Syarikat Kecil dan Kontraktor Tempatan Dapat Kuota Diesel 300 Liter Sebulan

KONGSI

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan membenarkan syarikat kecil dan kontraktor tempatan menerima kuota diesel sebanyak 300 liter sebulan menerusi kad armada (fleet card). Ia bagi mengurangkan kesan peningkatan kos operasi susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan sejak 1 Julai lalu. 

Memetik laporan Bernama, Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan kelonggaran ini disediakan khusus untuk kenderaan diesel yang berdaftar atas nama syarikat perkongsian atau perniagaan milikan tunggal di seluruh negara, bagi kegunaan operasi perniagaan.

Syarikat Kecil Tertinggal Dalam Skim SKDS Sedia Ada

Sebelum ini, syarikat kecil seumpama ini tidak termasuk dalam dua sektor utama Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) iaitu pengangkutan awam dan pengangkutan barangan atau keperluan pengguna. Akibatnya, ramai usahawan mikro menghadapi kesukaran memohon bantuan kerana kenderaan mereka didaftarkan atas nama syarikat, walaupun kenderaan itu digunakan semata-mata untuk perniagaan kecil mereka.

Armizan berkata langkah ini dicadangkan oleh KPDN dan diluluskan Kabinet sebagai intervensi segera untuk kumpulan usahawan mikro berkenaan. Beliau mengumumkan perkara ini selepas merasmikan Projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Sekalong, Menumbok.

Kos, Ketirisan dan Ruang Fiskal Jadi Penentu Penambahbaikan Lanjut

Armizan turut menegaskan kerajaan tidak menutup pintu kepada penambahbaikan lanjut bagi pelaksanaan subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan. “Sebarang mekanisme yang diperlukan itu pertama adalah mengambil kira faktor kos rakyat, kedua adalah faktor pengurusan risiko ketirisan, dan ketiga pastinya adalah ruang fiskal kerajaan. Tiga faktor ini cukup penting untuk kita ambil kira,” katanya.

Bagi memastikan bantuan sampai ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak, agensi negeri akan digerakkan untuk membantu proses pendaftaran dan mengesahkan kumpulan sasar yang layak. 

RM500,000 Disalur Untuk Lima Projek Di Kampung Sekalong

Armizan turut mengumumkan peruntukan RM500,000 bagi lima projek Kampung Angkat MADANI di Kampung Sekalong, meliputi pembinaan dewan terbuka serbaguna, menaik taraf jalan kampung, kerja pembinaan dan pembaikan pembetung, pemasangan lampu solar, serta pembinaan mercu tanda kampung.

Ahli Parlimen Papar itu berkata kelima-lima projek berskala kecil ini akan bermula serta-merta dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan tahun ini. Kampung Sekalong menjadi lokasi ketiga program tersebut, selepas Mukim Kaiduan di Papar pada 2024 dan Mukim Tikam Batu di Kedah tahun lalu. 

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen