PTPTN Beri RM1,500 Sebagai Wang Pendahuluan Pinjaman Kepada Pelajar Baharu

KONGSI

PTPTN memperuntukkan RM60.1 juta Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) kepada 40,099 pelajar diploma baharu yang mendaftar di Universiti Awam (UA) dan Politeknik bagi pengambilan Jun 2026. Setiap pelajar yang layak akan menerima RM1,500 untuk membantu menanggung sebahagian perbelanjaan awal mendaftar masuk ke institusi pengajian tinggi.

Tempoh sah laku bagi WPP adalah selama dua bulan. Ia bermula semalam (Rabu, 10 Jun) dan akan tamat pada 9 Ogos 2026.

Siapa Yang Layak Mohon WPP dan Cara Untuk Tuntut Wang Tersebut

Peruntukkan ini ditawarkan kepada pelajar-pelajar yang bersetuju untuk menerima WPP semasa memohon kemasukan ke UA melalui UPUOnline atau portal kemasukan universiti awam masing-masing.

Pemohon juga perlu memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan termasuk mempunyai ibu bapa atau penjaga yang merupakan penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Para pelajar yang ingin memohon perlulah menyemak status tawaran WPP terlebih dahulu melalui aplikasi myPTPTN. Selepas itu, tuntutan boleh dibuat di mana-mana cawangan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara dengan mengemukakan surat tawaran WPP dan MyKad.

Pastikan Akaun Simpan SSPN Sudah Dibuka

Pelajar yang ingin memohon pinjaman pendidikan boleh berbuat demikian secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN, mengikut tarikh yang ditetapkan oleh UA dan Politeknik masing-masing.

Pemohon juga perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) sebagai syarat permohonan. Akaun ini boleh dibuka terus melalui aplikasi myPTPTN yang sama.

Hampir Sejuta Pelajar Telah Mendapat Manfaat Sejak 1999

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, pihaknya kekal komited dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi tersedia untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang mereka.

“Inisiatif WPP ini bertujuan membantu menanggung sebahagian perbelanjaan dalam persediaan awal pelajar baharu yang memasuki UA dan Politeknik,” katanya.

Sejak diperkenalkan pada 1999 hingga 30 April 2026, seramai 999,838 pelajar telah mendapat manfaat daripada WPP, melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.48 bilion.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemaskini terkini.    

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen