Tiada seorang pun yang dapat lari daripada merasai tekanan di dalam hidup kerana iasudah menjadi sebahagian daripada lumrah kehidupan. Namun, setiap orang pasti mempunyai cara yang berbeza-beza untuk melepaskan stres yang dihadapi seperti pergi bercuti, bersukan, beli-belah atau ‘food hunting’.
Namun, lain pula caranya dengan sebahagian generasi muda atau Gen Z di Korea Selatan di mana mereka lebih gemar melepaskan tekanan hidup dengan cara membuat pesanan makanan atau barangan di dalam sebuah aplikasi penghantaran secara palsu tanpa perlu mengeluarkan wang.
Itulah konsep ‘laman dopamin’ iaitu laman web yang direka untuk memberi rangsangan segera tanpa perlu melakukan perkara sebenar.
Aplikasi Penghantaran Yang Tak Boleh Pesan Apa-apa
Seorang pemuda yang dikenali sebagai Kim berusia 25 tahun mengakui dia berasa puas apabila dapat ‘mencuci mata’ dalam sebuah aplikasi penghantaran makanan palsu pada pukul 2 pagi.
Laman penghantaran makanan palsu ini nampak dan terasa seperti aplikasi sebenar. Ada senarai menu, anggaran masa penghantaran dan penilaian bintang. Satu-satunya ciri yang tiada adalah butang untuk menghantar pesanan. Bagi Kim, laman ini menjadi cara untuk menahan diri dari berbelanja pada lewat malam.
“Banyak kali saya teringin nak beli makanan tapi kena tahan diri sebab nak jimat duit. Laman ni terasa macam aplikasi betul, jadi saya terus sahaja tengok-tengok. Tak jadi pesan apa-apa, tapi rasa sedikit lega,” katanya.
Aplikasi ini juga tidak mempunyai transaksi dan caj penghantaran, yang ada hanyalah kepuasan melayari menu tanpa memberi kesan terhadap dompet pengguna.
‘Smoke Break’ Tapi Tanpa Rokok?
Selain aplikasi penghantaran palsu, ada satu lagi laman yang berfungsi lebih kurang sama cuma kali ini ia bertemakan ‘smoke break’
Pengguna yang melayari laman itu hanya perlu tekan butang ‘mula’ dan boleh lihat siapa lagi yang sedang ‘berehat’ pada masa yang sama. Pengguna tanpa nama akan saling meninggalkan mesej, namun tiada siapa yang kenal antara satu sama lain.
Seorang pelajar universiti bernama Lee yang berusia 24 tahun sering memasuki laman terbabit ketika musim peperiksaan atau semasa hilang fokus.
“Saya tak merokok pun, tapi rasa macam sedang berehat dengan seseorang. Pelik tapi selesa. Bila masuk laman ni masa belajar sorang-sorang, rasa macam orang lain pun tengah berjuang juga,” kata Lee.
Apa Kata Pakar Tentang Laman Dopamin ini?
Profesor di Universiti Jungwon, Kim Heon-sik berkata, trend ini berkait dengan budaya rangsangan berterusan yang tumbuh dalam kalangan anak muda.
Menurutnya, fenomena ini boleh dibandingkan dengan mukbang, iaitu konten di mana penonton tengok orang makan dalam kuantiti besar sebagai cara memuaskan selera tanpa perlu makan sendiri.
Jelasnya lagi, laman-laman ini mencerminkan keinginan untuk rasa kepuasan yang sama tanpa perlu benar-benar melakukannya dalam kehidupan sebenar. Ia juga menggambarkan keletihan dan kebimbangan yang semakin dirasai anak muda hari ini.
Generasi muda kini lebih selesa dengan hubungan dalam talian yang tidak memerlukan sebarang komitmen. Bagi mereka, perasaan bahawa ada orang lain di sana pada masa yang sama sudah cukup untuk mengurangkan rasa sunyi dan gelisah.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemaskini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
