Bilangan Rakan Niaga SARA Melonjak Kepada 14,068 Kedai Seluruh Negara

KONGSI

Rakan niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di seluruh negara mencatatkan peningkatan kepada 14,068 kedai setakat 7 Ogos 2026, berbanding hanya sekitar 700 kedai semasa program ini mula diperkenalkan pada 2024.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peluasan rangkaian rakan niaga ini penting bagi memastikan bantuan tunai bersasar yang disediakan kerajaan dapat diakses secara mudah, pantas dan lebih dekat dengan komuniti setempat.

Kerajaan Mahu Bantuan Lebih Mudah Diakses

Menurut Amir Hamzah, kerajaan berusaha melebarkan jaringan rakan niaga SARA di seluruh negara agar bantuan yang disediakan ini bukan sahaja dapat ditingkatkan nilainya tetapi juga mudah diakses oleh semua penerima yang layak.

“Inilah pendekatan kerajaan bukan sekadar menyediakan bantuan, tetapi memastikan bantuan itu benar-benar sampai, boleh digunakan dan memberi manfaat kepada kehidupan rakyat,” katanya kepada pemberita dipetik Bernama selepas meninjau pelaksanaan SARA di Pulau Bum Bum, Semporna pada 15 Ogos 2026.

Sabah Catat Penggunaan Memberangsangkan 

Menurutnya lagi, daripada jumlah keseluruhan rakan niaga SARA itu, sebanyak 1,495 kedai beroperasi di Sabah, termasuk 32 kedai di Semporna dan 115 di Tawau. Beliau berkata penggunaan SARA di Sabah amat memberangsangkan, dengan kadar perbelanjaan peruntukan SARA Bulanan mencecah RM501.2 juta, memanfaatkan 815,689 penerima setakat 7 Ogos 2026.

Bagi kategori SARA Untuk Semua di Sabah pula, beliau memaklumkan sebanyak RM158.9 juta peruntukan atau 88% telah dibelanjakan oleh 1.8 juta penerima dalam tempoh yang sama. “Pencapaian transaksi tinggi di Sabah membuktikan lokasi terpencil, mahupun kekangan geografi tidak menjadi penghalang untuk rakyat menggunakan kredit bantuan yang disalurkan terus menerusi MyKad mereka,” kata Amir Hamzah.

Lebih 140,000 Produk Kini Disenaraikan Di Bawah SARA

Amir Hamzah berkata liputan produk di bawah sistem SARA turut ditingkatkan kepada lebih 140,000 jenis barangan keperluan asas, merangkumi barangan dapur, perkakasan kebersihan diri serta produk makanan sejuk beku seperti ayam dan nugget.

Kerajaan turut memudahkan penglibatan peruncit kecil dan koperasi kampung dengan menyediakan sistem titik jualan (POS) secara percuma, tanpa memerlukan peniaga membeli peralatan berkenaan.

Peruntukan STR Dan SARA Naik Kepada RM15 Bilion

Amir Hamzah berkata peningkatan peruntukan keseluruhan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion pada 2026 memperkukuh lagi komitmen kerajaan dalam menjamin keselamatan sosial rakyat.

Beliau memberi jaminan kerajaan akan terus mengenal pasti kawasan luar bandar dan pulau di seluruh negara yang berdepan kekangan akses, bagi memastikan tiada golongan sasar yang tercicir daripada menerima faedah SARA.

Semakin Mudah Anda Beli Barang Guna MyKad 

Dengan rangkaian rakan niaga SARA yang kini lebih luas di seluruh negara, peluang untuk anda membeli barangan keperluan menggunakan kredit SARA berhampiran kawasan tempat tinggal turut semakin bertambah. Baki SARA dalam MyKad anda boleh disemak melalui portal rasmi SARA, aplikasi SARA di Google Play dan App Store, atau resit pembelian yang memaparkan baki semasa dan baki selepas transaksi. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen