Operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang mengubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya hingga Johan Setia, Klang akan mula beroperasi pada Isnin depan (29 Jun). Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan bahawa majlis pelancaran laluan baharu itu akan disempurnakan terlebih dahulu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari Ahad (28 Jun).
Beliau membuat pengumuman itu dalam satu sidang media selepas merasmikan pembukaan pejabat baharu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada 22 Jun lalu.
Hubungkan Petaling Jaya dan Klang Melalui 20 Stesen
Laluan rel sepanjang 37.8 kilometer menawarkan alternatif pengangkutan awam yang lebih pantas buat penduduk di sekitar Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.
Sistem pengangkutan moden ini merangkumi 20 stesen tumpuan. Antaranya termasuklah stesen Bandar Utama, Glenmarie 2, Stadium Shah Alam, UiTM Shah Alam, Bandar Baru Klang, Pasar Klang, Bandar Bukit Tinggi, dan berakhir di Johan Setia.
Di stesen Bandar Utama, penumpang boleh menukar laluan dengan MRT Laluan Kajang, manakala stesen Glenmarie 2 pula saling berhubung dengan LRT Laluan Kelana Jaya. Ini menjadikan laluan baharu ini saling berhubung dengan Sistem Transit Bersepadu Lembah Klang.
Tambang LRT3 Bermula Dari 80 Sen
Tambang LRT3 bermula dari RM0.80 sehingga RM4.90 bagi bayaran secara tunai. Sementara tambang maksimum tanpa tunai pula adalah RM4.30.
Sama seperti laluan lain, tambang konsesi dengan diskaun 50% turut ditawarkan buat mereka yang layak iaitu bagi kategori kanak-kanak, pelajar, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU). Anda boleh semak jadual tambang menerusi laman web RapidKL.
2,300 Petak Tempat Letak Kereta Disediakan
Bagi memudahkan lagi perjalanan penumpang, RapidKL turut menyediakan kemudahan Park N’ Ride dengan sekitar 2,300 petak letak kereta di laluan LRT3.
Stesen-stesen yang terlibat termasuk Kayu Ara dengan 350 petak parkir, Damansara Idaman (150), Pasar Klang (100), Bandar Bukit Tinggi (600), Seri Andalas dan Johan Setia masing-masing 550 kotak parkir. Stesen-stesen lain di sepanjang laluan LRT3 tidak mempunyai kemudahan parkir buat masa ini.
LRT3 Jadi Alternatif Elak Kesesakan Lebuhraya Persekutuan dan KESAS
Kehadiran LRT3 kini menawarkan alternatif yang jauh lebih pantas dan praktikal untuk penduduk di Lembah Klang yang selama ini memandu di Lebuhraya Persekutuan atau KESAS yang boleh memakan masa lebih 45 minit pada waktu puncak.
LRT3 memberikan akses terus ke jaringan rel utama tanpa perlu bersesak di jalan raya. Bagaimanapun, impak maksimum mod pengangkutan ini kepada rutin harian anda sebenarnya bergantung kepada jarak rumah ke stesen serta ketersediaan kemudahan Park N’ Ride.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
