MyKad ahli keluarga ada di dalam kereta, jadi anda gunakan kuota BUDI95 di dalam kad pengenalan itu untuk mengisi minyak. Ahli keluarga mungkin beri kebenaran, tetapi ia tetap menjadi satu kesalahan.
Jadi, peringatan buat semua rakyat Malaysia, jangan lakukan perkara tersebut!
Ini Kesalahan Undang-Undang
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengingatkan bahawa menggunakan MyKad orang lain untuk mendapatkan manfaat wang adalah satu kesalahan di bawah Peraturan 25, Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias menegaskan bahawa larangan ini terpakai kepada semua orang termasuk ahli keluarga terdekat.
“MyKad adalah dokumen pengenalan diri dan tidak boleh digunakan, disimpan atau diwakili oleh mana-mana individu lain. Ini termasuk ahli keluarga.”
Secara ringkasnya, bagi setiap transaksi termasuk pembelian petrol, ianya mesti dilakukan sendiri oleh pemegang MyKad yang layak.
Penguatkuasaan Sedang Berjalan
Ini bukanlah sekadar amaran. Pada 1 April, seorang lelaki ditangkap di sebuah stesen minyak di Tumpat, Kelantan, selepas disyaki menggunakan kad pengenalan empat individu berbeza untuk mengisi lebih 100 liter minyak RON95.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengesahkan bahawa keempat-empat kad pengenalan tersebut ditemui dalam milikan suspek semasa tangkapan.
Kes ini telah dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. Suspek turut disiasat di bawah Akta Pendaftaran Negara 1959, dan polis sedang mengkaji peruntukan undang-undang lain yang sesuai.
Kuota BUDI95 Baru Dikurangkan Mulai 1 April
Kes ini berlaku tepat pada tarikh peraturan baru BUDI95 mula berkuat kuasa. Sejak 1 April, peruntukan bulanan subsidi petrol RON95 bagi setiap rakyat Malaysia yang layak telah dikurangkan kepada 200 liter sebulan, susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 26 Mac lalu.
Pengurangan ini merupakan respons kepada kenaikan harga minyak global akibat konflik Asia Barat. Namun, harga RON95 kekal pada RM1.99 seliter dan tidak berubah.
Walaupun kuota dikurangkan, kerajaan menegaskan hampir 90% pengguna tidak akan merasai sebarang perbezaan kerana purata penggunaan bulanan rakyat Malaysia sebenarnya hanya sekitar 100 liter, jauh di bawah had baru 200 liter. Bagi pemandu e-hailing yang layak pula, peruntukan 800 liter turut dikekalkan.
Jika anda tertanya-tanya berapa jauh kereta anda boleh bergerak dengan kuota 200 liter sebulan, baca artikel kami mengenai angaran jarak perjalanan kenderaan anda.
Peringatan! Hanya Guna MyKad Sendiri
Dengan kuota yang masih lebih dari mencukupi untuk majoriti pengguna, tiada alasan untuk berkongsi MyKad di pam minyak. Subsidi ini direka untuk pemilik MyKad yang layak, bukan untuk dikongsi atau disalahgunakan. Penguatkuasaan sedang berjalan, dan akibatnya boleh melibatkan tindakan undang-undang.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
