Senarai Tuntutan Pelepasan Cukai Pendapatan 2026 (e-Filing YA 2025)

KONGSI

Jika anda memfailkan cukai pendapatan pada tahun 2026 untuk pendapatan yang diperoleh pada tahun 2025 iaitu Tahun Taksiran 2025 (Year of Assessment 2025,YA 2025), pelepasan cukai adalah peluang anda untuk menjiimatkan cukai.

Pelepasan cukai dapat mengurangkan pendapatan bercukai anda. Ia boleh menurunkan braket pendapatan bercukai anda atau sekurang-kurangnya mengurangkan jumlah cukai akhir yang perlu dibayar.

Walaupun majikan anda telah memotong Potongan Cukai Bulanan (PCB) daripada gaji anda sepanjang tahun, anda tetap perlu meneliti pelepasan cukai anda. Cukai akhir yang perlu dibayar dikira selepas pelepasan, potongan, dan rebat. Jika jumlah gaji yang dipotong adalah lebih tinggi daripada jumlah cukai pendapatan yang dikenakan, anda layak mendapat bayaran balik.

Secara umumnya, jika pendapatan penggajian tahunan anda adalah sekitar RM34,000 dan ke atas (selepas potongan KWSP), anda berkemungkinan besar perlu memfailkan penyata cukai pendapatan.

Untuk memudahkan urusan anda, berikut adalah pecahan jelas mengenai pelepasan cukai, potongan, dan rebat yang boleh anda tuntut bagi YA 2025.

Tarikh Pemfailan yang Anda Perlu Ingat

Untuk  pekerja makan gaji yang memfailkan Borang BE, ini adalah tarikh akhir pemfailan:

Kaedah PemfailanTarikh Akhir
e-Filing15 Mei 2026

Jika anda mempunyai pendapatan dari hasil perniagaan dan memfailkan Borang B, tarikh akhir selalunya lebih lewat. Pastikan anda menyemak borang yang diperlukan bagi situasi anda sebelum memfailkan.

Bagaimana Pelepasan, Potongan, Dan Rebat Cukai Berfungsi

Sebelum itu, kami akan bantu anda untuk fahami dahulu perbezaan antara ketiga-tiga kategori ini.

Pelepasan Cukai

Pelepasan cukai mengurangkan pendapatan bercukai anda, iaitu jumlah yang digunakan untuk mengira berapa banyak cukai yang perlu anda bayar. Kategori inilah yang mengira perbelanjaan harian, termasuk caruman KWSP, premium insurans, pembelian untuk gaya hidup, bil perubatan, yuran pendidikan, dan kos berkaitan anak.

Potongan Cukai

Potongan cukai mengurangkan pendapatan agregat anda sebelum pendapatan bercukai anda dikira. Ramai yang terlibat dalam kategori ini dengan potongan derma atau langganan keahlian profesional.

Rebat Cukai

Rebat cukai digunakan pada penghujung pengiraan. Ia dapat mengurangkan jumlah cukai sebenar yang perlu dibayar selepas jumlah cukai anda telah ditentukan.

Contoh rebat cukai termasuklah rebat peribadi RM400, bayaran zakat dan fitrah, serta rebat levi* untuk pelepasan tertentu.

(*Levi ialah sejumlah wang atau cukai wajib yang dikenakan oleh pihak berkuasa atau kerajaan ke atas individu, syarikat, atau barangan tertentu)

Nota Ringkas Sebelum Anda Mula Menuntut

Senarai di bawah adalah berdasarkan ringkasan pelepasan cukai YA 2025 Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) untuk individu pemastautin.

Sambil anda meneliti perbelanjaan anda, cuba padankan setiap resit dengan kategori pelepasan yang betul. Ramai yang membuat kesilapan dengan menuntut perbelanjaan yang sama sebanyak dua kali di bawah kategori yang berbeza, jadi anda perlu meneliti dengan betul.

Anda juga disarankan untuk memastikan dokumen sokongan anda disimpan dengan teratur. Di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, pembayar cukai dikehendaki menyimpan dokumen berkaitan selama tujuh tahun dari akhir tahun taksiran.

Senarai Terperinci: Pelepasan, Potongan, Dan Rebat Cukai Untuk YA 2025

Bahagian 1: Pelepasan Cukai

Individu Dan Saudara Tanggungan

Tuntutan: RM9,000

Ini adalah pelepasan asas yang diterima oleh kebanyakan pembayar cukai pemastautin secara automatik apabila memfailkan cukai mereka.

Orang Kurang Upaya (OKU)

Tuntutan: RM7,000

Pembayar cukai yang disahkan sebagai kurang upaya oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh menuntut pelepasan tambahan ini.

Suami, Isteri, Atau Bayaran Alimoni (Nafkah)

Tuntutan: Sehingga RM4,000

Pelepasan ini boleh dituntut jika anda menyara pasangan yang tidak mempunyai punca pendapatan atau jika pasangan anda memilih untuk taksiran bersama di bawah nama anda.

Ia juga boleh terpakai untuk bayaran alimoni yang dibuat kepada bekas isteri, tertakluk kepada had RM4,000.

Suami Atau Isteri OKU

Tuntutan: RM6,000

Jika pasangan anda disahkan sebagai individu kurang upaya, anda boleh menuntut pelepasan tambahan ini.

Yuran Pendidikan

Tuntutan: Sehingga RM7,000

Pelepasan ini terpakai untuk yuran pendidikan bagi kursus yang diambil di institusi yang diiktiraf di Malaysia.

Kursus yang layak termasuk program pascasiswazah seperti Sarjana atau PhD, serta pengajian peringkat tertiari dalam bidang seperti undang-undang, perakaunan, atau bidang teknikal dan vokasional.

Terdapat juga sub-had RM2,000 untuk kursus peningkatan kemahiran atau pembangunan diri.

Faedah Pinjaman Perumahan Untuk Pemilikan Rumah Pertama

Tuntutan: Sehingga RM7,000 atau RM5,000

Pembeli rumah pertama boleh menuntut pelepasan cukai ke atas faedah yang dibayar untuk pinjaman perumahan mereka. Secara amnya, pelepasan ini boleh dituntut sehingga tiga tahun taksiran berturut-turut, bermula dari tahun pertama faedah pinjaman perumahan dibayar.

Ini terpakai untuk hartanah kediaman dengan Perjanjian Jual Beli atau Sale and Purchase Agreement (SPA) yang ditandatangani antara 1 Januari 2025 dan 31 Disember 2027.

Had pelepasan bergantung kepada harga hartanah:

Harga HartanahPelepasan Maksimum
Sehingga RM500,000RM7,000
RM500,001 – RM750,000RM5,000

Nota penting: Anda menuntut bahagian faedah pinjaman perumahan anda, bukan jumlah ansuran bulanan penuh.

Perubatan & Keperluan Khas

Perbelanjaan Perubatan Untuk Diri Sendiri, Pasangan, Atau Anak

Tuntutan: Sehingga RM10,000

Pelepasan ini merangkumi pelbagai perbelanjaan perubatan, termasuk rawatan untuk penyakit serius, rawatan kesuburan, vaksinasi, pemeriksaan pergigian, dan pemeriksaan perubatan.

Dalam had keseluruhan RM10,000, perbelanjaan tertentu mempunyai sub-had sendiri. Vaksinasi, pemeriksaan pergigian, dan pemeriksaan perubatan masing-masing terhad kepada RM1,000.

Pelepasan ini juga termasuk diagnosis, intervensi awal, atau program pemulihan untuk kanak-kanak berumur 18 tahun dan ke bawah dengan masalah pembelajaran, dihadkan pada RM6,000.

Rawatan Perubatan Dan Penjagaan Untuk Ibu Bapa & Datuk Nenek

Tuntutan: Sehingga RM8,000

Ini merangkumi perbelanjaan untuk rawatan perubatan, rawatan pergigian, penjagaan keperluan khas, dan penjagaan rumah jagaan untuk ibu bapa atau datuk nenek.

Pemeriksaan perubatan penuh dan vaksinasi untuk ibu bapa juga termasuk, dengan sub-had RM1,000.

Peralatan Sokongan Asas Untuk OKU

Tuntutan: Sehingga RM6,000

Pelepasan ini terpakai untuk peralatan yang dibeli untuk individu kurang upaya, termasuk barangan seperti kerusi roda, alat bantuan pendengaran, mesin dialisis, atau anggota palsu.

Individu kurang upaya tersebut mestilah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Gaya Hidup

Pelepasan Gaya Hidup

Tuntutan: Sehingga RM2,500

Pelepasan ini merangkumi beberapa perbelanjaan harian seperti buku, jurnal, telefon pintar, tablet, komputer peribadi, bil langganan internet, dan kursus peningkatan kemahiran.

Pelepasan Gaya Hidup Sukan Tambahan

Tuntutan: Sehingga RM1,000

Berasingan daripada pelepasan gaya hidup RM2,500, kategori ini merangkumi peralatan sukan, yuran kemasukan kemudahan sukan, yuran pendaftaran pertandingan, dan keahlian gim atau yuran latihan sukan.

Peralatan Mengecas EV & Mesin Kompos Sisa Makanan

Tuntutan: Sehingga RM2,500

Anda boleh menuntut perbelanjaan berkaitan pembelian atau pemasangan peralatan pengecasan kenderaan elektrik, langganan kemudahan pengecasan EV, atau membeli mesin kompos sisa makanan domestik untuk kegunaan isi rumah.

Insurans & Caruman

Insurans Hayat Dan KWSP

Tuntutan: Sehingga RM7,000

Pelepasan ini termasuk caruman kepada KWSP serta caruman insurans hayat atau takaful.

Skim Persaraan Swasta (PRS) & Anuiti Tertangguh

Tuntutan: Sehingga RM3,000

Ini terpakai untuk caruman yang dibuat kepada akaun PRS atau pelan anuiti tertangguh tertentu. Pelepasan cukai untuk caruman PRS kini dilanjutkan sehingga Tahun Taksiran 2030.

Insurans Pendidikan Dan Perubatan

Tuntutan: Sehingga RM4,000

Premium insurans yang dibayar untuk perlindungan pendidikan atau perubatan untuk diri sendiri, pasangan, atau anak-anak anda mungkin layak untuk pelepasan ini.

Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)

Tuntutan: Sehingga RM350

Caruman pekerja kepada PERKESO dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 boleh dituntut di bawah kategori ini.

Simpanan Bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN)

Tuntutan: Sehingga RM8,000

Ibu bapa yang menyimpan untuk pendidikan tinggi anak-anak mereka melalui SSPN boleh menuntut pelepasan berdasarkan simpanan bersih mereka sepanjang tahun. Ini bermaksud deposit ditolak sebarang pengeluaran yang dibuat dalam tahun yang sama.

Pelepasan Anak

Anak Di Bawah Umur 18 Tahun

Tuntutan: RM2,000 bagi setiap anak

Pelepasan ini terpakai untuk anak yang belum berkahwin di bawah umur 18 tahun.

Anak Berumur 18 Tahun Dan Ke Atas Dalam Pendidikan Sepenuh Masa

Tahap PendidikanPelepasan
Diploma & ke atas di Malaysia / Ijazah di luar negaraRM8,000
Pendidikan sepenuh masa lain yang layakRM2,000

Anak OKU Belum Berkahwin 

Tuntutan: RM8,000

Ibu bapa dengan anak kurang upaya yang belum berkahwin boleh menuntut pelepasan ini.

Pelepasan Tambahan Untuk Anak OKU Dalam Pendidikan Tinggi

Tuntutan: Tambahan RM8,000

Jika anak kurang upaya tersebut berumur 18 tahun dan ke atas dan sedang mengikuti pendidikan tinggi, pelepasan tambahan boleh dikenakan.

Yuran Pusat Asuhan Kanak-Kanak Atau Tadika Berdaftar

Tuntutan: Sehingga RM3,000

Ibu bapa boleh menuntut yuran yang dibayar kepada pusat asuhan kanak-kanak atau tadika yang berdaftar untuk anak-anak berumur enam tahun dan ke bawah.

Peralatan Penyusuan Ibu

Tuntutan: Sehingga RM1,000

Pembayar cukai wanita boleh menuntut perbelanjaan untuk peralatan penyusuan yang digunakan untuk anak sendiri berumur dua tahun dan ke bawah.

Pelepasan ini hanya boleh dituntut sekali setiap dua tahun.

Bahagian 2: Potongan Cukai

Derma, Hadiah, Dan Sumbangan

Derma yang dibuat kepada institusi atau organisasi yang diluluskan mungkin layak untuk dapat potongan cukai, selalunya terhad kepada 10% daripada pendapatan keseluruhan anda.

Perkara yang paling penting di sini adalah untuk menyimpan resit rasmi yang menunjukkan kategori derma yang diluluskan dengan jelas.

Langganan Keahlian Badan Profesional

Jika anda membayar yuran keahlian kepada badan profesional sebagai sebahagian daripada tugas anda, anda mungkin boleh menuntutnya sebagai potongan cukai.

Ini biasanya terpakai kepada profesion di mana mengekalkan keahlian diperlukan untuk menjalankan amalan, seperti doktor, peguam, akauntan, arkitek, atau jurutera.

Anda boleh menuntut langganan keahlian sebenar yang anda bayar sepanjang tahun. Tiada had maksimum tetap, selagi keahlian tersebut berkaitan secara langsung dengan profesion anda.

Sebagai contoh:

Jika anda membayar RM800 untuk keahlian badan perakaunan, anda boleh menuntut RM800.

Jika anda membayar RM1,200 untuk langganan badan profesional guaman, anda boleh menuntut RM1,200.

Cuma pastikan anda menyimpan resit atau penyata yang menunjukkan pembayaran keahlian sekiranya LHDN meminta dokumen sokongan kemudian.

Bahagian 3: Rebat Cukai

Rebat Cukai Peribadi Dan Pasangan

Jika pendapatan bercukai anda adalah RM35,000 atau ke bawah, anda mungkin layak untuk rebat cukai RM400.

Rebat tambahan RM400 juga mungkin terpakai jika pasangan anda tidak mempunyai pendapatan dan anda layak untuk pelepasan pasangan yang berkaitan.

Zakat Dan Fitrah

Zakat adalah sumbangan kebajikan wajib yang dibayar oleh orang Islam, biasanya berdasarkan pendapatan atau simpanan. Fitrah (juga dikenali sebagai zakat fitrah) pula adalah sumbangan lebih kecil yang wajib dibayar oleh orang Islam sekali setahun semasa bulan Ramadan.

Untuk tujuan cukai, bayaran zakat dan fitrah boleh digunakan sebagai rebat cukai. Ini bermakna, jumlah yang anda bayar akan secara langsung mengurangkan cukai yang anda hutang.

Sebagai contoh, jika cukai akhir yang kena dibayar ialah RM1,200 dan anda membayar RM300 dalam bentuk zakat, cukai yang perlu dibayar akan dikurangkan kepada RM900.

Cuma simpan resit atau bukti pembayaran daripada institusi zakat yang sah sekiranya LHDN memintanya kemudian.

Rebat Levi Pelepasan Untuk Perjalanan Keagamaan

Rebat ini terpakai kepada levi pelepasan, iaitu cukai kerajaan yang dikenakan apabila meninggalkan Malaysia melalui jalan udara.

Ia berbeza daripada caj perkhidmatan penumpang lapangan terbang, yang sering dipanggil cukai lapangan terbang. Levi pelepasan adalah cukai berasingan yang diperkenalkan oleh kerajaan pada 2019 dan biasanya termasuk dalam harga tiket penerbangan anda.

Jika anda membayar levi ini semasa melancong untuk umrah atau ziarah keagamaan lain yang diiktiraf, anda boleh menuntut rebat cukai yang sama dengan jumlah levi pelepasan yang dibayar.

Untuk menyokong tuntutan anda, anda harus menyimpan dokumen seperti pas masuk anda dan sebarang dokumen sokongan yang berkaitan dengan perjalanan keagamaan tersebut.

Sebelum Anda Tekan Butang Hantar

Sebelum menghantar penyata cukai anda, anda disarankan untuk meluangkan masa beberapa minit untuk menyemak semula bahagian yang biasanya ramai terlepas pandang. Mengasingkan kategori insurans dengan betul, mengira simpanan bersih SSPN dan bukannya jumlah deposit, dan perlu diingat bahawa pelepasan cukai sukan adalah berasingan daripada pelepasan gaya hidup umum.

Jika anda memfailkan buat kali pertama, prosesnya mungkin terasa agak sukar, tetapi sebaik sahaja anda memahami cara kategori pelepasan berfungsi, ia menjadi lebih mudah untuk tahun seterusnya.

Cara mudah untuk melakukannya adalah dengan menyemak terlebih dahulu resit dan perbelanjaan anda dari tahun lepas dan lihat mana yang sesuai untuk dimasukkan dalam kategori-kategori di atas. Anda mungkin terkejut berapa banyak perbelanjaan harian yang sebenarnya layak untuk mendapat pelepasan cukai.

Sebaik sahaja anda menghantar penyata, simpan dokumen anda dengan selamat dan teratur. Walaupun semuanya berjalan lancar dan anda menerima bayaran balik, LHDN mungkin akan meminta dokumen sokongan dikemudian hari.

Meluangkan sedikit masa sekarang untuk menyemak pelepasan anda dengan betul boleh menjadikan musim pemfailan kurang stres dan mungkin dapat memasukkan kembali sedikit wang  ke dalam poket anda.

Untuk pecahan penuh semua perubahan pada pelepasan cukai bagi YA 2025, baca panduan Cukai Pendapatan Malaysia: Apa Yang Baru untuk YA 2025i.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments