Urusan pentadbiran harta pusaka di Malaysia boleh mengambil masa yang lama. Antara punca utama kelewatan itu adalah penilaian hartanan yang selama ini bergantung kepada proses manual.
Susulan itu, AmanahRaya dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada 16 Jun lalu telah melancarkan AmanahRaya-JPPH Drive, iaitu platform digital bersepadu yang direka khusus untuk mempercepatkan proses penilaian hartanah dalam urusan pentadbiran harta pusaka.
Apa Yang Amanah-JPPH Drive Lakukan
Amanah-JPPH Drive menghubungkan JPPH dengan AmanahRaya dalam satu sistem yang sama. Maklumat penilaian hartanah boleh dikongsi dan diproses secara digital antara kedua-dua pihak bagi menggantikan proses lama yang banyak melibatkan dokumen fizikal yang dilakukan secara manual.
Bagi waris atau wakil harta pusaka, ini bermakna proses penilaian yang selama ini mengambil masa yang lama akan lebih cepat diselesaikan.
Kenapa Penilaian Hartanah Penting Dalam Proses Pusaka
Apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan hartanah, penilaian oleh JPPH diperlukan sebelum harta tersebut boleh dibahagi-bahagikan kepada waris. Ini salah satu peringkat yang kerap menjadi punca kelewatan dalam proses pusaka yang melibatkan hartanah.
Dengan Amanah-JPPH Drive, terdapat tiga perkara dijangka akan berubah. Pertama, permohonan penilaian hartanah akan diproses dalam satu sistem bersepadu. Kedua, rekod dan data diuruskan secara terpusat, mengurangkan risiko kesilapan atau dokumen yang tercicir. Ketiga, masa pemprosesan berpotensi dipendekkan kerana tiada keperluan untuk uruskan dokumen secara fizikal.
Siapa Yang Akan Uruskan Harta Pusaka Anda
Pentadbiran harta pusaka di Malaysia melibatkan beberapa saluran yang berbeza bergantung kepada jenis dan nilai harta. AmanahRaya, sebagai pemegang amanah awam di bawah Akta Perbadanan Amanah Raya 1995, mempunyai bidang kuasa untuk mentadbir harta pusaka secara terus tanpa wasiat yang terdiri daripada harta alih sahaja bernilai tidak melebihi RM600,000. Bagaimanapun, AmanahRaya masih boleh menguruskan kes melibatkan hartanah atau nilai yang lebih tinggi melalui saluran Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, bagi pengurusan harta pusaka kecil yang melibatkan hartanah bernilai sehingga RM5 juta, prosesnya dikendalikan oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), manakala kes yang melebihi had nilai tersebut pula dibawa ke Mahkamah Tinggi Sivil.
Jika anda atau ahli keluarga sedang dalam proses menuntut harta pusaka yang melibatkan hartanah, proses penilaian oleh JPPH adalah langkah yang biasanya tidak boleh dilangkau. Kelewatan di peringkat ini akan memberi impak kelewatan kepada keseluruhan proses pembahagian harta.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
