Setiap tahun, mesti ramai rakyat Malaysia mempunyai azam yang sama setiap kali masuk tahun baru iaitu nak simpan RM500 sebulan, nak langsaikan hutang kad kredit, dan mula untuk wujudkan tabung kecemasan. Tapi bila masuk sahaja bulan Februari, RM500 tadi dah terguna untuk baiki kereta atau bagi duit salam kaut dekat kenduri kahwin kawan. Bunyi macam familiar, kan?
Masalahnya bukan sebab anda tak ada disiplin. Sebenarnya, keinginan kita untuk menyimpan ada tahapnya kerana ia makin lama makin berkurang sebab setiap hari kita kena buat macam-macam keputusan kewangan. Nak minum kopi ke teh? Nak naik Grab ke pandu sendiri? Sale kat Shopee pula dah nak malam ni!
Jadi, apa solusinya untuk situasi-situasi tersebut? Anda perlu bina satu sistem yang tak perlukan anda untuk buat keputusan langsung.
Bayar Diri Sendiri Dulu Dengan “Kaedah Tol”
Konsep automasi ni sebenarnya mudah: buat satu keputusan kewangan yang penting sekali sahaja, kemudian biarkan bank anda buat kerja tersebut untuk 12 bulan seterusnya. Kebanyakan daripada kita biasanya akan guna satu akaun saja. Senang kata, bank itulah yang akan gaji masuk dan akaun bank yang sama juga digunakan untuk menyimpan wang dan berbelanja. Cara ini selalunya kurang efektif kerana sistem automatik akan terbalikkan cara ini, di mana duit akan terus dipindahkan ke simpanan dan bil akan dibayar sebaik sahaja gaji masuk, sebelum anda sempat nak belanjakannya.
Bayangkan simpanan anda seperti pondok tol di lebuh raya. Sebelum duit tu sampai ke “dompet belanja” anda, ia kena bayar tol dulu.
Situasi yang biasa selalunya berlaku seperti ini di mana dan mendapat gaji RM5,000, belanja sepanjang bulan, kemudian simpan apa yang baki. Tapi Kaedah Tol ini pula berbeza. Apabila anda mendapat gaji RM5,000, secara automatik pindah RM500 ke simpanan, bayar bil, dan barulah belanja bakinya.
Pindahan ini berlaku pada hari gaji atau pagi keesokannya secara automatik, tanpa perlu anda buat apa-apa.
Begini cara aliran duit anda sepatutnya berfungsi:
- Langkah 1: Gaji masuk ke akaun utama.
- Langkah 2: Buat pindahan automatik untuk alihkan jumlah tetap ke akaun simpanan serta-merta.
- Langkah 3: Pembayaran automatik untuk selesaikan segala pinjaman, utiliti, dan bil kad kredit anda.
- Langkah 4: Apa-apa yang tinggal itulah duit untuk anda belanja tanpa rasa bersalah.
Daripada anda sibuk belanja dan berharap ada baki untuk disimpan, lebih baik anda simpan dulu dan belanja apa yang benar-benar tersedia.
Tiga Akaun, Tiga Peranan
Kalau anda simpan semua duit dalam satu akaun bank yang besar, itulah sebabnya berlaku kekeliruan dalam urusan kewangan anda. Bila tabung kecemasan, simpanan cuti, dan duit barang dapur semuanya bercampur dalam satu “kolam”, memang mustahil kita nak tahu berapa sebenarnya yang kita boleh belanja.
Dengan mengasingkan duit ke akaun yang berbeza, anda sebenarnya sedang “memperdayakan” otak sendiri. Anda akan kurang rasa nak “pinjam” tabung kecemasan untuk pergi bercuti pada hujung minggu kalau duit itu dah siap-siap ada label dan duduk di tempat lain.
- Tabung Kecemasan Anda: Ini adalah simpanan untuk 3 hingga 6 bulan perbelanjaan. Jangan usik kecuali kalau betul-betul kecemasan. Hilang kerja? Ya, itu kecemasan. Jualan murah barang elektronik? Itu bukan kecemasan.
- Simpanan Matlamat: Untuk percutian ke Bali tahun depan, komputer riba yang anda dah lama mahu beli, atau deposit rumah yang anda tengah kumpul. Setiap matlamat ni boleh jadi sub-akaun berbeza atau satu tabung khas yang anda pantau.
- Duit Belanja: Untuk barang dapur, petrol, makan luar, Grab, dan langganan bulanan Spotify. Inilah duit yang anda guna untuk teruskan kelangsungan hidup.
Untuk tabung kecemasan, pertimbangkan akaun simpanan dengan faedah tinggi yang boleh lawan inflasi, dengan kadar sekitar 3% hingga 4%. Akaun simpanan biasa pun ada pulangan, tapi pilihan kaun simpanan faedah tinggi ini boleh tambah sekitar RM200 ke RM400 setahun bagi baki RM10,000, bergantung pada kadar dan syarat bank.
Untuk simpanan matlamat pula, banyak bank digital sekarang ada ciri berasaskan matlamat. Contohnya:
- Touch ‘n Go GOinvest
- GXBank (Savings Pockets)
- Rize Bank (Pocket)
- Boost
Semua ini membolehkan anda buat “tabung” berasingan dalam satu aplikasi. Kadar faedah promosi mereka juga kompetitif sekitar 3% hingga 4%. Secara psikologinya, pengasingan ini sangat membantu supaya anda tak terguna duit cuti untuk perbelanjaan harian.
Cara Tetapkan Aliran Automatik Anda
Kemudahan sistem ini sebenarnya datang daripada fungsi Arahan Tetap atau pindahan automatik. Setiap bank di Malaysia ada sediakan kemudahan ni, cuma nama sahaja mungkin berbeza-beza.
Log masuk ke perbankan dalam talian anda. Cari terma seperti “Standing Instruction”, “Recurring Transfer”, atau “Scheduled Payment”. Kemudian, tetapkan tarikh pindahan pada hari selepas tarikh biasa anda dapat gaji. Jadualkan pindahan ke tabung kecemasan dan akaun simpanan matlamat anda. Tetapkan juga bayaran automatik untuk bayaran minimum kad kredit (atau baki penuh, lebih bagus!) dan sebarang ansuran pinjaman. Seluruh proses penyediaan ini biasanya ambil masa sekitar 20 minit sahaja.
Contoh praktikal: Sarah berpendapatan RM4,500 sebulan dan gaji masuk pada setiap 28 hari bulan. Pada 29 hari bulan, bank dia secara automatik pindahkan RM300 ke tabung kecemasan dan RM200 ke simpanan percutian. Bil kad kredit dan ansuran kereta dia pun ditolak secara automatik. Apa yang tinggal dalam akaun belanja dia adalah sekitar RM2,800 dan itulah amaun yang dia guna untuk perbelanjaan harian.
Jadikan Sistem Anda Lebih Baik
Bila aliran asas anda dah berjalan lancar, sekarang masanya untuk mengoptimumkan pula alat kewangan yang anda gunakan.
Bagi perbelanjaan harian, kad kredit pulangan tunai boleh tukarkan perbelanjaan wajib kepada rebat kecil. Isi petrol, beli barang dapur dan bayar bil telefon semuanya boleh memberi anda rebat antara 1% hingga 8% bergantung pada jenis kad dan kategori.
Cuma pastikan kad tersebut betul-betul sepadan dengan gaya hidup anda. Tak guna pakai kad fokus petrol kalau anda setiap hari naik LRT ke tempat kerja. Tapi kalau anda memang jenis beli barang dapur setiap minggu, kad kategori grocery memang sangat berbaloi. Tak pasti kad mana yang sesuai? Gunakan alat perbandingan kami untuk melihat pelabgai jenis kad yang bersesuaian dengan kategori perbelanjaan utama anda.
Selain itu, walaupun tabung kecemasan boleh melindungi anda daripada masalah jangka pendek, krisis perubatan boleh “hanguskan” simpanan bertahun-tahun dalam sekelip mata. Jika majikan anda tak sediakan pelan perubatan, cuba semak semula sama ada kad perubatan peribadi anda mempunyai perlindungan yang cukup. Had tahunan RM50,000 mungkin nampak besar, tapi ia boleh habis sekejap saja kalau masuk hospital swasta.
Apa Yang Berubah Bila Anda Gunakan Automasi
Sistem ini sebenarnya membantu anda dalam membuat keputusan kewangan dengan lebih bijak.
Bila sistem automasi anda sudah berjalan, anda tak perlu lagi “berperang” dengan diri sendiri setiap kali nampak benda yang anda teringin nak beli. Duit yang ada dalam akaun untuk berbelanja tu memang betul-betul untuk anda guna. Belanja dan nikmatilah.
Bil semua sudah selesai dibayar, tabung kecemasan makin bertambah, dan simpanan matlamat pun makin penuh. Semuanya berlaku tanpa anda perlu pening kepala fikir lagi.
Anda cuma perlukan masa 20 minit saja untuk tetapkan sistem ini, dan selepas itu, lihat saja bagaimana duit anda “jaga diri sendiri”.
Ikuti kami di saluran WhatsApp rasmi untuk tip kewangan dan kemas kini terbaru.

Seorang penulis yang suka cafe hopping untuk dapatkan idea penulisan yang baharu bagi memudahkan lebih ramai Gen Z faham tentang kewangan dengan bahasa yang mudah difahami. Sambil-sambil menulis, minuman matcha sentiasa menjadi peneman! 💚
