Bank Rakyat menganjurkan platform padanan perniagaan ‘Bank Rakyat Bizmatch: Make Malaysian Businesses Great’ di Tokyo, Jepun. Ia berlangsung pada 9 Jun lalu seiring dengan Nikkei Forum of Asia 2026.
Tujuh syarikat Malaysia menyertai program ini bagi bertemu dengan pemilik perniagaan, pelabur dan rakan strategik dari Jepun serta seluruh Asia. Fokus program ini adalah untuk membuka akses ke pasaran dan mencari peluang kerjasama dalam sektor yang sedang berkembang pesat.
Apa Kesan Inisiatif Ini Terhadap Rakyat Malaysia?
Syarikat tempatan yang berjaya masuk ke pasaran antarabangsa boleh menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan. Sumber pendapatan juga dapat mengalir masuk ke negara dan lebih banyak Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang berkembang. PMKS yang kukuh akan memberi kesan kepada peningkatan gaji pekerja hinggalah kepada lebih banyak pilihan produk tempatan yang berdaya saing untuk pengguna.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, inisiatif ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’ selari dengan matlamat kementerian untuk mengangkat perniagaan tempatan ke pentas global.
“Usahawan Malaysia mempunyai potensi, kreativiti dan daya tahan yang luar biasa. Apa yang mereka perlukan ialah platform yang betul, perkongsian strategik, dan akses kepada ekosistem global,” katanya lagi.
Beliau turut berharap agar syarikat Jepun melihat PMKS dan syarikat teknologi Malaysia bukan sekadar pembekal, malah rakan kongsi yang mampu berinovasi bersama.
Jenis Sektor Yang Dibawa ke Jepun
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan menyatakan syarikat peserta mewakili sektor berpotensi tinggi termasuk keselamatan makanan, akuakultur, tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, minyak sawit, runcit dan pembuatan.
Beliau turut menegaskan bahawa Bank Rakyat bukan sekadar menawarkan pembiayaan. Komitmen bank merangkumi khidmat nasihat strategik, fasilitasi pasaran, pengupayaan digital dan rangkaian antarabangsa untuk bantu usahawan berkembang lebih jauh dari Malaysia.
7 Syarikat Malaysia Yang Mewakili Negara di Tokyo
Ini adalah senarai syarikat yang menyertai Bizmatch pada tahun ini:
- MHC Coldstorage Sdn Bhd: Memproses dan mengeksport produk makanan laut sejuk beku. Eksport ke China, Arab Saudi, Filipina, dan Emiriah Arab Bersatu.
- North Cube Sdn Bhd: Syarikat akuakultur bersepadu yang pakar dalam ternakan udang vannamei, merangkumi keseluruhan rantaian nilai dari ladang hinggalah ke pasaran antarabangsa.
- Agro 19 Bhd: Mengeluarkan dan mengeksport minyak sawit ditapis serta minyak masak berjenama ke pasaran runcit, borong, perkhidmatan makanan dan eksport.
- Ayamas Integrated Poultry Industries Sdn Bhd: Pengendali ternakan ayam bersepadu di bawah PTS Group, merangkumi kilang makanan ternakan, ladang induk, operasi penetasan, hingga pengeluaran ayam.
- Nextgreen Global Bhd: Beroperasi dalam teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, dan inisiatif sisa sifar, termasuk pembuatan kertas tisu mesra alam.
- TMG Group: Ekosistem perniagaan pelbagai dengan rekod jejak hampir 40 tahun, merangkumi runcit, logistik, pergudangan, hartanah, REITs, pertanian, dan air mineral berjenama.
- Macworld Industries Sdn Bhd – Pakar dalam produk berasaskan minyak sawit dan lemak khusus (speciality fats) untuk industri makanan.
Bank Rakyat Tawar Lebih Daripada Sekadar Beri Pinjaman
Melalui Bizmatch, Bank Rakyat menunjukkan haluan yang agak berbeza berbanding bank konvensional biasa. Selain pembiayaan, ia turut memainkan peranan sebagai penghubung antara usahawan Malaysia dengan peluang perniagaan di luar negara.
Mohd Irwan menyatakan bahawa daya tahan sahaja tidak lagi memadai untuk perniagaan hari ini. Syarikat perlu adaptif dan bersambung dengan pasaran global supaya tidak ketinggalan.
Inisiatif ini selaras dengan agenda ‘Hebatkan Perniagaan Malaysia’ di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Dengan matlamat jangka panjang untuk tingkatkan daya saing perniagaan tempatan di peringkat antarabangsa.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemaskini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
