Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan menutup sementara kaunter perkhidmatan pasport di 71 cawangan pejabat pengeluaran pasport seluruh negara secara berperingkat bagi membolehkan kerja penyelenggaraan sistem dijalankan. Jika anda merancang untuk terbang ke luar negara tidak lama lagi, sama ada atas urusan kerja atau bercuti, penutupan ini mungkin boleh menjejaskan urusan pasport anda.
Apa Yang Tidak Tersedia Sepanjang Penutupan
Di cawangan yang terlibat, anda tidak akan dapat membuat permohonan pasport di kaunter atau mendapatkan perkhidmatan cetakan pasport. Permohonan atas talian melalui MyOnline Passport turut tidak dapat diakses bagi cawangan terkesan.
Pejabat Terlibat dalam Fasa 1
Penutupan dibuat dalam beberapa fasa. Fasa 1 berlangsung dari 26 hingga 30 Jun, melibatkan Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya serta pejabat pengeluaran pasport di Jalan Duta, Melaka, Kelana Jaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Sembilan pejabat Pusat Transformasi Bandar (UTC) turut terjejas dalam fasa ini:
- UTC Pudu Sentral (Puduraya)
- UTC Selangor
- UTC Johor Bahru
- UTC Pasir Gudang
- UTC Seremban
- UTC Ipoh
- UTC Kedah
- UTC Sungai Petani
- UTC Seberang Perai
Setakat ini, hanya tarikh dan senarai pejabat bagi Fasa 1 diumumkan. JIM belum berkongsi butiran fasa seterusnya.
Semak Tarikh Tamat Tempoh Pasport Anda Sebelum Tempah Tiket
Jika anda sudah merancang untuk ke luar negara dalam masa terdekat, mulakan dengan menyemak tarikh tamat tempoh pasport anda kerana banyak negara memerlukan pasport sah sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh masuk.
Pihak Imigresen sendiri turut menasihatkan orang ramai supaya merancang urusan pasport lebih awal dan merujuk saluran rasmi Jabatan Imigresen Malaysia untuk maklumat lanjut.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
