Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) menolak dakwaan bahawa orang awam boleh memohon penambahan kuota petrol bersubsidi BUDI95.
Jelas kementerian tersebut, dakwaan berkenaan adalah tidak benar.
Butang Permohonan Sudah Ditutup
Menurut MOF, terdapat bahagian permohonan kuota tambahan dalam portal BUDI95 ketika skim ini mula dilancarkan. Tetapi ia bukanlah untuk kegunaan umum atau permohonan peribadi.
Difahamkan, ciri tersebut direka khusus untuk kes-kes tertentu yang melibatkan keperluan operasi yang telah disahkan seperti pemandu e-hailing dan pemilik bot dan ia tertakluk kepada kriteria kelayakan yang telah ditetapkan.
Memandangkan fungsi itu telah disalah faham sebagai saluran terbuka untuk semua orang, butang permohonan itu kini telah dibuang.
Had 200 Liter Sebulan Sudah Mencukupi
Sebelum ini, kerajaan menetapkan kuota BUDI95 sebanyak 300 liter sebulan. Namun sejak 1 April lalu, had telah diturunkan kepada 200 liter berikutan ketidaktentuan dalam pasaran tenaga global yang telah menaikkan kos subsidi sekali gus menuntut pengurusan fiskal yang lebih berhemah.
Mengikut data kementerian, had itu sudah mencukupi untuk 90% pengguna BUDI95. Purata penggunaan kebanyakan rakyat Malaysia adalah sekitar 100 liter sebulan.
Dari segi kewangan, ini bermakna:
- Harga bersubsidi: RM1.99 seliter
- Pembelian maksimum sebulan: sehingga RM398 (200 liter)
- Subsidi yang ditanggung kerajaan: sekitar RM500 bagi setiap penerima
Kementerian turut menyatakan bahawa pihaknya akan terus memantau pasaran tenaga global dan membuat pelarasan mengikut keperluan, sambil mengukuhkan penguatkuasaan bagi membendung kebocoran subsidi.
Jika anda tertanya-tanya berapa jauh kereta anda boleh bergerak dengan kuota 200 liter sebulan, baca artikel kami mengenai angaran jarak perjalanan kenderaan anda.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
