Gen Z Kerap Tukar Kerja? Mungkin Bukan Salah Mereka

KONGSI

Jika anda seorang Millennial atau Gen X, mungkin anda pernah dengar rakan sekerja berkata sesuatu seperti “budak-budak sekarang lembik, dua bulan kerja dah nak berhenti.”

Pandangan itu bukan datang tanpa sebab. Ramai pekerja yang memulakan kerja pada era 1990-an dan awal 2000-an pernah melalui pengalaman bekerja bertahun-tahun sebelum melihat kenaikan gaji atau pangkat yang ketara.

Bagaimanapun, laporan terbaru PNB Research Institute (PNBRI) yang bertajuk Job Hopping and Early Career Instability pada Mei 2026 telah mengemukakan satu soalan yang patut kita tanya iaitu adakah pasaran kerja yang dimasuki dulu sama dengan yang mereka hadapi sekarang?

Tak Semua Job Hopping Berlaku Atas Sebab Yang Sama

Tukar kerja bukanlah perkara baru dan tidak hanya dilakukan oleh Gen Z sahaja. Millennial awal pun pernah menjadi generasi yang paling kerap bertukar kerja dan kajian menunjukkan kecenderungan ini akan berkurang apabila seseorang semakin berumur.

Perbezaan sebenar terletak pada faktor yang mendorong seseorang meninggalkan pekerjaan dan PNBRI membahagikannya kepada dua jenis:

Jenis 1: Pilihan SendiriJenis 2: Terpaksa
Sebab bertukarMencari bidang yang lebih sesuai, peluang lebih baikGaji tidak cukup sara hidup, jawatan di bawah kelayakan, tiada peluang naik pangkat
MaksudnyaTanda pasaran kerja yang sihatTanda ada sesuatu yang tidak kena dalam pasaran kerja
Kesan jangka panjangBiasanya membawa kepada kerjaya yang lebih baikBoleh menjejaskan pendapatan dan kemahiran jangka panjang

Tukar kerja jenis pertama itu lumrah dan baik. Tapi data menunjukkan kebanyakan pekerja muda Malaysia terperangkap dalam jenis kedua. Dalam banyak kes, pertukaran kerja berlaku kerana pekerjaan sedia ada tidak menawarkan gaji atau peluang kerjaya yang cukup baik.

Nilai Gaji Permulaan Hari Ini Tidak Lagi Sama

Kalau anda mula bekerja pada akhir 1990-an atau awal 2000-an, gaji permulaan anda pada waktu itu sebenarnya bernilai lebih tinggi berbanding gaji permulaan graduan hari ini. Walaupun angka ringgit kelihatan lebih besar sekarang.

Data PNBRI menunjukkan gaji sebenar peringkat permulaan dalam sektor swasta, setelah diambil kira kenaikan harga barang, telah merosot sepanjang 25 tahun dari 1997 hingga 2022. Ia turun 10% untuk pemegang ijazah dan 28% untuk pemegang sarjana.

Kesan daripada trend ini dapat dilihat dalam data Kajian Pengesanan Graduan 2024 yang menunjukkan 66.3% pemegang ijazah dan 93.1% pemegang diploma masih berpendapatan bawah RM3,000 sebulan. Sebanyak 30.6% pemegang ijazah dan 66.3% pemegang diploma pula berpendapatan bawah RM2,000, jauh di bawah PAKW (Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar) yang dianggarkan sekitar RM2,400 sebulan untuk individu bujang yang tinggal sendiri di Kuala Lumpur.

Jadi bila anda fikir “zaman saya dulu pun gaji kecil, tapi bertahan juga,” cuba ambil kira bahawa nilai sebenar gaji kecil itu pada waktu itu tidak sama dengan nilai gaji kecil hari ini.

Bekerja Tapi Tidak Dimanfaatkan

Masalah gaji rendah diburukkan lagi oleh realiti lain. Ramai graduan bekerja dalam bidang yang tidak memerlukan kelayakan mereka langsung.

Data DOSM sehingga suku ketiga 2025 menunjukkan 74.3% pekerja berumur 15 hingga 24 tahun bekerja dalam jawatan di bawah tahap kelayakan mereka, jauh lebih tinggi berbanding purata nasional 35.5%. Angka ini merangkumi bukan sahaja graduan, tapi juga mereka yang baru tamat sekolah dan belum melanjutkan pengajian. Namun ia tetap mencerminkan satu trend yang membimbangkan: terlalu sedikit jawatan yang sesuai dengan kelayakan pekerja muda.

Apabila seseorang yang menghabiskan tiga hingga empat tahun di universiti terpaksa bekerja dalam jawatan yang tidak memerlukan ijazah dan bergaji pula di bawah kos sara hidup, maka menukar kerja bukan lagi pilihan, sebaliknya keperluan.

Gen Z Juga Tidak Bernasib Baik Dari Segi Masa

Satu lagi faktor yang sering terlepas pandang. Gen Z memasuki pasaran kerja tepat ketika pandemik COVID-19 memaksa banyak syarikat membekukan pengambilan pekerja, menjadikan saingan untuk jawatan permulaan lebih sengit. Ramai yang akhirnya terima kerja yang tidak sepadan dengan kelayakan mereka, semata-mata kerana pilihan yang ada memang terhad. Cabaran ini lebih teruk berbanding apa yang dihadapi generasi sebelum mereka.

Permulaan Kerja yang Buruk Boleh Tinggalkan Kesan Lama

Bermula dalam kerja yang tidak stabil boleh meninggalkan kesan yang lama untuk hilang. Kajian Kuhn dan Ploj (2020) di Amerika Syarikat membandingkan dua pekerja dengan latar belakang yang sama, seorang bermula dalam kerja yang stabil, seorang lagi tidak. Dalam tahun pertama, jurang pendapatan mereka sudah mencecah 13%. Pada usia 25, pekerja yang bermula tidak stabil masih berpendapatan 5% lebih rendah. Malah menjelang usia 40 tahun, jurang pendapatan tersebut masih belum hilang sepenuhnya.

Data Australia pula menunjukkan pekerja yang bermula dalam kontrak jangka pendek atau bekerja di bawah kelayakan akhirnya memperoleh hanya 85 sen bagi setiap ringgit yang diperoleh rakan yang bermula dalam kerja tetap sepenuh masa. Perbezaan itu semakin mengecil dari masa ke masa, tapi tidak pernah hilang sepenuhnya.

Ini bermakna, kerja pertama yang seorang graduan berumur 23 tahun terpaksa terima hari ini, kerana tiada pilihan lain yang lebih baik, masih akan meninggalkan kesan pada gaji mereka dua dekad kemudian. Bukan kerana mereka tidak berusaha, tetapi kerana bermula dalam kerja yang tidak stabil melambatkan pembinaan kemahiran, dan kemahiran itulah yang menentukan pendapatan jangka panjang.

Pembaikan Sistem Perlu Dilakukan

Laporan PNBRI mencadangkan beberapa langkah yang boleh membantu mengurangkan masalah ini.

Malaysia sudah ada asas yang baik. Dasar Gaji Progresif (DGP) yang mula dilaksanakan penuh pada 2025 dengan peruntukan RM200 juta cuba mengaitkan kenaikan gaji dengan kemahiran dan produktiviti, bukan sekadar tempoh berkhidmat. Tapi DGP sahaja tidak cukup. Ia perlu disokong dengan cara yang lebih baik untuk padankan graduan dengan kerja yang sesuai dengan kelayakan mereka sejak dari awal. Program seperti levy HRD Corp dan kursus pensijilan jangka pendek juga perlu sampai kepada lebih ramai pekerja, terutama mereka yang bekerja dalam syarikat kecil yang mewakili 95.9% daripada semua perniagaan di Malaysia.

Selagi ketiga-tiga perkara ini tidak diperbaiki, tukar kerja akan kekal sebagai pilihan paling masuk akal bagi pekerja muda yang pasaran kerjanya belum berfungsi dengan cukup baik untuk mereka.

Terdahulu, data DOSM melaporkan pasaran kerja Malaysia semakin kukuh pada S1 2026 dengan 9.23 juta jawatan, manakala produktiviti buruh turut mencatat pertumbuhan 4.8% dalam tempoh yang sama. Angka-angka ini membuktikan pasaran kerja Malaysia secara keseluruhannya berkembang, namun pertumbuhan bilangan jawatan sahaja tidak mencukupi selagi kualiti kerja dan gaji yang ditawarkan masih tidak setimpal untuk pekerja muda.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

5 2 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen