Pekerja yang menjalankan perniagaan sampingan perlu memfailkan cukai dengan cara yang berbeza berbanding mereka yang memperolehi gaji bulanan. Di Malaysia, pendapatan sampingan diisytiharkan secara berasingan dan diklasifikasikan sebagai pendapatan perniagaan dengan borang fail tarikh akhir serta set potongan yang tersendiri.
Oleh kerana perbelanjaan perniagaan boleh ditolak daripada pendapatan kasar anda, cukai dikira berdasarkan pendapatan bersih dan bukan kesemua jumlah yang anda terima. Peralatan, yuran platform, dan kos pemasaran semuanya layak ditolak dan ia boleh mengurangkan jumlah bercukai anda dengan ketara.
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengklasifikasikan pendapatan daripada aktiviti yang konsisten sebagai pendapatan perniagaan, bukan “pendapatan lain.” Menjual produk, menyediakan perkhidmatan, atau mengambil projek freelance semuanya layak. Sementara jualan barangan peribadi tidak termasuk dalam kategori ini.
Guna Borang B Jika Peroleh Pendapatan Sampingan Dalam Perniagaan
Pekerja yang tidak mempunyai pendapatan perniagaan dan hanya menerima gaji bulanan perlu menggunakan Borang BE. Jikaanda mempunyai pendapatan perniagaan sampingan tanpa mengira sama ada anda berdaftar secara rasmi sebagai pemilik tunggal atau tidak, anda perlu memfailkan Borang B. Borang B merangkumi kedua-dua pendapatan pekerjaan dan pendapatan perniagaan dalam satu failkan, jadi anda tidak perlu lagi mengemukakan Borang BE secara berasingan.
Ini adalah salah satu punca kekeliruan yang paling kerap dialami oleh pekerja bergaji yang mempunyai kerja sampingan. Borang BE hanya merangkumi pendapatan pekerjaan dan pendapatan pasif seperti dividen dan sewa. Sekiranya anda mempunyai pendapatan perniagaan yang bukan gaji daripada majikan anda, LHDN memerlukan Borang B, yang mempunyai bahagian khusus (Bahagian 4) untuk pendapatan perniagaan dan perkongsian.
Tarikh akhir bagi pemfailan Borang B juga adalah lebih lewat berbanding Borang BE. Untuk Tahun Taksiran 2025 (Year of Assessment 2025, YA 2025), tarikh akhir e-Filing bagi Borang B ialah 30 Jun 2026, berbanding 30 April 2026 untuk Borang BE.
Pendaftaran SSM Bukan Syarat Wajib
Anda boleh mengisytiharkan pendapatan perniagaan sampingan dalam Borang B tanpa perlu berdaftar dengan SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) sebagai pemilik tunggal. LHDN dan SSM adalah dua badan yang berasingan dan kewajipan cukai anda tidak bergantung pada status pendaftaran SSM anda.
Namun jika anda mendaftar dengan SSM, ada kelebihannya dari segi praktikal. Nama perniagaan yang berdaftar dengan SSM akan lebih mudah untuk membuka akaun bank perniagaan, mengeluarkan invois rasmi, dan menuntut perbelanjaan tertentu. Pendaftaran hanya memerlukan yuran tahunan.
Jika anda sudah berdaftar dengan SSM, gunakan nombor pendaftaran perniagaan anda semasa membuat pemfailan. Jika anda tidak mempunyai nombor pendaftaran perniagaan , anda masih boleh mengisytiharkan pendapatan sebagai pemilik tunggal yang tidak berdaftar. Hanya laporkan pendapatan dan perbelanjaan dengan jujur atas nama anda sendiri.
Apa Yang Dikira Sebagai Perbelanjaan Perniagaan Yang Dibenarkan
Sebagai penerima pendapatan perniagaan, anda boleh menolak perbelanjaan perniagaan yang sah daripada pendapatan kasar sebelum cukai dikira. Bukan semua pendapatan akan dikenakan cukai. Cukai hanya dikira berdasarkan untung bersih iaitu baki wang selepas anda menolak semua perbelanjaan perniagaan yang dibenarkan.
Perbelanjaan hanya boleh ditolak jika ia ditanggung khusus untuk tujuan perniagaan anda sahaja. Potongan yang dibenarkan termasuk:
- Kos barangan yang dijual: bahan, produk, atau inventori yang dibeli untuk memenuhi pesanan
- Yuran platform dan transaksi: komisen marketplace dan caj payment gateway
- Peralatan dan alatan: komputer riba, kamera, langganan perisian, atau alatan lain yang digunakan untuk perniagaan (jika sesuatu item juga digunakan untuk tujuan peribadi, hanya bahagian yang digunakan untuk perniagaan sahaja yang boleh ditolak)
- Pengiklanan dan pemasaran: iklan berbayar, percetakan, atau bahan promosi
- Pengangkutan: kos bahan api atau tol untuk aktiviti perniagaan seperti penghantaran atau lawatan klien
- Perkhidmatan profesional: yuran perakaunan atau guaman yang berkaitan dengan perniagaan anda
Perbelanjaan peribadi, denda atau penalti, serta perbelanjaan modal tidak layak untuk ditolak. Namun, elaun modal mungkin boleh dituntut bagi aset yang memenuhi syarat.
Simpan resit dan rekod sekurang-kurangnya untuk tempoh tujuh tahun. LHDN boleh mengaudit untuk tahun-tahun sebelumnya dan dokumentasi bagi setiap tuntutan melindungi anda jika ada sebarang isu di kemudian hari.
Bagaimana Pendapatan Sampingan Anda Mempengaruhi Keseluruhan Cukai
Pendapatan pekerjaan dan pendapatan perniagaan anda dijumlahkan untuk menentukan pendapatan boleh dicukai bagi tahun tersebut. Malaysia menggunakan kadar cukai progresif, jadi pendapatan gabungan yang lebih tinggi bermakna sebahagian lebih besar akan dikenakan cukai pada kadar yang lebih tinggi.
Sebagai contoh, gaji yang menjadikan pendapatan boleh dicukai anda adalah sebanyak RM70,000. Anda membayar 11% ke atas bahagian antara RM50,001 hingga RM70,000. Jika perniagaan sampingan anda bertambah lagi RM20,000 dalam keuntungan bersih, tambahan RM20,000 itu jatuh ke di bawah kategori seterusnya dan dikenakan cukai pada kadar 19%. Perbezaannya tidak ketara, namun ia patut diambil kira semasa menetapkan harga perkhidmatan atau merancang perbelanjaan anda.
Semua pelepasan peribadi yang biasa masih terpakai semasa memfailkan Borang B, termasuk pelepasan lifestyle, pelepasan perubatan, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebagainya. Ini mengurangkan pendapatan boleh dicukai anda merentasi kedua-dua aliran pendapatan.
PCB Dan Sebab Anda Mungkin Masih Perlu Bayar Cukai Tambahan
Jika anda seorang pekerja, majikan anda akan menolak Potongan Cukai Bulanan (PCB) yang juga dikenali sebagai “Monthly Tax Deduction,(MTD)” daripada gaji anda sepanjang tahun. Ini hanya merangkumi pendapatan pekerjaan anda. Pendapatan perniagaan sampingan tidak diambil kira langsung.
Walaupun PCB dipotong dengan betul setiap bulan, ia tetap tidak akan mengambil kira pendapatan perniagaan sampingan, jadi pasti akan ada cukai tambahan yang perlu dibayar semasa anda memfailkan cukai. Jumlah yang perlu dibayar dikira apabila anda melengkapkan Borang B dan membandingkan jumlah liabiliti cukai dengan apa yang telah dipotong melalui PCB.
LHDN membenarkan anda menyelesaikan baki tersebut menjelang tarikh akhir pemfailan. Jika jumlahnya besar, anda juga boleh membuat pembayaran pendahuluan melalui MyTax untuk memanjangkan liabiliti sepanjang tahun, berbanding perlu membayar sekaligus semasa memfailkan cukai.
Jika anda kerap mempunyai baki yang besar pada hujung tahun, LHDN mungkin akan meminta anda membuat anggaran pembayaran cukai melalui ansuran CP500 pada tahun berikutnya. Ini adalah sistem pembayaran berjadual untuk individu yang mempunyai pendapatan perniagaan, ini bukanlah penalti, tetapi ia memerlukan perancangan bajet untuk pembayaran tersebut sepanjang tahun.
Memfailkan Pendapatan Perniagaan Sampingan Anda Di MyTax
- Log masuk ke MyTax dan pilih e-Filing.
- Pilih Borang B.
- Di bawah Pendapatan Berkanun daripada Sumber Perniagaan di Malaysia, masukkan pendapatan kasar perniagaan, perbelanjaan yang dibenarkan, dan pendapatan terlaras yang terhasil:

- Tuntut pelepasan anda, semak cukai yang perlu dibayar, dan hantar sebelum 30 Jun 2026.
Untuk kes yang mudah seperti beberapa projek freelance tanpa pekerja atau pembelian aset besar, bahagian pendapatan perniagaan boleh dilengkapkan tanpa set akaun yang berasingan. Rekod invois dan perbelanjaan anda sepanjang tahun sudah mencukupi, hanya pindahkan jumlahnya ke tempat yang berkaitan.
Untuk situasi yang lebih kompleks seperti perniagaan dengan inventori yang besar, pelbagai aliran pendapatan, atau aset modal. Lebih baik jika anda mendapatkan khidmat ejen cukai untuk memastikan angka-angka dilaporkan dengan betul.
Ringkasan
| Borang BE | Borang B | |
| Siapa yang menggunakannya | Pekerja tanpa pendapatan perniagaan | Pekerja dengan pendapatan perniagaan sampingan |
| Tarikh akhir e-Filing (TA 2025) | 30 April 2026 | 30 Jun 2026 |
| Boleh tuntut perbelanjaan perniagaan | Tidak | Ya |
| PCB merangkumi penuh liabiliti cukai | Ya | Tidak (pendapatan sampingan mewujudkan cukai tambahan) |
Perkara utama yang perlu anda ingat adalah pendapatan sampingan perlu dilaporkan dalam penyata cukai anda, failkannya dengan betul dengan perbelanjaan yang sah ditolak untuk memastikan anda mematuhi LHDN.
Jika anda turut menjana pulangan daripada pelaburan, panduan kami tentang pendapatan pelaburan dan cukai di Malaysia menghuraikan apa yang boleh dikenakan cukai dan apa yang tidak.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Steffi Manisha Arokiam adalah Pengarah Cukai di ThinkTx Consultants dan beliau bertanggungjawab menerajui urusan Harga Pemindahan (Transfer Pricing) dan e-Invois firma tersebut. Beliau menasihati individu dan perbadanan dalam pelbagai hal ehwal percukaian, termasuk Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), duti setem, cukai harta pusaka, dan mobiliti global bagi ekspatriat. Beliau dikenali kerana berjaya menggabungkan kepakaran teknikal yang teguh dengan pendekatan praktikal berasaskan penyelesaian. Dengan kepakaran ini, Steffi dapat membantu para pelanggan mengendali isu-isu cukai yang kompleks dengan jelas dan yakin.
Sebagai seorang pembimbing yang dihormati dalam bidang percukaian, Steffi telah mengarang pelbagai jenis artikel teknikal dan buletin profesional. Hasil kerja beliau telah diterbitkan oleh International Bureau of Fiscal Documentation (IBFD) dan Wolters Kluwer (CCH), di mana beliau memberikan pandangan tentang perkembangan cukai kontemporari. Beliau juga pernah dijemput dalam temu bual mengenai percukaian kripto bersama BFM 89.9.
Keahlian Profesional
- Ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA)
- Ahli Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM)
- Akauntan Profesional Piagam ASEAN (ASEAN Chartered Professional Accountant – ASEAN CPA)
- Ahli Persatuan Fiskal Antarabangsa (IFA)
- Jurulatih Profesional yang diperakui oleh HRD Corp
