Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan paras inflasi pada bulan Mei 2026 telah naik 2.0% berbanding setahun lalu. Pada April lalu, kadar inflasi adalah 1.9%. Peningkatan Ini menunjukkan bahawa kos sara hidup meningkat lebih laju berbanding bulan lepas.
Apa Maksud Angka 2.0% Ini
Inflasi adalah kadar kenaikan harga. Kadar 2.0% bermakna ini bermakna kebanyakan harag barangan secara puratanya telah naik sebanyak 2.0% lebih mahal berbanding Mei tahun lalu. Kalau dulu anda berbelanja RM2,000 sebulan, perbelanjaan yang sama sekarang berharga lebih kurang RM2,040. Nampak kecil, tetapi lama-lama ia terkumpul dan menjadi jumlah lebih besar. Bagi isi rumah yang bekerja, kesannya paling ketara pada bil makanan dan kos ulang-alik ke tempat kerja.
Apa Yang Naik Harga
Kos untuk makan luar telah naik lebih tinggi jika dibandingkan dengan anda masak sendiri di rumah. Makanan yang dibeli di luar telah meningkat 2.5% berbanding setahun lalu, tetapi makanan yang dimasak di rumah hanya naik 0.3%. Sepinggan nasi goreng atau sekeping roti canai kini lebih mahal daripada tahun lalu, walaupun kenaikannya agak perlahan.
Bil air juga sudah mula naik dengan caj bekalan air meningkat 6.8%. Tambang bas dan tren turut menunjukkan peningkatan sebanyak 6.8%. Perkhidmatan insurans dan kewangan naik 4.9%, manakala produk dan perkhidmatan penjagaan diri naik 4.8%.
DOSM juga memantau isi rumah berpendapatan rendah secara berasingan. Bagi mereka yang berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, harga naik 1.3% pada Mei, iaitu lebih perlahan daripada kadar nasional 2.0%. Tetapi kos makan di luar bagi golongan mereka yang berpendapatan bulanan bawah RM3,000 ini masih naik 3.1% berbanding setahun lalu, jadi makan tengah hari di warung tetap terasa lebih mahal.
Apa Yang Jadi Lebih Murah
Bukan semua harga naik sebenarnya. Purata harga untuk satu kilogram ayam pada Mei adalah RM10.48. Harga tersebut telah menurun daripada RM10.63 jika dibandingkan dengan tempoh setahun lalu. Telur pula 1.0% lebih murah dan harga sayur-sayuran pula secara keseluruhannya telah menurun 1.5% dengan bawang putih, bawang besar, dan tomato mencatat penurunan terbesar.
Petrol RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter, iaitu harga yang sama sejak beberapa bulan lalu. Ini membantu ramai pemandu dari segi kos bahan api. Tetapi diesel dan RON97 premium jauh lebih mahal berbanding setahun lalu, jadi mereka yang guna kenderaan diesel sudah pasti rasa perbezaannya.
Apa Kesan Inflasi Terhadap Simpanan Anda
Sekiranya wang anda disimpan dalam akaun yang kadar faedahnya kurang daripada 2.0% setahun, kuasa pembelian secara perlahan-lahan akan menyusut. Pada kadar inflasi 2.0%, RM10,000 dalam akaun simpanan biasa boleh menyebabkan anda kehilangan sekitar RM200 dalam kuasa beli sepanjang setahun, walaupun baki dalam penyata bank nampak sama sahaja. Simpanan tetap atau akaun simpanan berkadar faedah lebih tinggi adalah antara cara paling mudah untuk memastikan wang anda sekurang-kurangnya kekal bernilai menyamai kadar inflasi.
Apa Yang Boleh Anda Buat
Anda tak boleh kawal harga, tetapi anda boleh pilih ke mana wang anda pergi. Masak di rumah dengan lebih kerap adalah jauh lebih jimat berbanding terpaksa menanggung kenaikan 2.5% makan di luar. Jika premium insurans naik ketika anda mahu membuat pembaharuan, bandingkan beberapa polisi yang lain terlebih dulu Elakkan dari terus membuat pembaharuan begitu sahaja. Sekiranya simpanan anda tidak menjana sebarang keuntungan, pertimbangkan semula untuk memindahkan wang ke akaun yang boleh memberikan kadar faedah yang lebih baik.
Inflasi pada kadar 2.0% jauh dari paras terburuk yang pernah dialami oleh Malaysia dan ada barang harian yang kini lebih murah berbanding tahun lalu. Tetapi masih berlakunya kenaikan kecil tetap dalam kos kehidupan. Sebagai persediaan , anda digalakkan untuk memantau perbelanjaan yang meningkat paling tinggi pada bulan-bulan seterusnya.Pada masa yang sama, pastikan simpanan anda menjana sekurang-kurangnya setara dengan kadar kenaikan harga.
Angka-angka yang dikongsikan ini adalah berdasarkan Indeks Harga Pengguna (Consumer Price Index, CPI) pada Mei 2026 yang diterbitkan oleh DOSM.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
