PTPTN Galak Ibu Bapa Mula Simpan Awal, Dividen Simpan SSPN Terus Catat Peningkatan!

KONGSI

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim, menggalakkan semua ibu bapa menjadikan Simpan SSPN sebagai instrumen utama dalam merancang dana pendidikan anak-anak. Beliau turut menekankan bahawa tabiat menyimpan lebih awal bukan sahaja membantu mengurangkan beban pinjaman pendidikan pada masa hadapan, malah dapat melahirkan generasi muda yang lebih celik kewangan. 

Sebelum ini, PTPTN telah mengumumkan dividen Simpan SSPN untuk tahun kewangan 2025 ditetapkan pada 4.1%, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh 11 tahun. Pengagihan dividen bernilai RM505.68 juta ini akan memberi manfaat kepada 6.07 juta akaun Simpan SSPN di seluruh negara.

Prestasi dividen 2025 ini disokong oleh strategi pengurusan risiko yang berkesan dan portfolio pelaburan yang seimbang, dengan fokus kepada instrumen pendapatan tetap dan sukuk jangka panjang. 

Deposit terus meningkat

Jumlah deposit Simpan SSPN mencecah RM3.33 bilion pada 2025, naik RM154.1 juta atau 4.86% berbanding RM3.17 bilion pada tahun sebelumnya. Lebih 500,000 akaun baharu turut dibuka sepanjang tahun, didorong oleh kesedaran semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa muda tentang kepentingan merancang kewangan pendidikan anak dari awal.

Proses membuka akaun kini lebih mudah. Ibu bapa tidak perlu lagi ke kaunter PTPTN secara fizikal kerana semua urusan boleh diselesaikan melalui aplikasi myPTPTN.

Kempen 2026: Hadiah Bernilai Hampir RM1.4 Juta

Bagi 2026, PTPTN melancarkan Kempen Cabutan Simpan SSPN dengan hadiah bernilai hampir RM1.4 juta untuk 954 pemenang sepanjang 1 Januari hingga 31 Disember 2026. Hadiah termasuk Honda CR-V, Perodua Ativa, motosikal Yamaha NVX dan hadiah tunai.

Kempen ini dibahagikan kepada tiga kategori:

  • Cabutan WOW! Plus Loyalty 2026: Untuk pendeposit Simpan SSPN Plus sedia ada yang membuka akaun sebelum 31 Disember 2025 dan terus menambah simpanan semasa tempoh kempen.
  • Cabutan WOW! Plus Siri: Terbuka kepada pendeposit baharu dan sedia ada yang membuka akaun atau menambah simpanan sepanjang tempoh kempen.
  • Cabutan Simpan SSPN Baru Slay!: Khusus untuk pendeposit berusia 16 hingga 29 tahun di bawah Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus. Deposit mesti dibuat melalui aplikasi myPTPTN.

Kadar dividen Simpanan SSPN sejak 2015:

TAHUNKADAR DIVIDEN
20154.00%
20164.00%
20174.00%
20184.00%
20194.00%
20204.00%
20213.00%
20223.05%
20233.60%
20244.05%
20254.10%

Mengapa Perlu Simpan Dalam SSPN?

Simpan SSPN merupakan skim simpanan pendidikan yang diuruskan oleh PTPTN, patuh syariah dan disokong oleh kerajaan. Antara manfaat utama yang ditawarkan:

  • Pelepasan cukai pendapatan peribadi sehingga RM8,000 setahun atas caruman simpanan bersih
  • Perlindungan takaful percuma untuk pendeposit yang layak
  • Geran padanan sehingga RM10,000 setiap keluarga bagi pemohon yang berkelayakan
  • Kempen hadiah dan insentif sepanjang tahun

Norliza turut menggalakkan ibu bapa melibatkan anak-anak dalam perbincangan kewangan dari usia muda. Menurutnya, setiap keluarga Malaysia seharusnya mengekalkan sekurang-kurangnya satu akaun Simpan SSPN untuk manfaat jangka panjang.

Di masa hadapan, PTPTN merancang untuk memperkemaskan platform myPTPTN, meluaskan komunikasi digital kepada ibu bapa muda, serta memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan institusi kesihatan agar pendedahan kepada Simpan SSPN bermula seawal mungkin selepas kelahiran anak.

Untuk maklumat lanjut tentang Simpan SSPN ini, layari laman web PTPTN.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.   

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen