Tuntutan PERKESO Dijangka Naik 3 Kali Ganda, Anda Kini Lebih ‘Selamat’

KONGSI

Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menjangkakan tuntutan tahunan akan meningkat sehingga 200% daripada 170,000 kes setahun, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan Ramakrishnan.

Jangkaan lonjakan ini berlaku disebabkan oleh perluasan liputan PERKESO kepada golongan pekerja yang sebelum ini tidak dilindungi.

Siapa Yang Kini Akan Dilindungi?

Tiga skim baharu menjadi pemacu utama peningkatan tuntuan tahunan PERKESO:

  • LINDUNG 24 Jam yang melanjutkan perlindungan kepada pekerja sepanjang masa, bukan hanya semasa waktu kerja rasmi.
  • Akta Pekerja Gig 2025 yang membolehkan pekerja platform seperti pemandu e-hailing, penghantar makanan dan pekerja bebas mendapat perlindungan PERKESO.
  • Skim Pengembara yang kini sedang dalam pembangunan.

Jika anda termasuk dalam kategori pekerja gig, anda kini layak membuat tuntutan sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan semasa bekerja. Manakala untuk mereka yang bekerja sendiri pula perlulah mendaftar di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG KENDIRI) untuk mendapat perlindungan sama.

Apa Kaitan Perlindungan PERKESO Dengan Wang Anda?

Perlindungan PERKESO adalah jaring keselamatan kewangan anda. Sekiranya anda cedera dan tidak boleh bekerja, tuntutan PERKESO boleh menanggung sebahagian daripada kesan kehilangan pendapatan. Tanpa perlindungan ini, anda terpaksa bergantung sepenuhnya pada simpanan peribadi atau meminjam untuk menanggung kos perubatan dan sara hidup semasa tempoh pemulihan.

Dari segi kemudahan rawatan pula, kapasiti pemulihan kini lebih besar. Pusat Pemulihan PERKESO Sultan Nazrin Shah di Meru Raya, Perak, mampu merawat sehingga 700 pesakit pada satu masa dan 3,000 pesakit setahun. Sejak beroperasi pada Julai 2025, sebanyak 1,095 pesakit telah menerima rawatan untuk pelbagai keadaan termasuk kemalangan, kecederaan saraf tunjang, penyakit pekerjaan dan strok.

Pusat pemulihan bernilai lebih kurang RM1 bilion ini juga menempatkan jumlah unit peranti Cyberdyne antara yang terbanyak di dunia iaitu sebanyak 65 unit selepas, hasil kerjasama dengan Cyberdyne Inc dari Jepun. Akses kepada kemudahan pemulihan yang lebih baik bermakna kos rawatan yang sebelum ini perlu ditanggung sendiri boleh dikurangkan, sekiranya anda dilindungi oleh PERKESO.

Apa Yang Perlu Anda Buat Sekarang?

Jika anda pekerja gig, tanggungjawab pendaftaran ada pada majikan atau platform yang menggaji anda, bukan pada anda sendiri. Di bawah Akta Pekerja Gig 2025, majikan diwajibkan mendaftarkan pekerja mereka dengan PERKESO. Jika anda tidak pasti sama ada anda telah didaftarkan atau belum, anda digalakkan untuk bertanya terus kepada majikan atau platform anda.

Jika anda majikan atau menguruskan platform yang menggunakan pekerja gig pula, kewajipan untuk mendaftarkan mereka dengan PERKESO kini terletak pada anda. Semak tanggungjawab caruman anda di bawah Akta Pekerja Gig 2025 [PDF].

Manakala jika anda pekerja bebas atau pekerja gig yang tidak terikat dengan mana-mana platform atau majikan, anda perlu mendaftar sendiri di bawah skim LINDUNG KENDIRI. Caruman dibayar sendiri, tetapi sekiranya berlaku kemalangan atau kecederaan semasa bekerja, perlindungan ini boleh mengurangkan bebanan kos perubatan dan kehilangan pendapatan yang terpaksa anda tanggung. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen