BNM Lancar Portal Semak Kasih, Mudahkan Waris Semak Polisi Insurans dan Sijil Takaful

KONGSI

Bank Negara Malaysia (BNM) telah melancarkan portal Semak Kasih pada 26 Jun 2026. Portal sehenti ini membolehkan anda menyemak secara dalam talian sama ada ahli keluarga yang telah meninggal dunia mempunyai perlindungan insurans hayat atau takaful keluarga. Portal ini dibangunkan oleh Persatuan Takaful Malaysia (MTA) bersama Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) di bawah seliaan BNM.

Hampir 50,000 Manfaat Masih Belum Dituntut

Berdasarkan anggaran MTA dan LIAM, kira-kira 50,000 polisi insurans dan sijil takaful yang melibatkan manfaat kematian masih belum dituntut oleh waris.

Timbalan Gabenor BNM, Adnan Zaylani Mohamad Zahid berkata, syarikat insurans dan takaful sebelum ini sudah cuba menghubungi waris melalui surat dan ejen, namun banyak manfaat masih tidak sampai kepada keluarga yang layak.

Cara Semak Melalui Portal Semak Kasih

Semak Kasih membolehkan anda menyemak rekod menerusi syarikat-syarikat insurans dan takaful yang menyertai inisiatif ini dalam satu semakan. Portal Semak Kasih ini percuma dan terbuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas. Buat masa ini, semakan meliputi rekod takaful keluarga dan insurans hayat sahaja.

Mulakan dengan mendaftar akaun menggunakan nama, nombor MyKad, alamat emel dan nombor telefon bimbit anda. Selepas pendaftaran berjaya, log masuk dan hantar pertanyaan dengan memasukkan butiran si mati, termasuk nombor pengenalan dan nombor sijil kematian. Anda juga perlu memuat naik salinan sijil kematian, dan hanya sijil yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sahaja yang diterima dalam format PDF, JPEG, JPG atau PNG dengan saiz maksimum 5 MB. 

Jika rekod yang sepadan ditemui, sistem akan memaparkan nama dan maklumat hubungan pengendali takaful atau syarikat insurans berkaitan. Anda dibenarkan membuat tiga kali carian dalam sehari dan had akan ditetapkan semula dalam masa 24 jam. Sebarang pertanyaan boleh dibuat menerusi talian Semak Kasih di +603 7456 3960.

Portal Semak Kasih Tidak Memproses Tuntutan

Semak Kasih hanya mengesahkan kewujudan perlindungan dan mengenal pasti syarikat yang memegang polisi atau sijil tersebut. Ia tidak memproses tuntutan insurans atau takaful. Selepas anda kenal pasti syarikat mana yang terlibat, urusan tuntutan perlu dibuat dengan pengendali takaful atau syarikat insurans berkenaan mengikut prosedur masing-masing.

Kepada waris yang selama ini tertanya-tanya sama ada ahli keluarga mereka yang telah meninggal dunia mempunyai perlindungan insurans hayat atau takaful, Semak Kasih kini memudahkan anda untuk melakukan semakan.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.  

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen