kerana lesen yang luput bermakna syarikat tersebut tidak lagi dibenarkan memberi pinjaman secara sah, walaupun pernah memiliki lesen dahulu. Sekiranya terdapat isu semasa urusan, anda boleh membuat aduan terus kepada KPKT melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
Antara Bank dan Pinjaman Berlesen, Kadar Mana Lebih Rendah?
Bank biasanya menawarkan kadar faedah yang lebih rendah. Kadar pinjaman peribadi bank adalah sekitar 4% hingga 15% setahun, bergantung pada bank dan profil kredit anda. Pinjaman berlesen pula dihadkan oleh undang-undang pada maksimum 18% setahun untuk pinjaman tanpa cagaran, dan tidak melebihi 12% setahun untuk pinjaman bercagar, mengikut had siling yang ditetapkan KPKT.
Kadar siling 18% atau 12% ini dikira secara kadar rata (flat rate), jadi kos sebenar (Kadar Faedah Efektif/Effective Interest Rate (EIR) boleh menjadi lebih tinggi daripada angka tersebut, sentiasa semak EIR sebelum bandingkan terus dengan kadar bank.
| Ciri | Bank | Pinjaman Berlesen |
| Kadar faedah tahunan | Sekitar 4% hingga 15%, bergantung profil kredit | Dihadkan maksimum 18% (tanpa cagaran) atau 12% (bercagar) |
| Jumlah pinjaman biasa | RM10,000 hingga RM100,000 ke atas | RM500 hingga RM10,000 |
| Kelayakan asas | Rekod CCRIS dan laporan kredit yang bersih, gaji tetap boleh disahkan | Lebih fleksibel, sesuai pendapatan gig atau rekod kredit nipis |
Kadar rendah bank tak bermakna bebas caj sepenuhnya. Sama macam bank, pinjaman berlesen pun boleh kenakan duti setem, biasanya 0.5% daripada jumlah pinjaman atau minimum RM10 (ikut mana lagi tinggi), plus caj bayaran lewat kalau ansuran tertunggak. Jenis caj yang dibenarkan pun dah ditetapkan di bawah Seksyen 23 Akta 400. Nak tahu apa yang dimaksudkan dengan tiada yuran tersembunyi? Semua caj kena nyata bertulis dalam perjanjian sebelum anda tandatangan.
Kenapa Masih Ramai Pilih Pinjaman Berlesen Walaupun Kadar Lebih Tinggi?
Berkemungkinan kerana bank reject permohonan pinjaman mereka. Peminjam dengan Nisbah Hutang Kepada Pendapatan (Debt Service Ratio, DSR) yang terlalu tinggi dan ketiadaan bukti pendapatan yang stabil seperti pekerja gig atau pekerja bebas tanpa slip gaji tetap, atau keperluan tunai segera untuk kecemasan sering gagal syarat kelulusan bank walaupun sebenarnya mampu membayar balik pinjaman.
Dengan pinjaman berlesen, anda boleh dapat kelulusan lebih pantas dengan syarat lebih longgar, tapi kena bayar kos lagi tinggi berbanding bank, dan jumlah loan yang ditawarkan pun tak besar mana. Untuk kecemasan jangka pendek, ni masih pilihan sah dan diselia undang-undang. Untuk keperluan jangka panjang atau jumlah besar, kos tambahan tu elok difikir betul-betul dulu sebelum ambil.
CCRIS Dengan CTOS Ini Sama Ke Tak?
Tidak sama. CCRIS ialah pangkalan data kredit milik BNM yang mempunyai rekod sejarah pinjaman dan pembayaran anda merentasi semua bank dan institusi kewangan berlesen. CTOS pula merupakan salah satu daripada beberapa agensi pelaporan kredit swasta, bersama Experian dan lain-lain, yang berdaftar di bawah Akta Agensi Pelaporan Kredit 2010.
Agensi pelaporan kredit seperti CTOS juga tidak sama dengan skor kredit. Agensi ini menghasilkan laporan kredit dan skor kredit hanya merupakan salah satu output daripada laporan tersebut. Ramai yang keliru kerana nama kedua-dua ini sering muncul serentak apabila bercerita mengenai rekod pinjaman. Kalau anda ingin memahami lebih mendalam, kami ada panduan lengkap cara untuk menyemak CCRIS anda secara dalam talian, penjelasan tentang agensi pelaporan kredit seperti CTOS dan Experian, serta panduan memahami skor kredit anda.
Loan Lulus Dalam 24 Jam Ada Yuran Tersembunyi Ke?
Ia bergantung kepada syarikat pinjaman wang berlesen itu sendiri. Tetapi pinjaman berlesen yang sah wajib mendedahkan semua caj bertulis sebelum wang dikreditkan, walaupun proses kelulusan pantas. Produk seperti Emicro, Tambadana dan AdaCash yang boleh dimohon melalui RinggitPlus contohnya menyatakan kadar faedah, duti setem dan caj bayaran lewat dalam terma dan syarat, sebelum anda menerima tawaran itu.
Yang menentukan sah atau tidak sesuatu pinjaman ialah lesen KPKT dan pendedahan caj bertulis, bukanlah melalui tahap kelajuan permohonan diluluskan. Sekiranya platform atau ejen tidak boleh menunjukkan salah satu daripada dua perkara ini, lebih baik elakkan tidak kiralah berapa pantas mereka menjanjikan kelulusan permohonan pinjaman anda.
Bila Loan Dianggap Munasabah?
Loan munasabah untuk keperluan mendesak macam kecemasan perubatan atau baiki kereta. Ia jadi masalah bila loan yang anda mohon tu digunakan untuk settle hutang sedia ada yang dah tak mampu dibayar lagi.
Kalau anda dah dikejar penagih hutang, atau ansuran bulanan dah makan lebih separuh pendapatan bersih anda, ambil loan baru cuma tambah beban. Dalam situasi macam ni, hubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), agensi di bawah BNM yang bagi khidmat kaunseling kewangan dan Program Pengurusan Kredit secara percuma, termasuk rundingan dengan bank untuk susun semula ansuran ikut kemampuan sebenar.
Bank Kekal Pilihan Pertama Jika Anda Layak
Pada pendapat kami, bank kekal menjadi pilihan pertama sekiranya anda layak kerana kadar faedah yang dikenakan adalah lebih rendah dan penyeliaan BNM memberi lapisan perlindungan tambahan kepada peminjam. Sementara itu, pinjaman berlesen wajar dipertimbangkan hanya selepas anda mengesahkan bahawa lesen KPKT mereka masih aktif dan semua caj didedahkan bertulis sebelum wang dikreditkan. Ah long pula bukanlah pilihan ketiga. Ia merupakan satu jenayah dan tiada ‘perjanjian’ dengan ah long boleh dikuatkuasakan untuk melindungi anda.
RinggitPlus membandingkan kadar dan syarat pinjaman peribadi bank dan pinjaman wang berlesen pada Ogos 2026 untuk penulisan artikel ini.
Jika anda sedang dalam perancangan untuk mendapatkan pinjaman peribadi, anda boleh pilih dan mohon di RinggitPlus.
Mahu lebih banyak perkongsian dan tip kewangan? Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
