Mulai 15 Jun 2026, semua permohonan baharu untuk kelulusan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 yang melibatkan institusi atau organisasi (IO) mesti dikemukakan melalui sistem e-Derma. Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengumumkan perkara ini sebagai sebahagian daripada usaha memperluas perkhidmatan digital dan mempercepatkan proses semakan serta kelulusan.
Istilah ‘Subseksyen 44(6)’ mungkin asing bagi kebanyakan kita, tetapi peruntukan inilah yang membolehkan derma anda ditolak daripada cukai. Setiap kali anda menderma kepada rumah anak yatim, masjid, hospital atau badan kebajikan, kemudian menuntut potongan semasa e-Filing, tuntutan itu hanya sah jika organisasi penerima mempunyai kelulusan di bawah subseksyen ini. Tanpa kelulusan tersebut, derma anda tetap satu amal yang baik, cuma ia tidak mengurangkan cukai anda.
Proses Kelulusan Lebih Pantas, Beri Lebih Banyak Pilihan Kepada Penderma
Melalui e-Derma, organisasi boleh menghantar permohonan secara dalam talian pada bila-bila masa tanpa perlu hadir ke pejabat LHDN atau menyerahkan dokumen fizikal. LHDN menjangkakan pendigitalan ini akan mempercepatkan pemprosesan dan kelulusan, di samping memudahkan pengurusan dokumen.
Kesannya kepada anda sebagai penderma adalah secara tidak langsung tetapi nyata. Proses kelulusan yang lebih pantas bermakna lebih banyak organisasi berdaftar boleh mendapat status pengecualian cukai dalam tempoh yang lebih singkat. Langkah ini memperluas senarai organisasi yang layak menerima potongan cukai. Kini, anda boleh mendapat potongan sehingga 10% daripada jumlah pendapatan untuk sumbangan yang dibuat kepada institusi yang diluluskan.
Selain permohonan baharu, platform ini turut menguruskan permohonan lanjutan tempoh kelulusan, penghantaran dokumen seperti Penyata Kewangan Beraudit dan Borang Semakan Kendiri, serta pindaan maklumat organisasi. Semua perkhidmatan ini boleh diakses melalui portal LHDN dan MyTax, dengan manual pengguna disediakan untuk membantu proses penghantaran.
Pengecualian Sementara Bagi Permohonan Melalui Ejen Cukai
Satu perkara yang perlu diberi perhatian adalah permohonan baharu yang melibatkan Tabung atau Institusi/Organisasi/Tabung (IOT) yang melantik wakil cukai atau ejen cukai masih perlu dikemukakan secara manual berserta dokumen sokongan buat masa ini. LHDN menyatakan kategori ini akan dipindahkan ke e-Derma pada fasa seterusnya.
Jika anda menguruskan sebuah NGO atau yayasan dan melantik ejen cukai untuk menguruskan permohonan, prosedur sedia ada masih terpakai. Tetapi jika organisasi anda memohon secara terus, e-Derma menjadi satu-satunya saluran mulai 15 Jun.
Apa Yang Anda Boleh Buat Sekarang
Sebagai penderma, langkah paling praktikal kekal sama seperti sebelum ini iaitu sentiasa semak status kelulusan sesebuah organisasi sebelum menderma jika anda berhasrat menuntut potongan cukai. Semakan boleh dibuat melalui bahagian Semakan Kelulusan Derma di portal rasmi LHDN, di bawah menu Institusi/Organisasi/Tabung. Pastikan juga anda menyimpan resit rasmi derma, kerana ia diperlukan sebagai bukti semasa membuat tuntutan dalam e-Filing.
Bagi mereka yang menguruskan badan kebajikan, persatuan atau yayasan yang belum mempunyai status pengecualian cukai, ini masa yang sesuai untuk memulakan permohonan. Status 44(6) bukan sahaja mengecualikan organisasi anda daripada cukai pendapatan, malah ia menjadikan organisasi anda lebih menarik kepada penderma, terutamanya penderma korporat yang mengambil kira potongan cukai dalam perancangan sumbangan mereka.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemaskini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
