Mulai 1 Januari 2027, Lembaga Pengangkutan Darat (LTA) Singapura akan menstrukturkan semula yuran Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam ASEAN (PSVP) dengan mengenakan caj sebanyak S$15 (sekitar RM47) bagi setiap kemasukan teksi berdaftar Malaysia ke republik itu.
Langkah baharu ini diperkenalkan bagi menggantikan sistem pas bulanan S$2 yang sedang diguna pakai sekarang. Menurut LTA, kadar S$2 sebulan itu sebenarnya tidak pernah berubah sejak mula diperkenalkan lebih 30 tahun lalu. Pelarasan ini dibuat bagi merapatkan jurang kos operasi antara teksi Malaysia dan teksi Singapura yang menawarkan perkhidmatan rentas sempadan yang sama.
Caj Tambang Mungkin Akan Dinaikkan
Walaupun caj S$15 ini dikenakan kepada pemandu teksi bagi setiap perjalanan (trip), kos operasi yang meningkat secara mendadak ini berkemungkinan akan dialihkan kepada penumpang dalam bentuk kenaikan tambang.
Sistem lama membolehkan pemandu membuat perjalanan tanpa had dengan caj hanya S$2 sebulan. Apabila sistem bagi setiap kemasukan ini bermula, pemandu yang perlu berulang-alik beberapa kali sehari terpaksa menanggung kos mingguan atau bulanan yang jauh lebih tinggi.
Isu Lesen dan Keselamatan Penumpang
LTA turut mengingatkan orang ramai supaya hanya menggunakan teksi rentas sempadan yang sah. Bagi teksi berdaftar Malaysia, kenderaan tersebut wajib memiliki kedua-dua kelulusan utama yang dikeluarkan oleh LTA Singapura, iaitu Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVL) dan PSVP.
Menggunakan teksi haram atau kereta sapu boleh menjejaskan pendapatan pemandu berlesen dan mendedahkan penumpang kepada risiko besar kerana kenderaan tersebut tidak dilindungi insurans komersial sekiranya berlaku kemalangan. Pihak berkuasa Singapura kini sedang mempergiat operasi membanteras ulat teksi ini.
Semakan semula caj pada tahun 2027 ini menyusul selepas LTA melaksanakan perubahan terhadap operasi teksi rentas sempadan pada 4 Mei 2026 yang lalu. Di bawah peraturan itu, teksi rentas sempadan diberikan kelonggaran untuk mengambil dan menurunkan penumpang di mana-mana lokasi pilihan di seluruh Johor dan Singapura, berbanding had stesen terminal teksi yang ketat sebelum ini.
Alternatif Lain Untuk Ulang-alik ke Singapura
Selain teksi, bagi anda yang sering berulang-alik ke Singapura juga mempunyai beberapa alternatif lain. Ini termasuk perkhidmatan tren KTM Shuttle Tebrau yang menghubungkan JB Sentral terus ke Woodlands Train Checkpoint. Memandangkan permintaan yang sangat tinggi terutamanya pada waktu puncak dan hujung minggu, anda digalakkan membuat tempahan awal menerusi laman rasmi KTMB Integrated Ticketing System.
Rangkaian bas rentas sempadan juga disediakan. Syarikat seperti Causeway Link menawarkan perjalanan ulang-alik dengan pilihan tiket yang boleh disemak melalui Sistem Tiket Bas Causeway Link. Terdapat juga sokongan bas awam Singapura seperti SBS Transit dan SMRT.
Bagi perancangan jangka masa panjang, Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Bukit Chagar ke Woodlands North dijangka siap pada penghujung tahun 2026. Ia bakal menjadi penyelesaian utama kepada kesesakan trafik harian di Tambak Johor.
Sementara itu, jika anda sering ke luar negara, dapatkan kad kredit pelancongan untuk menikmati penjimatan rebat tunai, 0% caj transaksi asing dan insurans perjalanan percuma.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
