Cara Memfailkan Cukai Pendapatan Jika Bertukar Atau Kehilangan Pekerjaan Pada Tahun Lalu
Author Avatar

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa beberapa tahun belakangan ini merupakan masa yang sukar bagi ramai orang, berikutan pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Walaupun Malaysia telah mula pulih daripada impak ekonomi akibat pandemik tersebut, sesetengah orang masih terpaksa mencari penggajian baru atau menganggur pada tahun lepas.

Dengan musim cukai ini, beberapa soalan yang kerap ditanya oleh golongan ini ialah: apakah proses pemfailan cukai sekarang? Adakah mereka perlu mengambil langkah tambahan atau mengisi borang tambahan? Adakah individu yang menganggur masih perlu memfailkan cukai mereka jika jumlah pendapatan mereka untuk tahun 2022 kurang daripada jumlah pendapatan yang ditetapkan iaitu RM34,000?

Kami akan membincangkan perkara ini, serta perkara-perkara lain yang berkaitan dalam artikel ini.

Jika anda bertukar kerja pada tahun sebelumnya

Proses pemfailan cukai untuk seseorang yang telah bertukar kerja pada tahun sebelumnya tidaklah terlalu berbeza daripada prosedur biasa. Ia melibatkan beberapa pengiraan tambahan dan borang EA, tetapi langkah selebihnya adalah hampir sama.

Proses yang sama, tetapi dengan borang EA tambahan

Untuk memfail cukai anda apabila mempunyai lebih daripada seorang majikan dalam tahun taksiran, anda perlu menambah jumlah pendapatan yang diperoleh daripada kesemua majikan anda dalam satu borang BE. Cara paling efisyen untuk melakukan ini adalah dengan merujuk pada borang EA yang diperoleh daripada majikan-majikan anda yang terdahulu dan semasa. Semua majikan terikat dengan undang-undang untuk memberikan borang EA kepada pekerja mereka – sama ada pekerja semasa atau bekas pekerja – jadi pastikan anda mendapatkan borang anda!

Borang EA anda akan memberikan ringkasan maklumat yang diperlukan untuk memfailkan cukai anda dengan lancar. Maklumat yang diberikan adalah termasuk jumlah pendapatan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), serta potongan cukai bulanan (PCB). Apabila memfailkan borang BE, anda cuma perlu tambahkan jumlah keseluruhan kategori masing-masing daripada kedua-kedua borang EA yang anda peroleh. Pastikan juga anda mengemas kini nombor cukai majikan anda (Nombor E) mengikut nombor majikan semasa anda.

Bagaimana jika anda tidak mendapat borang EA anda daripada majikan yang terdahulu?

Anda masih boleh memfailkan cukai anda, tetapi mungkin mengambil masa yang lebih lama. Tanpa borang EA daripada majikan terdahulu, anda akan perlu berusaha sendiri untuk mencari semua maklumat yang diperlukan melalui slip gaji, penyata KWSP dan penyata PERKESO anda dalam tahun taksiran. Proses ini boleh memakan masa yang agak lama, dan mungkin juga akan ada kesalahan dalam pengiraan, jadi cuba sedaya upaya dapatkan borang EA melalui majikan terdahulu sebelum cuba mengira secara manual! 

Sekiranya anda benar-benar tiada pilihan, jumlah pendapatan anda, caruman KWSP dan PERKESO, serta potongan cukai bulanan anda (MTD/PCB) sebenarnya boleh dijumpai dalam slip gaji anda. Kumpulkan semua slip gaji anda daripada majikan-majikan anda dalam tahun taksiran, dan himpunkan semua angka tersebut. Ini mungkin menjadi lebih rumit jika anda bekerja dengan banyak majikan dalam tahun taksiran; jadi pastikan berhati-hati ketika membuat kiraan ini. 

Anda juga boleh menyemak jumlah caruman KWSP dengan merujuk penyata KWSP secara dalam talian, serta caruman PERKESO anda melalui akaun iPERKESO. 

Jika anda telah diberhentikan kerja atau menganggur pada tahun sebelumnya

Sebagai peraturan asas, mana-mana individu yang mempunyai pendapatan tahunan minimum RM34,000 selepas potongan KWSP mesti memfailkan cukai mereka. Tetapi bagaimana jika anda diberhentikan atau menganggur semasa tahun taksiran, dan pendapatan anda tidak mencapai jumlah yang diperlukan? Adakah anda masih perlu memfailkan cukai anda?

Jawapannya: Ya. Anda mesti memfailkan cukai anda setiap tahun setelah anda mendaftarkan fail cukai anda, walaupun anda tidak memperoleh jumlah pendapatan yang diperlukan. Anda juga perlu memfailkan cukai anda kerana pampasan pemberhentian atau pengangguran anda boleh dianggap sebagai pendapatan bercukai – di mana sesetengahnya layak untuk dikecualikan cukai.

Pampasan untuk kehilangan pekerjaan

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), pampasan bagi kehilangan pekerjaan ditakrifkan sebagai bayaran yang dibuat oleh majikan kepada pekerja mereka apabila mereka diberhentikan kerja. Contoh pampasan untuk kehilangan pekerjaan termasuk:

  • Gaji atau upah sebagai ganti notis
  • Pampasan untuk pelanggaran kontrak perkhidmatan
  • Bayaran untuk mendapatkan pelepasan daripada liabiliti luar jangka di bawah kontrak perkhidmatan
  • Bayaran ex-gratia atau kontrak, seperti bayaran untuk redundansi atau pemecatan (seperti Skim Pemisahan Sukarela/Voluntary Separation Scheme (VSS))
  • Bayaran untuk menyekat pekerja daripada mencari jenis pekerjaan yang serupa selepas penamatan dengan majikan semasa

LHDN juga menyatakan bahawa sebahagian daripada pampasan ini dikecualikan daripada cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Khususnya, pampasan berkenaan boleh dikecualikan mengikut keadaan-keadaan berikut:

  • Pengecualian penuh: Pampasan dibuat atas sebab kehilangan pekerjaan akibat kesihatan yang tidak baik
  • Pengecualian separa: Pengecualian RM10,000 untuk setiap tahun genap perkhidmatan (12 bulan penuh) dengan majikan yang sama atau dengan syarikat dalam kumpulan yang sama

Bagi Tahun Taksiran 2020 dan 2021, kerajaan telah meningkatkan had pengecualian untuk pampasan kehilangan kerja kepada RM20,000 bagi setiap tahun genap perkhidmatan. Namun, pengecualian ini tidak dilanjutkan untuk tahun 2022, maka hadnya kini ditetapkan semula pada RM10,000.

Memfailkan cukai sebagai individu yang menganggur

Proses pemfailan cukai bagi individu yang menganggur juga tidak begitu berbeza berbanding proses biasa. Anda perlu memasukkan jumlah pampasan daripada pekerjaan anda sebagai sebahagian daripada pendapatan berkanun, bersama-sama dengan pendapatan anda yang lain. Pastikan anda menolak dahulu pengecualian yang dibenarkan. Setelah itu, anda boleh terus mengisi borang BE anda seperti biasa.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pastikan anda menyusun dan menyimpan semua dokumen yang diperlukan untuk membuktikan bahawa bayaran sekaligus yang anda terima adalah pampasan anda untuk kehilangan pekerjaan. Selain daripada surat penamatan dan kontrak, anda juga mungkin ingin menyimpan slip gaji dan borang EA anda sebagai bukti tempoh pekerjaan anda dengan bekas majikan anda.

***

Dengan ini, kami berharap artikel kami dapat membantu anda dalam memfailkan cukai anda dalam situasi-situasi di atas. Lihat juga halaman Cukai Pendapatan kami untuk lebih kandungan berkaitan cukai, seperti Panduan Cukai Pendapatan Tahun Taksiran 2022, pelepasan cukai yang boleh anda manfaatkan (untuk tahun taksiran 2022), serta cara memfailkan cukai buat kali pertama

5 1 vote
Article Rating

SHARE

Comments (0)

Subscribe
Notify of

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments
Top Bahasa Malaysia Articles
Post Image
Panduan Memfail Cukai Pendapatan Individu 2023 (Tahun Taksiran 2022)
Alex Cheong Pui Yin
- 20th April 2023
Musim memfail cukai pendapatan kini kembali, dan semestinya kami kembali semula dengan panduan tahunan ini untuk memudahkan proses […]
Post Image
Cara Menuntut Pelepasan Cukai Pendapatan Untuk Premium Insurans Anda
ringgitplus
- 19th April 2023
Terdapat beberapa jenis pelepasan cukai yang boleh anda tuntut untuk mengurangkan pendapatan bercukai anda, lalu membayar cukai yang […]
Post Image
Kriteria Untuk Memilih Rumah Idaman Keluarga
ringgitplus
- 25th August 2023
Pembelian rumah bukan perkara kecil, bahkan boleh dianggap antara keputusan paling besar yang kita akan lakukan dalam hidup […]
Post Image
#JimatWangBersamaHann: Berhenti Membayar Faedah Kad Kredit Dan Jimat Ribuan Ringgit
ringgitplus
- 22nd May 2023
(Baca dalam Bahasa Inggeris di sini.) Saya selalu menasihatkan keluarga serta kenalan saya untuk beralih daripada want tunai […]

Related articles

Related Posts Image
Related Posts Image

Kriteria Untuk Memilih Rumah Idaman Keluarga

Jacie Tan -
2nd February 2021
Related Posts Image
Related Posts Image