Borang EA anda merangkumi pendapatan pekerjaan daripada majikan, namun kebiasaannya itu bukanlah gambaran penuh. Kerja bebas (freelance), pendapatan sewa, dan pekerjaan kedua semuanya perlu diisytiharkan secara berasingan, manakala pelepasan cukai pula disertakan dengan syarat yang tidak begitu jelas.
Kesilapan biasanya berlaku kemudian, dan pada masa itu denda di bawah Seksyen 113(1)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967 boleh mencecah sehingga RM10,000 ditambah 200% daripada cukai yang dikenakan. Beberapa kesilapan yang sama sering berulang, bermula dengan tarikh akhir pemfailan.
Terlepas Tarikh Akhir Pemfailan
Tarikh akhir bergantung kepada jenis pendapatan anda. Pekerja bergaji yang mengemukakan Borang BE mempunyai tempoh sehingga 30 April 2026, dengan tempoh tangguh sehingga 15 Mei 2026 untuk e-Filing. Mereka yang menggunakan pendapatan perniagaan dan mengemukakan Borang B pula mempunyai tempoh sehingga 30 Jun 2026, dilanjutkan kepada 15 Julai 2026 untuk e-Filing.
Jika anda terlepas tempoh tangguh tersebut, LHDN akan mengenakan penalti 10% ke atas baki cukai yang belum dijelaskan. Tiada pengecualian automatik bagi pesalah kali pertama di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Tidak Mengaktifkan Akaun MyTax
Bagi pembayar cukai kali pertama, mendaftar dengan LHDN dan boleh log masuk ke e-Filing adalah dua perkara yang berbeza.
Mempunyai Nombor Pengenalan Cukai (Tax Identification Number atau TIN) bagi pemegang MyKad, ini adalah nombor kad pengenalan anda dan ia tidak memberi akses secara automatik kepada portal MyTax. Anda masih perlu mengaktifkan Sijil Digital anda melalui MyTax sebelum boleh mengemukakan apa-apa.
Tidak Mengisytiharkan Semua Pendapatan
Borang EA anda merangkumi pendapatan pekerjaan daripada majikan, tetapi ia mungkin bukan keseluruhan pendapatan bercukai anda. Pendapatan kerja bebas, pendapatan sewa, royalti, dividen melebihi ambang RM100,000 bagi YA 2025, pendapatan daripada platform seperti Shopee, Grab, atau perkhidmatan yang serupa, serta pendapatan daripada pekerjaan kedua semuanya perlu diisytiharkan secara berasingan.
Di bawah Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan 1967, tindakan sengaja mengurangkan pendapatan boleh mengakibatkan denda RM1,000 hingga RM10,000 dan penalti sebanyak 200% daripada cukai yang dikenakan. LHDN menyemak silang (cross check) data pendapatan daripada pelbagai sumber, jadi ketidakpadanan data sememangnya dapat dikesan.
Selain itu, semak semula angka PCB (Potongan Cukai Bulanan) dalam e-Filing untuk memastikan ia sepadan seperti yang tertera dalam borang EA. Kesilapan ini akan mempengaruhi sama ada cukai yang perlu dibayar atau jumlah bayaran balik anda dan ia mudah terlepas pandang.
Terlepas Atau Silap Tuntut Pelepasan Cukai
Jangan tuntut berlebihan seperti mengisytiharkan pembelian pelepasan gaya hidup yang tidak layak, atau menuntut pelepasan insurans tanpa dokumentasi sokongan. Tindakan ini boleh mengakibatkan denda RM300 hingga RM10,000, penjara atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, jika ia menyebabkan cukai kurang dikenakan.
Tuntutan yang terlalu rendah juga merugikan, walaupun kerugian itu selalunya tidak disedari. Pelepasan yang kerap terlepas pandang termasuklah:
- Caruman KWSP (sehingga RM4,000)
- Premium insurans hayat dan takaful (sehingga RM3,000)
- Insurans perubatan dan pendidikan (sehingga RM4,000 bagi YA 2025)
- Perbelanjaan perubatan ibu bapa (sehingga RM8,000)
- Pelepasan anak bagi setiap anak yang belum berkahwin di bawah umur 18 tahun
- Deposit SSPN (sehingga RM8,000)
- Pelepasan gaya hidup merangkumi buku, langganan internet, dan lain-lain (sehingga RM2,500)
- Peralatan sukan, sewaan atau bayaran masuk ke mana-mana kemudahan sukan (sehingga RM1,000)
Had insurans pendidikan dan perubatan telah dinaikkan daripada RM3,000 kepada RM4,000 bagi YA 2025. Jadi jika anda masih menggunakan angka lama, semak semula sebelum mengemukakan.
Tidak Menyimpan Dokumen Sokongan
Di bawah Seksyen 91 Akta Cukai Pendapatan 1967, LHDN boleh mengaudit penyata cukai anda sehingga lima tahun dari penghujung tahun taksiran berkenaan. Seksyen 82A pula secara berasingan mewajibkan anda menyimpan rekod pendapatan, perbelanjaan, dan aset selama tujuh tahun. Jika anda diaudit dan tidak dapat mengemukakan resit bagi pelepasan yang dituntut sama ada perbelanjaan perubatan, premium insurans, yuran pendidikan, atau pembelian gaya hidup tuntutan tersebut akan ditolak dan penalti mungkin dikenakan.
Sediakan sebuah fail khas untuk resit, sama ada secara fizikal atau digital, yang dikemas kini sepanjang tahun. Ia dapat menjimatkan banyak masa anda semasa ingin membuat tuntutan pelepasan cukai.
Butiran Bank Lapuk Dalam MyTax
LHDN memproses semua bayaran balik melalui Pindahan Dana Elektronik (Electronic Fund Transfer atau EFT) ke akaun bank yang didaftarkan dalam profil MyTax anda. Jika akaun itu sudah lapuk, ditutup, atau terdapat kesilapan menaip, bayaran balik anda tidak akan berjaya dan LHDN tidak akan menghubungi anda mengenainya.
Semak butiran bank anda dalam MyTax sebelum mengemukakan, dan kemaskini sekiranya ada perubahan.
Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Anda Terbuat Silap
Terdapat kesilapan selepas anda mengemukakan borang? Jika ia berlaku sebelum tarikh akhir pengemukaan, tulis emel kepada cawangan LHDN yang mengendalikan fail anda dengan surat menerangkan kesilapan tersebut beserta dokumen sokongan. Dalam tempoh enam bulan dari tarikh akhir, anda boleh mengemukakan Borang Pindaan Cukai (Amended Return Form atau ARF) melalui MyTax, selagi penyata asal anda dikemukakan tepat pada masanya.
Untuk panduan penuh proses e-Filing, rujuk Panduan Cukai Pendapatan 2026 (YA 2025) kami.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Pugaleshwaran Raja Kumaran adalah seorang Pengarah Eksekutif Cukai di ThinkTx Consultants dengan pengalaman lebih sedekad dalam melaksanakan penyelesaian cukai yang strategik dan praktikal. Dengan pengalaman tersebut, beliau menjadi penasihat kepada individu-individu dengan nilai bersih yang tinggi (high net worth), perbadanan multinasional, perniagaan yang sedang berkembang, serta membantu mereka menguruskan hal ehwal cukai yang kompleks dengan jelas dan yakin.
Beliau mempunyai pengalaman yang cukup meluas dalam pelbagai tugasan melibatkan cukai, termasuk pematuhan cukai korporat, Cukai Keuntungan Modal (CGT), cukai pegangan, duti setem, Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT), Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta khidmat nasihat mengenai pelaburan masuk dan keluar negara. Beliau juga menerajui bidang yang merangkumi insentif cukai, audit dan siasatan cukai, khidmat nasihat pelanggan peribadi, usaha wajar (due diligence) cukai, dan khidmat nasihat e-Invois. Ia secara tidak langsung, beliau memberikan sokongan yang menyeluruh merentasi pelbagai peringkat dalam urusan perniagaan.
Selain daripada khidmat nasihat pelanggan, beliau juga turut aktif dalam menyumbang kepada profesion percukaian melalui penulisan dan perkongsian mengenai dasar cukai Malaysia, perkembangan kawal selia, dan amalan terbaik industri. Beliau telah mengarang pelbagai jenis artikel teknikal dan buletin profesional, dengan penerbitan yang dipaparkan oleh International Bureau of Fiscal Documentation (IBFD), dan Wolters Kluwer (CCH) termasuk sumbangan kepada kemas kini kandungan Cukai Jualan dan Perkhidmatan Malaysia.
Keahlian Profesional
- Ejen Cukai Berlesen yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF)
- Ahli Chartered Tax Institute of Malaysia (CTIM)
- Ahli Persatuan Fiskal Antarabangsa (IFA)
- Penasihat Industri bagi Program Perakaunan dan Kewangan HELP Academy
Sebagai rakan kongsi RinggitPlus dengan kepakaran cukai yang dipercayai, Pugaleshwaran menyemak dan mengesahkan kandungan percukaian Malaysia bagi memastikan maklumat tersebut tepat, patuh undang-undang, dan relevan untuk kegunaan rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian.
