Dapat majikan yang memahami susah payah pekerja bawahnya adalah satu rezeki yang tidak semua orang dapat. Ramai pekerja yang terpaksa bertahan dalam keadaan kerja yang memenatkan tanpa sebarang pengiktirafan, apatah lagi kenaikan gaji.
Tapi bila majikan sendiri turun padang dan rasa apa yang pekerja rasa, tidak mustahil untuk berlakunya sebarang perubahan positif di tempat kerja tersebut.
Pengasas Suka Dessert Rasai Sendiri Susah Payah Staf Di Dapur
Begitulah kisah pengasas Suka Dessert dan usahawan, Siti Hajar Mohd Razali atau lebih mesra disapa Auntie Ja yang boleh dijadikan contoh bagaimana empati seorang majikan boleh mengubah nasib pekerja.
Menerusi perkongsian di akaun TikTok miliknya, Auntie Ja pada awalnya dalam perjalanan ke Temerloh, Pahang pada 9 Mei lalu untuk menghadiri sebuah acara. Namun beliau memilih untuk berpatah balik selepas mengetahui pekerja di bahagian dapur masakan panas kekurangan empat orang staf.
Difahamkan, tiga orang pekerjanya mengambil cuti sakit kerana demam dan seorang lagi sedang dalam cuti tahunan.
Susulan itu, Auntie Ja bertindak turun padang ke bahagian dapur masakan panas untuk membantu pekerja-pekerjanya yang lain.
Auntie Ja Akui Bekerja Di Bahagian Dapur Memenatkan
Sepanjang berada di dapur, beliau diberi tugasan untuk menggoreng (deep fry). Meskipun tugas yang dilakukan olehnya adalah mudah, namun dia mengakui kerja di bahagian dapur amatlah penat.
Pengalaman itu telah membuka matanya. Bekerja di dapur panas bukan sekadar berdiri masak, malah setiap pergerakan perlu pantas. Auntie Ja mengaku dia langsung tidak sempat membetulkan tudungnya sendiri. Bahkan bajunya juga penuh dengan tepung.
Selama ini dia lebih banyak bergelumang dalam industri pencuci mulut dan coklat. Selepas satu hari di dapur panas, dia akui kerja tersebut jauh lebih memenatkan daripada apa yang difahami sebelum ini.
Auntie Ja Naikkan Gaji Pekerja Di Bahagian Dapur Sebanyak RM700
Auntie Ja tidak tunggu lama. Selepas merasai sendiri beban kerja pekerjanya, dia terus buat keputusan:
- Gaji pekerja bahagian dapur dinaikkan sebanyak RM700
- Pekerja boleh pilih sama ada mahu bekerja 5 atau 6 hari seminggu, dengan gaji berubah mengikut pilihan
- Kadar kerja lebih masa (overtime) dinaikkan untuk semua pekerja Suka Dessert
- Suka Dessert akan bina dapur berpusat (central kitchen) untuk asingkan bahagian memasak dengan bahagian penyediaan bahan
Anda boleh tonton video penuh di TikTok.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
