Penggunaan Touch ‘n Go (TNG) eWallet semasa melancong keluar negara sememangnya memudahkan, hanya perlu imbas kod QR, bayar dan selesai. Daripada beli barang keperluan harian sehingga ke membeli makanan ringan di di tepi jalan, semuanya boleh dibayar dengan e-dompet ini.
Tapi untuk memudahkan urusan pembayaran anda, fahami terlebih dahulu tentang cara transaksi antarabangsa berfungsi, termasuk caj, had, dan pilihan pembayaran yang ada supaya anda boleh rancang perbelanjaan dengan lebih baik semasa di luar negara.
Memahami Caj Transaksi Luar Negara 1%
Setiap kali anda bayar guna kod QR dengan TNG eWallet di luar negara, caj penukaran 1% akan dikenakan. Caj ni akan ditunjukkan dalam kadar pertukaran mata wang sebelum anda sahkan pembayaran, jadi jumlah yang terpapar itulah yang akan ditolak daripada baki e-dompet anda.
Semasa mengimbas kod QR, aplikasi akan tunjukkan jumlah dalam mata wang tempatan dan Ringgit Malaysia (RM), kadar pertukaran yang digunakan (termasuk caj 1%), serta jumlah tepat yang akan ditolak daripada baki anda. Dengan maklumat ini,anda boleh pilih sama ada nak guna e-dompet atau kaedah pembayaran lain.
Kalau ingin dibandingkan, bank biasa atau kad kredit lazimnya mengenakan antara 1% hingga 3% untuk transaksi luar negara, jadi caj TNG ni sebenarnya kompetitif. Tapi anda kena ingat, caj ini hanya terpakai di negara yang TNG bekerjasama dalam rangkaian Alipay+. Untuk transaksi lain seperti pembelian guna kad TNG Visa, caj yang berbeza akan dikenakan.
Caj Untuk Transaksi Lain
Caj 1% tadi tidak terpakai untuk pembelian menggunakan kad TNG Visa yang dipautkan pada e-dompet anda. Transaksi kad di luar negara tak dikenakan untuk “markup” pertukaran mata wang asing. Tetapi jika anda mengeluarkan wang tunai di mesin ATM luar negara, caj RM10 akan dikenakan, manakala pengeluaran tempatan dikenakan RM1.40.
Negara Yang Boleh Guna TNG eWallet
TNG eWallet boleh digunakan di lebih 50 negara melalui rangkaian Alipay+. Liputan paling luas adalah di Asia, termasuk China, Jepun, Singapura, Thailand, Korea Selatan, Hong Kong, Macau, dan Filipina. Di luar Asia pun boleh juga seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Itali, Perancis, dan Jerman serta di mana-mana kedai yang memaparkan logo Alipay+.
Oleh kerana sistem pembayaran e-dompet ini bergantung kepada penerimaan kod QR, jadi boleh dikatakan pembayaran menggunakan TNG eWallet masih belum cukup meluas seertipenerimaan Visa atau Mastercard. Jadi pengembara tetap digalakkan membawa kad sebagai backup di tempat yang tidak menerima Alipay+.
Had Transaksi Luar Negara TNG eWallet
| Jenis Akaun dan Had Dompet | Had Bulanan | Had Tahunan |
|---|---|---|
| Lite (Tidak Disahkan) — RM200 | RM2,000 | RM24,000 |
| Premium (Disahkan) — RM20,000 | RM120,000 | RM600,000 |
Kalau anda rancang nak berbelanja lebih banyak semasa di luar negara, naik taraf ke akaun Premium yang disahkan melalui eKYC untuk nikmati had yang lebih tinggi.
Mengurus Kos Semasa Berbelanja di Luar Negara
Ada beberapa cara nak jimatkan kos semasa menggunakan TNG eWallet di luar negara. Guna kad TNG Visa untuk pembelian biasa supaya terlepas dari caj penukaran 1%, walaupun pengeluaran ATM di luar negara tetap kenakan caj kecil. Guna pembayaran QR hanya untuk peniaga yang tidak menerima kad, seperti di pasar atau kedai kecil.
Bagi mereka yang kerap ke luar negara, boleh juga bandingkan kaedah pembayaran alternatif seperti BigPay, atau tengok kad kredit pelancongan yang lebih sesuai untuk kegunaan luar negara.
Sambil anda merancang soal pembayaran semasa melancong nanti, jangan lupa juga untuk menguruskan tentang insurans perjalanan sekali, ia boleh jadi penyelamat kalau sesuatu yang tidak dijangka berlaku.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
