Hibah Bukan Hanya untuk Orang Kaya, Ketahui Bagaimana Ia Berfungsi dan Kepentingannya

KONGSI

Ramai yang mula serius fikir tentang hibah selepas melalui sendiri betapa rumitnya proses mengurus harta orang yang baru meninggal dunia. Kalau ada waris yang tidak bersetuju, atau kalau si mati tidak meninggalkan wasiat, urusan penyelesaian harta boleh berlanjutan bertahun-tahun di mahkamah. 

Hibah adalah salah satu cara untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku.. Namun, tidak dinafikan masih ada individu yang berpandangan bahawa hibah hanyalah untuk golongan kaya yang berharta sahaja.

Apa Itu Hibah?

Hibah adalah pemberian harta semasa pemberi masih hidup kepada seseorang yang dipilih. Ia berbeza daripada wasiat kerana pemberian berlaku ketika anda masih bernyawa, dan bukan selepas kematian. Dalam Islam, hibah adalah sah di sisi undang-undang Syariah dan telah lama diamalkan. Untuk orang bukan Islam, konsep yang serupa boleh dilakukan melalui mekanisme undang-undang sivil seperti deed of gift atau trust.

Berbeza dengan faraid yang membahagikan harta pusaka mengikut hukum Islam yang ditetapkan, hibah dibuat atas kehendak sendiri semasa hayat. Harta yang dihibahkan tidak termasuk dalam kiraan faraid kerana ia telah pun berpindah milik semasa pemberi masih hidup.

Hibah Bukan Untuk Orang yang Memiliki Harta Berjuta-juta Sahaja

Hibah bukan semata-mata untuk mereka yang mempunyai hartanah berjuta-juta atau simpanan yang besar. Siapa sahaja yang mempunyai harta, sama ada rumah, kereta, simpanan, akaun ASB, saham, atau perniagaan, boleh membuat hibah. Syaratnya adalah pemberi perlu waras, sudah baligh dan membuat keputusan itu atas kehendak sendiri tanpa sebarang paksaan. Penerima pula boleh terdiri daripada anak, isteri, ibu bapa, atau mana-mana individu lain yang anda pilih.

Hibah juga boleh dibuat kepada lebih daripada satu orang. Anda boleh menentukan bahagian masing-masing, contohnya 60% kepada isteri dan 40% kepada anak sulung.

Harta Apa yang Boleh Dihibahkan

Secara umumnya, mana-mana harta yang anda miliki sepenuhnya boleh dihibahkan. Ini termasuk hartanah, wang dalam akaun simpanan, saham, dan harta perniagaan.

Walau bagaimanapun, ada beberapa perkara yang perlu difahami. Untuk rumah yang masih ada baki pinjaman bank (dikenali sebagai hartanah bercagar), kedudukannya lebih rumit. Para ulama berbeza pandangan tentang kesahihan hibah jenis ini. Ada yang mengatakan ia tidak sah kerana pemberi hibah tidak mempunyai pemilikan penuh, ada pula yang membenarkannya dengan syarat mendapat kebenaran bertulis daripada pihak bank. Sesetengah Mahkamah Syariah juga mensyaratkan perlindungan MRTA atau MRTT (takaful pinjaman perumahan) yang melindungi keseluruhan tempoh pinjaman sebelum hibah boleh disahkan. Ini bermakna, hibah hartanah bercagar bukan sesuatu yang boleh dibuat sendiri. Anda perlu mendapatkan bantuan daripada peguam atau syarikat amanah yang berpengalaman dalam bidang ini.

Untuk akaun KWSP, wang simpanan yang masih ada dalam akaun KWSP tidak boleh dihibahkan secara langsung. Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 2000, penama KWSP bagi ahli beragama Islam hanyalah wasi atau pentadbir yang bertanggungjawab mengagihkan wang tersebut mengikut faraid kepada waris yang berhak, bukan pemilik mutlak. Ramai yang keliru antara penamaan KWSP dengan hibah, sedangkan keduanya adalah perkara yang berbeza dari segi tujuan dan implikasi undang-undang. Walau bagaimanapun, wang KWSP yang telah dikeluarkan sepenuhnya, atau yang dilaburkan dalam akaun unit amanah seperti ASB, boleh dihibahkan melalui mekanisme yang berasingan.

Boleh Ke Hibah Dicabar atau Dibatalkan?

Ini soalan yang ramai terlepas pandang. Hibah yang telah sempurna, iaitu harta telah diserahkan dan penerima telah mengambil milikan secara umumnya tidak boleh ditarik balik. Pengecualiannya hanya dalam keadaan tertentu yang diiktiraf oleh mahkamah Syariah, seperti jika pemberi dipaksa atau tidak waras ketika membuat hibah.

Kalau anda hanya membuat akad hibah secara lisan tetapi harta belum diserahkan atau belum didaftarkan secara sah, hibah itu masih boleh dipertikaikan. Sebab itulah proses pendokumentasian dan pindah milik yang betul perlu dilakukan dengan teliti, bukan sekadar bergantung pada persetujuan lisan semata-mata.

Waris lain boleh mencabar hibah di Mahkamah Syariah, terutamanya jika mereka mendakwa hibah itu tidak memenuhi syarat sah. Inilah sebab perlunya bantuan dari peguam atau institusi berkaitan  sejak dari awal, bukannya apabila timbul masalah di kemudian hari.

Proses Membuat Hibah di Malaysia

Tempat yang anda perlu hubungi bergantung pada jenis harta dan latar belakang agama anda. Berikut adalah panduan ringkas:

Untuk unit amanah ASB: ASNB menyediakan perkhidmatan Hibah Amanah khusus untuk pemegang unit warganegara Malaysia beragama Islam berumur 18 tahun ke atas, dengan baki minimum 1,000 unit. Yuran pendaftarannya adalah RM180 sahaja dan permohonan boleh dibuat di mana-mana cawangan ASNB.

Untuk harta am dan perancangan menyeluruh: Amanah Raya Berhad (ARB) sebagai pemegang amanah awam negara menawarkan perkhidmatan pengurusan hibah. Anda boleh melantik ARB sebagai pemegang amanah (trustee) bagi memastikan hibah dilaksanakan mengikut kehendak anda.

Untuk hibah melalui Majlis Agama Islam: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), sebagai contoh, menawarkan perkhidmatan hibah dengan fi pelaksanaan sebanyak 1% daripada nilai harta yang dihibahkan. MAIN di negeri-negeri lain turut menyediakan perkhidmatan serupa. Hubungi MAIN di negeri anda untuk maklumat lanjut.

Untuk pengesahan melalui mahkamah: Hibah juga boleh disahkan melalui Mahkamah Tinggi Syariah. Proses ini biasanya memerlukan bantuan peguam Syarie.

Kos keseluruhan bergantung pada nilai harta dan jenis perkhidmatan yang diambil. Secara kasarnya, sediakan bajet antara beberapa ratus hingga beberapa ribu ringgit untuk yuran guaman dan kos pendaftaran berkaitan.

Satu Contoh Situasi Sebenar

Pak Long Razif, 58 tahun, mempunyai sebuah rumah teres di Rawang yang telah pun habis dibayar. Beliau mahu memastikan rumah itu terus dimiliki oleh isterinya, Puan Zaharah, tanpa perlu melalui proses faraid yang panjang apabila beliau meninggal dunia kelak.

Beliau berjumpa peguam dan membuat hibah hartanah kepada Cik Zaharah. Pindah milik didaftarkan di Pejabat Tanah. Kini nama Cik Zaharah sudah tertera sebagai pemilik, walaupun Pak Long Razif masih hidup dan tinggal di situ. Apabila beliau meninggal dunia nanti, tiada prosedur faraid yang perlu dijalani untuk rumah itu kerana ia bukan lagi harta pusaka beliau.

Apa Yang Perlu Anda Pertimbangkan Sebelum Buat Hibah

Sebelum membuat hibah, fikir dengan teliti tentang siapa penerima dan sama ada anda selesa dengan keputusan itu. Ingat, setelah harta berpindah milik secara sah, ia tidak mudah untuk diubah semula. 

Selain itu, pertimbangkan juga bagaimana hibah ini mungkin memberi kesan kepada waris-waris lain, kerana hibah kepada seorang anak sahaja, sebagai contoh, boleh menimbulkan ketegangan dalam keluarga jika tidak dibincang dengan baik. 

Sekiranya harta yang terlibat bernilai besar atau ada hutang yang berkaitan, dapatkan nasihat peguam atau perancang harta berkelayakan sebelum meneruskannya.

Hibah bukanlah jawapan yang sesuai untuk semua situasi, tetapi ia adalah alat perancangan harta yang patut diambil kira oleh sesiapa sahaja yang mahu memastikan harta mereka sampai ke tangan yang betul tanpa sebarang pertikaian atau perebutan di kemudian hari.Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini. 

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments