Data Indeks Harga Pengguna (IHP) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 17 Julai 2026 melaporkan penurunan kadar inflasi di Malaysia kepada 1.9% pada Jun berbanding 2.0% pada Mei lalu. Walau bagaimanapun, angka purata ini tidak sama untuk semua orang kerana ia bergantung kepada lokasi tempat tinggal, jumlah pendapatan dan barangan yang anda beli setiap bulan.
Insurans Catat Kenaikan Paling Laju Antara Semua Kategori
Daripada 13 kategori yang diukur DOSM, Insurans & Perkhidmatan Kewangan catat kenaikan paling tinggi untuk bulan Jun, iaitu 5.7%, naik daripada 4.9% pada Mei 2026. Dalam kumpulan ini, insurans kesihatan menunjukkan kenaikan paling drastik iaitu 16.7% setahun, manakala insurans pengangkutan atau kereta hanya naik 0.8%. Jadi kalau anda ada polisi perubatan, premium anda berkemungkinan besar akan naik dengan ketara semasa perbaharui premium berkenaan. Bagi polisi kereta pula, kenaikan yang berlaku biasanya jauh lebih kecil.
Isi Rumah Berpendapatan Rendah Alami Inflasi Lebih Perlahan
Bagi isi rumah berpendapatan bawah RM3,000, kadar inflasi golongan ini cuma 1.3% pada Jun, lebih rendah daripada purata negara 1.9%. Hal ini kerana kumpulan tersebut berbelanja lebih banyak untuk barang keperluan asas berbanding barang mewah, dan sesetengah harga bagi keperluan asas naik lebih perlahan berbanding kategori seperti insurans. Dalam kumpulan pendapatan ini pun, Minuman Alkohol & Tembakau naik 3.2% dan Restoran & Perkhidmatan Penginapan naik 3.1%, jauh melepasi purata kumpulan mereka sendiri.
Rakyat Pahang, Johor dan Negeri Sembilan Catat Kos Sara Hidup Lebih Tinggi
Sarawak mencatatkan inflasi paling rendah pada Jun 2026, iaitu hanya 0.4%, manakala tujuh negeri lain pula mencatatkan inflasi lebih tinggi daripada purata negara 1.9%.
| Negeri | Kadar Inflasi Jun 2026 |
| Pahang | 2.6% |
| Johor | 2.5% |
| Negeri Sembilan | 2.5% |
| Labuan | 2.3% |
| Kuala Lumpur | 2.2% |
| Kedah | 2.0% |
| Putrajaya | 2.0% |
Kalau anda tinggal di salah satu negeri ini, kos sara hidup anda mungkin naik lebih laju berbanding keluarga atau rakan anda di negeri lain.
Harga Ayam Naik, Lauk Mingguan Makin Mahal
Kategori Makanan & Minuman naik 1.4% pada Jun 2026. Antara penyumbang utama ialah harga daging, yang melonjak ke 1.5% berbanding cuma 0.2% sebulan sebelumnya.
Ayam standard, komponen terbesar dalam kategori daging, kini berharga purata RM10.77 sekilogram di seluruh Malaysia, naik daripada RM10.57 sekilogram setahun lalu. Kalau keluarga anda beli lebih kurang lima kilogram ayam sebulan, anda kini bayar lebih kurang RM1 lebih mahal berbanding Jun tahun lepas untuk kuantiti yang sama.
Apa Anda Boleh Buat Dengan Angka Ini
Pada pendapat kami, anda perlu menyemak semula premium insurans sebelum memperbaharuinya terutamanya polisi perubatan yang mencatatkan kenaikan paling drastik bulan ini. Jangan biarkan ia diperbaharui secara automatik tanpa membandingkan harga terlebih dahulu. Jika anda tinggal di negeri dengan inflasi lebih tinggi daripada purata negara, mulakan dengan menyemak semula perbelanjaan bulanan anda dengan lebih teliti. Untuk perbelanjaan dapur pula, pantau harga ayam dan daging kerana kedua-dua barangan tersebut antara yang naik paling ketara bulan ini.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
