Potongan Gaji KWSP dan PERKESO: Apakah Sebenarnya Manfaat dan Perlindungan Yang Anda Dapat?

KONGSI

Setiap bulan, anda pasti akan nampak dua potongan utama dalam slip gaji anda iaitu KWSP dan PERKESO. Kebanyakan pekerja di Malaysia tahu bahawa KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) adalah untuk simpanan persaraan, tetapi ramai yang masih keliru tentang PERKESO (Pertubuhan Keselamatan Sosial atau SOCSO). Lebih mengejutkan, ramai pekerja tidak sedar bahawa mereka sebenarnya layak menuntut pelbagai manfaat yang selama ini mereka bayar.

Caruman KWSP anda membina simpanan persaraan yang boleh anda akses pada usia 55 tahun. Manakala caruman PERKESO pula adalah perlindungan insurans yang mungkin anda perlukan pada masa hadapan. Perbezaan ini sangat penting kerana anda mungkin layak menuntut manfaat ribuan ringgit yang anda telah bayar!

Apakah Perbezaan Antara KWSP dan PERKESO (SOCSO)?

KWSP beroperasi sebagai akaun simpanan persaraan yang wajib anda carumkan. Setiap ringgit yang anda carumkan, termasuk sumbangan dari majikan akan masuk ke dalam akaun peribadi anda dan menjana dividen setiap tahun. Wang ini adalah milik anda dan boleh dikeluarkan mengikut syarat-syarat tertentu.

PERKESO pula berfungsi seperti insurans. Caruman dari anda dan majikan disatukan dalam satu tabung yang akan membayar manfaat apabila pekerja menghadapi situasi tertentu seperti kemalangan, hilang upaya, atau kematian. Anda tidak boleh mengeluarkan caruman PERKESO seperti KWSP. Namun, apabila anda perlu menuntut (untuk kemalangan, hilang upaya, atau kematian), manfaat yang diterima selalunya jauh melebihi jumlah yang anda carumkan.

Apa Yang Sebenarnya Dilindungi Oleh Caruman KWSP Anda?

Caruman KWSP anda dibahagikan kepada tiga akaun dengan tujuan yang berbeza:

  1. Akaun 1 (Akaun Persaraan):
  • Menyimpan 75% daripada caruman bulanan anda dan dikhususkan untuk persaraan.
  • Anda hanya boleh mengakses wang ini sepenuhnya pada umur 55 tahun, walaupun anda dibenarkan membuat pengeluaran separa pada umur 50 tahun.
  1. Akaun 2 (Akaun Sejahtera):
  • Menerima 25% daripada caruman anda.
  • Akaun ini lebih fleksibel. Anda boleh mengeluarkan wang untuk tujuan pembelian rumah, pendidikan, rawatan perubatan, dan menunaikan haji sebelum mencapai umur persaraan.
  1. Akaun 3 (Akaun Fleksibel):
  • Diperkenalkan pada tahun 2024 dan menerima 10% daripada jumlah caruman anda.
  • Ia membenarkan pengeluaran terhad untuk kecemasan sambil melindungi simpanan persaraan teras anda.

Kadar caruman semasa adalah 11% daripada pekerja yang berpendapatan melebihi RM5,000 sebulan, manakala majikan menambah sebanyak 12% atau 13% bergantung pada kategori gaji anda. Contohnya, jika anda  berpendapatan RM4,000 sebulan, ini bermakna RM440 dari gaji anda + RM520 dari majikan akan dikreditkan ke akaun KWSP anda setiap bulan.

Apakah Perlindungan PERKESO Yang Ramai Pekerja Terlepas Pandang?

PERKESO menyediakan dua jenis perlindungan utama yang diaktifkan dalam situasi yang berbeza.

1. Skim Bencana Pekerjaan (Employment Injury Scheme)

  • Melindungi anda jika anda cedera semasa bekerja atau ketika berulang-alik ke/dari tempat kerja.
  • Ini termasuk kemalangan semasa dalam perjalanan, kecederaan semasa rehat makan tengah hari, dan penyakit berkaitan kerja seperti carpal tunnel syndrome (sakit pergelangan tangan) atau hilang pendengaran akibat bunyi bising kilang.
  • Anda dilindungi selagi kecederaan berlaku semasa anda mencarum.

2. Skim Keilatan (Invalidity Scheme)

  • Melindungi anda jika anda hilang upaya disebabkan oleh apa-apa punca, bukan hanya kemalangan kerja.
  • Ini mungkin kemalangan kereta pada hujung minggu, strok, diagnosis kanser, atau sebarang penyakit serius yang menghalang anda daripada bekerja secara kekal.
  • Perlindungan ini hanya berterusan selagi anda masih aktif bekerja dan mencarum. Sebaik sahaja anda berhenti kerja atau mencapai usia 60 tahun, perlindungan ini akan berakhir.

Perlindungan PERKESO sangat komprehensif. Ia meliputi perbelanjaan perubatan, bayaran hilang upaya sementara, manfaat hilang upaya kekal, kos pemulihan, manfaat pengebumian, dan manfaat tanggungan.

Caruman Ringkas: Bagi pekerja bawah 60 tahun, majikan anda mencarum 1.75% (1.25% untuk Skim Bencana Kerja + 0.5% untuk Skim Hilang Upaya), manakala anda mencarum 0.5% (untuk Skim Hilang Upaya).

Bolehkah Tuntutan PERKESO Dibuat Untuk Masalah Kesihatan Mental (Mental Health)?

Ya, anda boleh menuntut manfaat PERKESO untuk keadaan kesihatan mental, tetapi syaratnya agak ketat.

Keadaan kesihatan mental boleh melayakkan anda mendapat manfaat di bawah Skim Hilang Upaya PERKESO jika ia menghalang anda daripada menjana sekurang-kurangnya satu pertiga (1/3) daripada pendapatan anda yang terdahulu. PERKESO meluluskan kira-kira 400 hingga 500 tuntutan penyakit mental setiap tahun, meliputi gangguan seperti skizofrenia, kemurungan major, gangguan bipolar, dan keresahan teruk.

Syarat Utama:

  • Anda mesti membuktikan hilang upaya kekal seperti yang ditakrifkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja.
  • Ini bermakna anda telah kehilangan upaya untuk menjana pendapatan dalam semua bentuk pekerjaan, bukan hanya pekerjaan semasa anda.
  • Anda perlu tunjukkan yang anda telah menjalani rawatan yang menyeluruh terlebih dahulu (termasuk dokumentasi komprehensif daripada pakar psikiatri).

Lembaga Perubatan PERKESO akan menilai sama ada keadaan anda adalah kekal dan menjejaskan semua jenis kerja. Jika anda memerlukan sokongan, talian bantuan seperti Talian HEAL (15555) boleh memberikan panduan.

Mengapa Caruman PERKESO Saya Berbeza Dengan Rakan Sekerja Lain?

Caruman PERKESO anda bergantung pada kategori gaji bulanan anda, dan bukannya peratusan tepat gaji anda.

PERKESO menggunakan 39 kategori caruman, bermula daripada gaji di bawah RM30 sebulan hingga melebihi RM5,000 sebulan. Setiap kategori mempunyai amaun caruman yang tetap, jadi:

  • Dua rakan sekerja yang masing-masing bergaji RM3,450 dan RM3,750 kedua-duanya termasuk dalam kategori yang sama dan membayar caruman PERKESO yang sama, walaupun gaji sebenar mereka berbeza.

Caruman majikan anda juga berbeza mengikut kategori gaji anda tetapi mengikut jadual kadar yang berasingan. Sebagai contoh, untuk gaji dalam kategori RM3,500, anda mungkin membayar RM24.50, manakala majikan anda membayar RM62.05.

Apa Manfaat PERKESO Lain Yang Kebanyakan Pekerja Malaysia Tidak Tahu Wujud?

Lima manfaat PERKESO ini sering tidak digunakan kerana ramai pekerja tidak tahu ia wujud:

ManfaatPerincian Perlindungan
1. Faedah Hilang Upaya Sementara (Temporary Disablement Benefit)Membayar anda 80% daripada anggapan upah harian jika anda tidak boleh bekerja akibat kemalangan atau penyakit. Boleh berterusan sehingga dua tahun. Ramai yang tidak tuntut apabila cuti sakit mereka melebihi had syarikat.
2. Elaun Layanan Sentiasa (Constant Attendance Allowance)Tambahan RM500 sebulan jika hilang upaya dan anda memerlukan seseorang untuk menjaga anda secara berterusan.
3. Pemulihan Fizikal atau Vokasional (Rehabilitation)PERKESO akan membayar kos latihan semula, kursus, dan peralatan jika kecederaan anda menghalang anda daripada kembali ke pekerjaan terdahulu.
4. Faedah Pengkebumian (Funeral Benefit)Membayar RM3,000 kepada waris anda sebaik sahaja kematian anda, berasingan daripada manfaat lain.
5. Faedah Tanggungan (Dependents’ Benefits)Menyediakan bayaran bulanan kepada pasangan (40% daripada gaji bulanan) dan anak-anak (20% setiap anak) jika anda meninggal dunia atau hilang upaya kekal, sehingga maksimum 90% secara keseluruhan.

Cara Untuk Tuntut: Segera maklumkan majikan anda sejurus selepas kecederaan atau diagnosis. Majikan mesti melaporkan kecederaan tempat kerja dalam tempoh 48 jam menggunakan Borang 21. Anda juga boleh memohon melalui Portal ASSIST PERKESO.

Apa Jadi Kepada Caruman KWSP dan PERKESO Bila Anda Hilang Kerja?

Untuk KWSP

  • Simpanan KWSP kekal milik anda. Tiada apa-apa yang berubah walaupun anda meletak jawatan, diberhentikan, atau ditamatkan perkhidmatan.
  • Baki terkumpul terus menjana dividen.
  • Anda boleh memohon pengeluaran pengangguran daripada Akaun 1 di bawah syarat-syarat tertentu. Anda perlu menyemak laman web KWSP atau skim Sistem Insurans Pekerjaan (EIS).

Untuk PERKESO

  • Perlindungan Skim Bencana Kerja anda masih berkuat kuasa untuk kemalangan berkaitan kerja yang berlaku semasa anda bekerja dan mencarum.
  • Walaubagaimanapun, Perlindungan Skim Hilang Upaya anda, akan berhenti sebaik sahaja anda berhenti bekerja. Ini bermakna, jika anda kehilangan upaya semasa menganggur, anda tidak boleh menuntut manfaat di bawah skim ini. Anda mesti aktif bekerja dan mencarum kepada PERKESO untuk berkelayakan.
  • Jika anda diberhentikan (retrenched) atau hilang pekerjaan bukan atas kesalahan sendiri, anda mungkin layak mendapat sokongan kewangan sementara di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) PERKESO.

Cara Terbaik Untuk Memanfaatkan Caruman KWSP dan PERKESO Anda

Mengetahui akan manfaat ini sahaja tidak mencukupi. Anda perlu tahu cara memanfaatkannya! Kebanyakan tuntutan tertangguh atau ditolak kerana pekerja tidak menyimpan rekod yang betul atau tidak tahu cara mengakses akaun mereka.

  1. Semak Slip Gaji: Sahkan caruman KWSP dan PERKESO anda setiap bulan sepadan dengan kategori gaji anda. Kesilapan bayaran boleh menjejaskan manfaat masa depan anda.
  2. Daftar Di Portal: Daftar untuk i-Akaun KWSP dan Portal ASSIST PERKESO dengan segera. Platform ini membolehkan anda menyemak sejarah caruman, memohon manfaat, dan menjejaki tuntutan di mana sahaja anda berada.
  3. Muat Turun Aplikasi: Muat turun aplikasi mudah alih PERKESO dan semak manfaat apa yang anda layak sekarang, sebelum kecemasan berlaku.
  4. Laporkan Segera: Laporkan kecederaan atau penyakit berkaitan kerja dengan serta-merta. Tuntutan PERKESO memerlukan pemberitahuan segera.
  5. Simpan Dokumen: Simpan dokumentasi perubatan anda secara teratur (sama ada untuk pengeluaran perubatan KWSP atau tuntutan hilang upaya PERKESO). Dokumentasi yang betul akan mempercepatkan kelulusan.

Tuntut Hak Milik Anda

Jangan biarkan potongan KWSP dan PERKESO anda terbiar begitu sahaja. Dengan mengetahui apa yang anda ada dan cara mengaksesnya boleh membuat perbezaan besar apabila sesuatu yang tidak dijangka berlaku!

Nak lebih banyak tip kewangan praktikal? Sertai Saluran WhatsApp RinggitPlus kami.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments