TNG Digital Sdn. Bhd. (TNG Digital) secara rasmi memperkenalkan produk pembiayaan Islamik pertamanya di dalam aplikasi Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet) melalui pengenalan kemudahan Pembiayaan ASB (ASB Financing). Produk ini ditawarkan dengan kerjasama CIMB bagi membolehkan pengguna Bumiputera membuat pelaburan dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Melalui kemudahan ini, wang pembiayaan daripada CIMB dimasukkan terus ke dalam akaun ASB anda. Anda cuma perlu membayarnya semula secara ansuran setiap bulan mengikut tempoh yang anda pilih.
Pengurusan Pelaburan Digital yang Lebih Lancar
Bagi pengguna yang gemar menguruskan kewangan secara digital, keseluruhan proses Pembiayaan ASB ini boleh diselesaikan terus di dalam aplikasi. Pengguna boleh membuat permohonan, menyemak status kelulusan, serta memantau prestasi pelaburan mereka dalam satu tempat tanpa perlu mengisi borang fizikal atau hadir ke cawangan bank.
Menurut TNG Digital, sejak pelaburan ASNB mula diintegrasikan ke dalam e-dompet tersebut pada tahun 2023, platform berkenaan merekodkan peningkatan pengguna aktif sebanyak 44% secara tahun ke tahun (year-on-year) setakat Mei 2026.
Ditawarkan Melalui Struktur Pembiayaan Islamik
Sebagai produk pembiayaan Islamik pertama di TNG eWallet, kemudahan ini distrukturkan melalui CIMB bagi memenuhi keperluan pelabur yang mementingkan instrumen kewangan jenis ini.
Pihak TNG Digital turut berkongsi bahawa profil pelabur Bumiputera membentuk bahagian yang besar dalam portfolio pelaburan mereka. Setakat ini, golongan Bumiputera mewakili 70% daripada keseluruhan asas pelabur ASNB di TNG eWallet, serta menyumbang sebanyak 52% daripada jumlah nilai pelaburan bersih (total asset value) di platform berkenaan.
Anda Boleh Pilih Jumlah Pembiayaan dan Tempoh Bayaran
Melalui kemudahan ini, pelabur mempunyai fleksibiliti untuk memilih jumlah pembiayaan serta tempoh ikatan ansuran yang bersesuaian dengan kemampuan bayaran bulanan mereka. Nilai pembiayaan ditawarkan bermula daripada RM10,000 sehingga had maksimum RM200,000. Terdapat juga pilihan tempoh bayaran balik yang agak panjang iaitu antara lima hingga 40 tahun.
Meskipun pelaburan melalui kaedah pembiayaan ini menawarkan potensi pertumbuhan modal yang lebih besar menerusi pengagihan dividen tahunan ASB secara komposit, produk ini merupakan satu bentuk komitmen hutang. Ansuran bulanan wajib dibayar secara konsisten mengikut kontrak, tanpa mengambil kira kadar pulangan atau prestasi dividen yang diumumkan oleh ASB bagi tahun tersebut. Semak dahulu sebarang yuran pemprosesan atau kos dokumentasi awal yang mungkin dikenakan oleh pihak bank sebelum membuat permohonan.
Pembiayaan ASB bawah Ekosistem GOfinance
Ciri Pembiayaan ASB ini diletakkan di bawah GOfinance, iaitu hab perkhidmatan kewangan bersepadu dalam TNG eWallet yang merangkumi produk pelaburan, perlindungan insurans, serta pengurusan kekayaan.
Maklumat lanjut mengenai kriteria kelayakan dan terma produk boleh didapati dengan melayari laman web rasmi di TNG Digital.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
