Kaunter Peresitan KWSP Ditutup Mulai 1 Julai, Ini 5 Cara Alternatif Bayar Caruman

KONGSI

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa semua kaunter peresitan (pembayaran caruman) di pejabatnya di seluruh Malaysia akan ditutup berkuat kuasa 1 Julai 2026.

Penutupan ini hanya melibatkan kaunter peresitan. Kaunter perkhidmatan lain di pejabat KWSP akan terus beroperasi seperti biasa.

Siapa Yang Terkesan Dengan Penutupan Kaunter Ini?

Perubahan ini akan memberi kesan kepada syarikat kecil dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta pencarum sukarela yang bekerja sendiri atau suri rumah yang mencarum melalui i-Simpanan yang sebelum ini membuat bayaran secara cek atau draf bank di kaunter peresitan.

Bagi syarikat kecil dan PMKS, mereka perlu beralih kepada kaedah alternatif sebelum tarikh kuat kuasa kerana caruman yang lewat dijelaskan boleh dikenakan caj lewat bayar di bawah Akta KWSP 1991. Manakala bagi pencarum sukarela pula, simpanan persaraan tidak terjejas, cuma cara untuk menambah simpanan akan berubah.

Jika anda pekerja bergaji tetap yang carumannya dipotong terus daripada gaji, anda tidak perlu berbuat apa-apa. Urusan pembayaran adalah tanggungjawab majikan anda.

5 Saluran Alternatif Untuk Bayar Caruman

KWSP menyenaraikan saluran berikut yang kekal tersedia:

  1. Aplikasi KWSP i-Akaun
  2. Perbankan dalam talian
  3. Kaunter ejen bank yang dilantik
  4. Terminal Servis Layan Diri (Self-Service Terminal, SST)
  5. Perkhidmatan Pasukan KWSP Bergerak atau Khidmat Nasihat Persaraan (RA)

Bagi yang kurang selesa dengan urusan dalam talian, kaunter ejen bank dan SST merupakan pilihan yang hampir sama dengan pengalaman membayar di kaunter fizikal. Manakala Pasukan KWSP Bergerak sesuai untuk mereka di kawasan luar bandar yang jauh daripada pejabat KWSP atau cawangan bank.

Beralih Ke i-Akaun (Majikan) Sekarang, Jangan Tunggu Saat Akhir

KWSP menggalakkan majikan menggunakan portal i-Akaun (Majikan) supaya pembayaran dapat diproses dengan lebih lancar. Langkah praktikalnya, jangan tunggu sehingga 1 Julai. Caruman bagi gaji bulan Jun perlu dijelaskan selewat-lewatnya pada 15 Julai, dan jika anda baru mula mendaftar atau membiasakan diri dengan portal pada saat akhir, risiko terlepas tarikh akhir bayaran adalah sangat tinggi.

Mulakan dengan mendaftar akaun i-Akaun (Majikan) di portal KWSP dan cuba lakukan satu  kitaran bayaran penuh secara dalam talian sebelum kaunter ditutup. Dengan cara ini, sebarang masalah teknikal dapat diselesaikan semasa kaunter bayaran caruman masih beroperasi sebagai pelan sokongan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemaskini terkini.   

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen