BNM Kekalkan OPR 2.75%, Konflik Timur Tengah Jadi Faktor Utama

KONGSI

Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate atau OPR) pada paras 2.75% dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee atau MPC) hari ini, 7 Mei 2026.

Keputusan ini dibuat setelah MPC mempertimbangkan pelbagai faktor ekonomi global dan domestik yang sedang berkembang.

Ekonomi Global Masih Berdepan Ketidaktentuan

Pertumbuhan ekonomi global kekal kukuh pada suku pertama 2026, didorong oleh permintaan domestik yang stabil dan perkembangan sektor teknologi. 

Namun, situasi di Timur Tengah mula memberi tekanan, harga tenaga dan komoditi melonjak, rantaian bekalan terganggu dan iamula memberi kesan kepada momentum pertumbuhan global.

MPC turut menyenaraikan beberapa risiko penurunan yang masih tinggi:

  • Ketidaktentuan berkaitan tempoh dan keterukan konflik di Timur Tengah
  • Keadaan kewangan global yang semakin ketat
  • Kebimbangan tentang penilaian pasaran kewangan

Walau bagaimanapun, ada juga potensi positif yang ditunjukkan. Jika konflik sudah reda, rantaian bekalan boleh pulih, perbelanjaan teknologi dijangka lebih kuat, dan beberapa ekonomi utama mungkin akan melaksanakan dasar mesra pertumbuhan.

Ekonomi Malaysia Terus Tumbuh, Namun Masih Berdepan Risiko

Di dalam negara, penunjuk terkini menunjukkan momentum pertumbuhan berterusan pada suku pertama 2026. Permintaan domestik yang kukuh dan prestasi eksport yang kuat menjadi pemacu utama.

Namun untuk masa hadapan, BNM mengakui bahawa konflik di Timur Tengah boleh mempengaruhi arah pertumbuhan dan inflasi negara. Meskipun begitu, asas ekonomi Malaysia yang kukuh dijangka akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara.

Beberapa faktor yang akan menyokong pertumbuhan:

  • Perbelanjaan isi rumah: Dijana oleh peluang pekerjaan, pertumbuhan upah, dan langkah dasar kerajaan
  • Pelaburan: Didorong oleh projek pelbagai tahun sektor awam dan swasta, projek awam berskala kecil yang baharu, serta pelaksanaan pelan induk nasional yang berterusan
  • Sektor eksport: Eksport elektrik dan elektronik (E&E) dijangka terus kukuh, manakala perbelanjaan pelancong kekal menyumbang walaupun pada kadar yang lebih sederhana

Risiko penurunan masih ada, terutamanya dari konflik Timur Tengah yang berpanjangan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah. Sebaliknya, jika konflik dilihat semakin reda, permintaan barangan E&E meningkat, atau aktiviti pelancongan lebih pesat, pertumbuhan boleh melepasi jangkaan.

Inflasi Terkawal, Tapi Tekanan Harga Meningkat

Inflasi keseluruhan (headline inflation) dan inflasi teras (core inflation) masing-masing mencatatkan purata 1.6% dan 2.1% pada suku pertama 2026.

Harga komoditi global yang lebih tinggi akibat konflik Timur Tengah dijangka meningkatkan tekanan kos domestik yang boleh mendorong kepada kadar inflasi yang lebih tinggi. Namun, impaknya dijangka masih terkawal. Langkah dasar domestik dan permintaan yang stabil akan membantu menahan tekanan kos luaran daripada menular ke harga dalam negara.

OPR Kekal Sesuai Untuk Masa Ini

Dengan paras OPR semasa iaitu 2.75%, MPC mengesahkan bahawa dasar monetari Malaysia kekal bersesuaian dan konsisten dengan matlamat kestabilan harga dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

BNM akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai keseimbangan risiko terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan domestik ke hadapan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments