Malaysia kini mempunyai ekosistem penempatan bakat TVET pertama di peringkat kebangsaan.
Pusat Penempatan TVET GITC (GTPC) yang baru sahaja dilancarkan telah menetapkan sasaran 1,000 syarikat penyerta menjelang hujung tahun ini, dengan 50,000 hingga 100,000 peluang pekerjaan disasarkan pada tahun 2027.
GTPC Jadi Penghubung Dalam Satu Platform
Sebelum ini, graduan TVET terpaksa bergantung pada kenalan industri institusi masing-masing atau mencari kerja secara sendiri. GTPC kini hadir untuk mengubah keadaan itu dengan menghubungkan pelajar, graduan, institusi latihan dan pihak industri dalam satu platform bersepadu.
Melalui platform ini, syarikat boleh menyatakan keperluan bakat mereka dan menawarkan peluang latihan industri, perantisan serta pekerjaan. Pelajar dan graduan pula boleh membina profil, mempamerkan kemahiran mereka dan mendapatkan penempatan dalam bidang pekerjaan. Institusi juga boleh memantau perkembangan pelajar dan mengeratkan hubungan dengan industri.
Platform ini turut merangkumi peluang pembelajaran berasaskan kerja dan internship, bukan terhad kepada pekerjaan sepenuh masa sahaja.
Lebih Mudah Untuk PMKS Cari Bakat TVET
Bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), platform ini memberi laluan secara langsung untuk mencari calon TVET yang sesuai. Sebelum ini, PKS terpaksa menghubungi institusi satu persatu hanya untuk mendapatkan calon yang tepat.
Pengerusi GITC, Tan Sri Dr Soh Thian Lai berkata, sasaran awal 1,000 syarikat hanyalah untuk peringkat permulaan sahaja. Untuk tempoh jangka masa panjang, pihaknya menyasarkan penglibatan antara 10,000 hingga 20,000 syarikat.
Beliau turut menegaskan bahawa sasaran penempatan bukan sekadar mengukur aktiviti platform, tetapi turut menguji sama ada ekosistem ini benar-benar menyelesaikan masalah ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan industri.
TVET Kini Laluan Utama, Bukan Pilihan Kedua
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidiyang merasmikan pelancaran GTPC turut mengumumkan pelancaran TVET 2.0 pada hari yang sama sebagai sebahagian daripada agenda membangunkan semula ekosistem TVET negara.
Beliau menegaskan bahawa TVET bukan lagi laluan alternatif bagi mereka yang tidak meneruskan pengajian akademik. Sebaliknya, ia telah menjadi laluan utama menuju pekerjaan berkualiti, pendapatan yang lebih baik, mobiliti sosial dan daya saing ekonomi negara.
Tidak dinafikan, GTPC ini dapat menyelesaikan masalah di mana graduan TVET yang mempunyai kemahiran sukar bertemu dengan majikan yang memerlukan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
