Eksport Halal Cecah RM68.5 Bilion, Malaysia Kekal Peneraju Ekonomi Islam Global

KONGSI

Malaysia sekali lagi muncul sebagai peneraju ekonomi Islam global dengan kekal berada di kedudukan pertama dalam Global Islamic Economy Indicator (GIEI). Ini berdasarkan laporan State of the Global Islamic Economy (SGIE) 2025/2026.

Apa yang lebih membanggakan, Malaysia telah mengekalkan kedudukan ini selama 12 tahun berturut-turut.

Duduki Tempat Pertama Untuk Makanan, Kewangan dan Farmaseutikal

Menerusi laporan SGIE 2025/2026, Malaysia menduduki tempat pertama dalam tiga sektor utama iaitu makanan halal, kewangan Islam dan farmaseutikal serta kosmetik halal. Malah, negara turut mendapat kedudukan tinggi dalam kesemua enam sektor yang dinilai. 

Pengerusi Halal Development Corporation Bhd (HDC), Prof Dr Mohd Afandi Salleh berkata, pencapaian ini mencerminkan komitmen Malaysia dalam memajukan ekonomi halal berasaskan kualiti, kepercayaan dan nilai etika.

“Melalui hubungan perdagangan halal yang lebih kukuh dan diplomasi halal yang proaktif. Kami menyumbang kepada pembentukan ekonomi halal global yang lebih bersepadu dan berdaya tahan,” katanya.

Bagi Kewangan Islam, ia kini telah berkembang setanding dengan sistem kewangan konvensional sedia ada yang digunakan oleh pengguna Muslim dan bukan Muslim. Jadi jika anda mempunyai akaun simpanan Islam, deposit tetap-i atau kad kredit patuh Syariah, kedudukan ini sebahagiannya mencerminkan betapa kukuhnya sistem yang menjadi asas kepada produk-produk tersebut.

Eksport Halal Cecah RM68.52 Bilion

Pada tahun 2025, Malaysia mencatatkan eksport halal bernilai RM68.52 bilion, meningkat 10.9% berbanding tahun sebelumnya. Industri halal kini menyumbang 4.3% kepada jumlah eksport negara yang didorong oleh segmen makanan dan minuman serta bahan halal.

Perbelanjaan pengguna Muslim di seluruh dunia mencecah AS$2.6 trilion pada tahun 2024 dan dijangka melonjak kepada AS$3.56 trilion menjelang 2029. Pertumbuhan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pilihan untuk pembuatan dan pengedaran halal, menghubungkan rantaian bekalan global kepada pasaran Muslim yang sedang pesat berkembang.

Malaysia Aktif Dalam Hala Tuju Ekonomi Halal Global

Selain perdagangan. Malaysia turut aktif mempengaruhi hala tuju ekonomi halal global melalui platform antarabangsa, membina perkongsian strategik dan melaksanakan program pembangunan kapasiti. Usaha ini mendorong keselarasan piawaian halal di peringkat antarabangsa dan membuka akses pasaran yang lebih luas. 

Laporan SGIE 2025/2026 turut mengenal pasti peluang baharu yang perlu diterokai. Ini termasuk pendigitalan pensijilan halal, kebolehkesanan berasaskan blokchain (blockchain-enabled traceability), kewangan digital Islam dan pengeluaran halal yang mampan. Ini adalah bidang-bidang di mana Malaysia mempunyai kelebihan untuk terus memimpin di peringkat global.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen