Grab Malaysia Lancar Ciri Group Ride, Jimat Sehingga 40% Berbanding Tempahan Biasa

KONGSI

Grab Malaysia kini memperkenalkan ciri baharu dalam aplikasinya iaitu Group Ride. Ciri ini membolehkan beberapa penumpang berkongsi satu kenderaan dalam perjalanan yang hampir sama. 

Selain menjimatkan kos, ciri ini turut membantu mengurangkan kesesakan jalan raya dan penggunaan bahan api. Tagline ciri ini “Kongsi Perjalanan, Kongsi Tambang” adalah selari dengan seruan kerajaan agar rakyat Malaysia mengamalkan pergerakkan yang lebih bijak dan mampan.

Sokongan Kementerian Pengangkutan

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyokong pelancaran ini, menyifatkannya sebagai sebahagian daripada seruan TanggungjawabBersama kementerian kepada pengendali e-hailing untuk memperluaskan perkhidmatan carpool.

“Gangguan bekalan bahan api akibat konflik di Asia Barat sudah mendorong lebih ramai rakyat Malaysia beralih kepada pengangkutan awam. Kami galakkan pengenalan perkhidmatan yang memberi pilihan mobiliti lebih luas kepada pelanggan, seiring dengan mod pengangkutan lain seperti rel komuter untuk mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian,” katanya.

Anthony Loke turut memuji keupayaan teknologi Grab dalam membantu rakan pemandu merancang laluan dengan lebih bijak, sekali gus mengoptimumkan masa dan potensi pendapatan mereka sambil mengurangkan pembaziran bahan api. Beliau sendiri telah mencuba Group Ride bersama kakitangan kementerian di Putrajaya.

Pengguna Yang Minta Ciri Group Ride Ini 

Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, permintaan untuk ciri ini datang terus dari pengguna sedia ada.

“Penumpang kami sudah lama berkongsi perjalanan untuk jimat tambang, terutama rakan sekerja yang berulang-alik ke tempat kerja atau kawan-kawan yang menuju ke majlis yang sama. Group Ride diperkenalkan untuk menangani keperluan ini dengan cara yang lebih tersusun,” katanya.

Menurutnya, ciri ini turut membantu mengoptimumkan penggunaan jalan raya, mengurangkan kesesakan, serta menyokong pengurangan jejak karbon dan penggunaan petrol di tengah-tengah gangguan bekalan global.

Apa Yang Group Ride Tawarkan?

Dengan Group Ride, beberapa penumpang yang melalui laluan hampir sama akan dikumpulkan dalam satu kenderaan. Ini dapat mengurangkan bilangan kereta di jalan raya sambil membolehkan lebih ramai penumpang sampai ke destinasi masing-masing dengan lebih cekap.

Antara ciri utama yang tersedia:

  • Penjimatan tambang sehingga 40% berbanding tempahan individu
  • Pilihan pembayaran yang fleksibel
  • Teknologi pengoptimuman laluan berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) untuk perjalanan yang lebih cekap
  • Sokongan pelbagai kawasan jemput dan hantar
  • Fungsi “Waiting Room” (akan datang) untuk penumpang menyelaraskan dan memantau perjalanan secara langsung

Dari segi keselamatan, tempahan Group Ride dilengkapi dengan infrastruktur sedia ada Grab, termasuk Pusat Keselamatan (Safety Centre), butang bantuan kecemasan SOS dan teknologi pemantauan perjalanan.

Ciri ini sedang dilancarkan secara berperingkat kepada pengguna yang layak di seluruh negara melalui aplikasi mudah alih Grab.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.   

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen