Ramai antara kita yang sering menangguhkan kunjungan ke klinik gigi disebabkan oleh faktor kos, sehinggalah masalah gigi retak atau jangkitan kuman memaksa kita mendapatkan rawatan. Kebanyakan klinik tidak memaparkan senarai caj mereka secara terbuka, jadi sukar untuk kita menganggarkan kos sehinggalah kita menghubungi sendiri pihak klinik. Apabila kita mengetahui anggaran kos bagi rawatan biasa, ia dapat memudahkan anda merancang bajet sebelum masalah kecil bertukar menjadi bil yang melambung tinggi.
Berapa Kos Pemeriksaan Asas
Pemeriksaan asas bermula dengan sesi konsultasi dan pemeriksaan gigi. Doktor gigi akan memeriksa keadaan gigi serta gusi anda, menjelaskan rawatan yang diperlukan, dan biasanya mereka akan terus membersihkan gigi anda pada sesi tersebut. Caj pemeriksaan sahaja biasanya sekitar RM30 hingga RM100. Walau bagaimanapun, kunjungan kali pertama biasanya merangkumi ujian imbasan X-ray dan pembersihan gigi, sekali gus boleh meningkatkan kos kepada sekitar RM200 hingga RM400 sebelum sebarang rawatan lanjut bermula.
Rawatan mencuci gigi (scaling and polishing) pula memerlukan kos tambahan sekitar RM100 hingga RM300. Ini merupakan rawatan pembersihan profesional untuk membuang karang gigi dan plak degil yang tidak boleh dihilangkan dengan berus gigi biasa. Kunjungan kecemasan atau di luar waktu operasi pula memerlukan kos yang lebih tinggi kerana anda membayar untuk diberikan keutamaan serta-merta.
Pemeriksaan dan penjagaan rutin sebenarnya merupakan bil pergigian paling murah yang akan anda bayar.
Kos Rawatan Pergigian Biasa
Selepas pembersihan gigi, dua rawatan yang paling kerap dilakukan ialah tampalan (filling) untuk gigi berlubang atau cabutan bagi gigi yang sudah tidak boleh diselamatkan.
| Rawatan | Harga |
| Konsultasi dan pemeriksaan | RM30 hingga RM100 |
| Scaling dan polishing | RM100 hingga RM300 |
| Tampalan, setiap batang gigi | RM80 hingga RM400 |
| Cabutan biasa | RM100 hingga RM250 |
| Imbasan X-ray | RM30 hingga RM100 |
Harga bagi rawatan tampalan bergantung pada jenis bahan yang dipilih. Tampalan amalgam berwarna perak-kelabu adalah yang paling murah, manakala tampalan komposit mengikut warna asal gigi kebiasaannya adalah lebih mahal terutamanya bagi kaviti yang besar atau gigi geraham belakang. Ujian X-ray dan ubat-ubatan biasanya dicaj secara berasingan, jadi anggaran awal yang dinyatakan oleh klinik tidak selalunya mewakili jumlah akhir pada bil anda. Anggaran ini merupakan julat harga purata di klinik swasta setakat pertengahan tahun 2026 dan harganya boleh berbeza mengikut klinik.
Bil pergigian jarang merangkumi satu caj sahaja. Sesi konsultasi, X-ray, cuci gigi, dan tampalan boleh mencecah beberapa ratusan ringgit dalam satu kunjungan.
Tampalan gigi mungkin hanya berharga beberapa ratus Ringgit, tetapi jika anda menangguhkan rawatan, masalah tersebut boleh bertambah teruk dan memerlukan rawatan yang jauh lebih mahal seperti rawatan saluran akar (root canal) atau korona gigi (crown).
Bila Bil Pergigian Mula Meningkat
Sesetengah masalah memerlukan prosedur yang lebih rumit berbanding tampalan biasa, dan pada waktu inilah kos rawatan akan menjadi lebih mahal. Rawatan saluran akar (root canal), contohnya, melibatkan proses membuang saraf daripada gigi yang mengalami jangkitan teruk. Harganya bergantung pada kedudukan gigi kerana gigi geraham belakang mempunyai lebih banyak akar berbanding gigi hadapan.
Selepas rawatan saluran akar, anda selalunya memerlukan korona (crown) untuk melindungi gigi tersebut. Kos ini dikira berasingan bergantung pada jenis bahan yang dipilih, di mana korona berasaskan logam berharga lebih murah berbanding seramik sepenuhnya.
| Rawatan | Harga |
| Rawatan saluran akar (Root canal) | RM600 hingga RM1,500 |
| Korona gigi (Crown) | RM800 hingga RM3,500 |
| Gigi palsu | dari RM1,000 (satu set penuh) |
| Pembedahan gigi bongsu | RM800 hingga RM2,000 |
| Pendakap gigi | dari RM4,500 |
| Invisalign atau penjajar lutsinar (clear aligners) | dari RM6,000 |
| Implan, setiap batang gigi | RM3,500 hingga RM10,000 |
| Pemutihan gigi | RM400 hingga RM2,500 |
| Vener (Veneers), setiap batang gigi | RM1,800 hingga RM3,000 |
Pemeriksaan pergigian rutin mungkin hanya memakan kos beberapa ratus Ringgit, tetapi rawatan yang melibatkan gigi yang rosak teruk atau tanggal boleh mencecah ribuan Ringgit.
Jika kos di klinik swasta di luar kemampuan anda, klinik kerajaan dan universiti menawarkan bayaran yang jauh lebih berpatutan. Klinik Pergigian Kerajaan menawarkan kadar bersubsidi tinggi. Kebiasaannya hanya melibatkan kos beberapa ringgit sahaja untuk pemeriksaan asas, manakala bayaran pendaftaran adalah percuma bagi pesakit berumur 60 tahun ke atas.
Fakulti pergigian di universiti tempatan seperti Universiti Malaya turut merawat orang awam pada kadar yang rendah, di mana rawatan dijalankan oleh pelajar di bawah penyeliaan. Walau bagaimanapun, masa menunggu untuk kedua-dua pilihan ini adalah lebih lama dan boleh memakan masa berminggu-minggu atau berbulan-bulan bagi temujanji yang tidak mendesak. Bagi rawatan bersifat kosmetik seperti implan, vener, dan pendakap gigi dewasa, pilihan terbaik tetap di klinik swasta.
Apa Yang Dilindungi Oleh Insurans Anda
Insurans perubatan dan kad hospitaliti biasa umumnya tidak merangkumi rawatan pergigian rutin, jadi kos pemeriksaan dan tampalan perlu ditanggung sendiri. Sekiranya ada perlindungan pergigian, ia selalunya datang melalui faedah pekerja yang disediakan oleh majikan (group insurance) atau klinik panel, walaupun pelan perubatan tambahan pergigian biasanya menetapkan had maksimum klaim tahunan. Sebelum membuat sebarang bayaran bagi rawatan yang tidak mendesak, semak sama ada faedah syarikat anda merangkumi kos tersebut.
Pelepasan Cukai Pendapatan Untuk Rawatan Pergigian
Sejak tahun taksiran 2024, pemeriksaan dan rawatan pergigian layak mendapat pelepasan cukai pendapatan di bawah pelepasan perbelanjaan perubatan sehingga RM1,000, di mana jumlah ini termasuk dalam had keseluruhan pelepasan perubatan sebanyak RM10,000. Rawatan tersebut mestilah dilakukan oleh doktor gigi yang berdaftar dengan Majlis Pergigian Malaysia (Malaysian Dental Council) dan bukannya bertujuan untuk kosmetik semata-mata. Anda boleh menuntut pelepasan ini untuk diri sendiri, pasangan, dan anak-anak. Namun, oleh kerana tidak semua jenis prosedur layak dituntut, adalah lebih baik jika anda mendapatkan kepastian daripada doktor gigi anda dan menyimpan resit pembayaran sekiranya diminta oleh pihak LHDN.
Senarai penuh perbelanjaan yang boleh dituntut ada di dalam panduan kami tentang pelepas cukai pendapatan.
Pilihan Pembayaran Secara Ansuran
Rawatan berharga ribuan Ringgit tidak semestinya dibayar menggunakan gaji satu bulan anda secara sekaligus. Banyak klinik membenarkan anda membayar secara ansuran untuk rawatan utama seperti pendakap gigi, implan, atau gigi palsu penuh selepas bayaran deposit dibuat.
Jika klinik tidak menawarkan pelan ansuran, sesetengah kad kredit menyediakan pelan 0% yang membahagikan bil kepada beberapa bulan tanpa sebarang caj faedah tambahan. Bagi rawatan berskala besar secara one-off, pinjaman peribadi juga boleh diguna pakai, namun anda perlu membayar faedah yang dikenakan. Jadi pertimbangkan pelan kad kredit 0% terlebih dahulu.
Langkah Memastikan Bil Kekal Rendah
Jika anda sudah tahu yang anda bakal memerlukan rawatan pergigian yang berterusan, cuba asingkan RM20 hingga RM50 sebulan untuk meringankan beban apabila perlu melakukan bayaran. Dalam setahun, jumlah terkumpul sudah mencecah RM240 hingga RM600, cukup untuk menampung banyak rawatan rutin tanpa perlu berhutang.
Penjimatan terbesar datang daripada mengesan masalah sejak awal, kerana kos pembersihan gigi sebanyak RM150 hari ini jauh lebih murah berbanding rawatan saluran akar RM1,200 kalau dibiarkan. Untuk rawatan rutin, klinik kerajaan atau universiti jauh lebih murah berbanding kadar swasta, sekiranya anda sanggup menunggu. Rawatan yang sama juga boleh berbeza sampai beratus-ratus ringgit antara klinik, jadi dapatkan beberapa sebut harga, minta pecahan kos, dan perhatikan caj tambahan seperti imbasan 3D atau retainer. Mengetahui anggaran kos secara kasar memberi anda ruang untuk merancang bajet dan membuat perbandingan sebelum membuat keputusan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
