Surat Tawaran Kerja Bukan Sekadar Gaji, Semak 6 Perkara Ini Dahulu

KONGSI

Surat tawaran kerja datang dengan satu nombor yang paling menarik perhatian iaitu gaji pokok. Tapi nilai sebenar sesuatu tawaran bergantung kepada banyak perkara lain yang tertulis dan kadang-kadang yang tidak tertulis di dalam kontrak tersebut.

Notis tiga bulan, tiada insurans perubatan, bonus yang bergantung kepada prestasi syarikat sedangkan syarikat itu langsung tidak untung. Semua perkara ini boleh dielak jika anda tahu apa yang perlu diteliti dari awal.

1. Kira Nilai Sebenar Surat Tawaran Kerja

Gaji pokok RM4,500 di syarikat A dan RM4,500 di syarikat B boleh jadi sangat berbeza nilainya bergantung kepada apa yang ditawarkan dalam surat tawaran kerja.

Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan adalah salah satu perkara yang ramai terlepas pandang. Mengikut Akta KWSP 1991, kadar minimum caruman majikan ialah 13% untuk pekerja bergaji RM5,000 ke bawah dan 12% untuk gaji melebihi RM5,000. Kalau gaji anda RM4,500, itu bermakna majikan carumkan sekurang-kurangnya RM585 sebulan ke dalam akaun KWSP anda selain caruman anda sendiri sebanyak 11%. Ada syarikat yang carumkan lebih daripada kadar minimum ini sebagai faedah tambahan dan nilainya ketara dalam jangka panjang. Anda boleh semak kadar semasa di laman rasmi KWSP.

Selain KWSP, anda perlu tanya tentang elaun yang ditawarkan oleh syarikat. Misalnya, elaun petrol untuk tugas rasmi dikecualikan daripada cukai sehingga RM6,000 setahun. Telefon syarikat yang didaftarkan atas nama pekerja juga dikecualikan sepenuhnya. Ini bermakna, elaun-elaun ini menambah nilai bersih pendapatan anda tanpa meningkatkan cukai yang perlu dibayar, berbeza dengan gaji pokok yang sepenuhnya tertakluk kepada cukai pendapatan. Untuk senarai penuh elaun yang dikecualikan cukai, rujuk Borang EA Bahagian F dari LHDN [PDF].

Untuk pembayaran bonus, tanya penemu duga anda secara spesifik. Ini kerana, ada majikan yang bayar bonus satu bulan gaji setiap tahun tanpa syarat. Ada juga syarikat yang bayar bonus dua hingga tiga bulan, bergantung kepada prestasi pekerja. Malah, ada majikan yang hanya memberi bonus bergantung kepada prestasi syarikat dan ada yang langsung tidak memberinya.

Untuk melihat betapa besarnya perbezaan ini, ambil contoh dua tawaran dengan gaji pokok yang sama iaitu RM4,500, tetapi dengan pakej yang berbeza:

KomponenSyarikat A (Pakej Baik)Syarikat B (Pakej Minimum)
Gaji pokokRM4,500RM4,500
Caruman KWSP majikan13% = RM585/bulan13% = RM585/bulan
Insurans perubatanPanel (bayar terus)Tuntutan semula (bayar dulu)
Elaun petrol (bebas cukai)RM500/bulan (RM6,000/tahun)Tiada
Tempoh notis1 bulan3 bulan
Nilai pakej sebulanRM5,585RM5,085
Perbezaan nilai setahun+RM6,000

2. Semak Perlindungan Perubatan dan Polisi Cuti

Mengenai insurans perubatan, anda perlu tahu had dan jenis perlindungannya. Tanya berapa had wad (ward limit) setahun, adakah ia meliputi keluarga anda termasuk pasangan dan anak-anak, dan sama ada syarikat menggunakan sistem panel atau tuntutan semula (reimbursement) secara terus.

Sistem panel bermakna anda pergi ke klinik atau hospital yang dilantik dan bil dibayar terus oleh syarikat. Tuntutan semula bermakna anda perlu mendahulukan wang sendiri untuk bayar bil perubatan terlebih dahulu, sebelum menuntut balik daripada syarikat. Ada juga majikan yang menyediakan perlindungan pergigian dan optik sebagai faedah tambahan. Mungkin ia nampak kecil, tapi nilai boleh mencecah beberapa ratus ringgit setahun untuk membuat scaling atau membeli kacamata baharu.

Jangan lupa untuk menyemak kuota Cuti Tahunan (Annual Leave) dan Cuti Sakit. Di bawah Akta Kerja 1955, minimum cuti tahunan lapan hari dan cuti sakit 14 hari bagi pekerja dengan tempoh perkhidmatan kurang dua tahun. Secara umumnya, syarikat korporat menawarkan antara 14 hingga 18 hari. Selain jumlah hari cuti, anda perlu tanya tentang polisi cuti tersebut. Antaranya ialah adakah cuti yang tidak digunakan akan “hangus” (burnt) pada hujung tahun atau boleh dibawa ke tahun hadapan (carry forward)? Adakah syarikat mengamalkan block leave (memaksa pekerja mengambil cuti pada musim perayaan tertentu kerana pejabat tutup)?

3. Baca Klausa Kontrak yang Selalu Diabaikan

Ada beberapa perkara yang perlu anda faham sebelum menandatangani surat tawaran.

Status Pekerjaan

Pastikan anda baca terma ini dengan jelas. Ada syarikat yang menawarkan gaji pokok yang tinggi tetapi sebenarnya status jawatan tersebut hanyalah kontrak selama setahun (renewable/non-renewable), dan bukannya jawatan tetap (permanent). Status kontrak ini bukan sahaja bermakna jaminan pekerjaan anda lebih rendah, malah faedah tahunan selalunya berbeza dan urusan membuat pinjaman bank (seperti perumahan atau kereta) juga menjadi lebih sukar.

Tempoh Notis Penamatan

Setiap syarikat memberi tempoh notis penamatan yang berbeza, antara satu hingga tiga bulan. Satu bulan adalah tempoh biasa untuk peringkat junior, manakala tiga bulan pula biasanya bagi jawatan peringkat pengurusan. Tapi ada juga syarikat yang meletakkan tempoh notis tiga bulan untuk jawatan peringkat permulaan (entry-level). Sekiranya anda dapat tawaran kerja lain pada masa hadapan, anda perlu tunggu tiga bulan sebelum mula kerja baharu, atau bayar gaji sebagai ganti notis.

Clawback Clause

Jika anda berhenti dalam tempoh 12 atau 24 bulan selepas syarikat hantar anda ke kursus atau bayar yuran pengajian, anda kena bayar balik kos tersebut. Klausa ini perlu dibaca dengan teliti sebelum menandatangani surat tawaran.

Non-Compete Clause

Klausa ini menyekat anda daripada bekerja dengan pesaing atau mendirikan perniagaan dalam bidang yang sama selepas berhenti. Di bawah Seksyen 28 Akta Kontrak 1950 [PDF], klausa sebegini secara amnya tidak boleh dikuatkuasakan di Malaysia setelah tempoh pekerjaan anda tamat, walaupun ia nampak munasabah atau hanya untuk tempoh singkat. Namun, klausa ini masih boleh menimbulkan masalah jika anda tidak menyedari hak anda dan secara sukarela mematuhinya. Sekiranya anda tidak pasti tentang implikasi klausa ini, dapatkan nasihat guaman terlebih dahulu.

Tempoh Percubaan dan Proses Pengesahan

Anda perlu tahu tempoh percubaan (tiga bulan atau lebih) dan bagaimana proses pengesahan (confirmation) diambil kira, adakah ada Key Performance Indicator (KPI) yang jelas atau bergantung kepada penilaian subjektif pengurus semata-mata.

4. Kira Kos Tersembunyi dan Polisi Kerja Fleksibel

Jika tempat kerja baharu anda terletak di Kuala Lumpur (KL) tetapi anda tinggal di Seremban, anda perlu kira kos tol, petrol, dan masa perjalanan setiap hari. Perjalanan Seremban ke KL sahaja mencecah lebih kurang 130 km sehari pergi dan balik, atau kira-kira 2,860 km sebulan untuk 22 hari bekerja. Berdasarkan harga RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 pada RM1.99 seliter, kos petrol sahaja sudah mencecah sekitar RM455 sebulan untuk kereta biasa. Bagi kadar tol pula, bayaran sehala dari Tol Seremban ke Tol Sungai Besi ialah RM5.25 mengikut kalkulator rasmi PLUS, bermakna kira-kira RM231 sebulan untuk perjalanan pergi balik. Kos perjalanan sahaja sudah mencecah hampir RM700 sebulan. Kalau perlu pindah dan sewa bilik atau rumah di KL, itu adalah satu lagi angka besar yang perlu dimasukkan dalam bajet anda. Kenaikan gaji sebanyak RM500 mungkin sebenarnya akan merugikan anda apabila kos tambahan ini dikira. 

Disebabkan kos logistik ini, Polisi Bekerja Fleksibel (Hybrid atau WFH) kini menjadi komponen yang sangat penting. Jika penemu duga menyatakan syarikat mengamalkan corak kerja hybrid (contohnya dua hari di rumah, tiga hari di pejabat), pastikan perkara ini ada dinyatakan dalam surat tawaran atau polisi rasmi syarikat. Ini penting kerana jika ia sekadar “janji mulut”, pihak pengurusan berhak menarik balik kebenaran tersebut pada bila-bila masa atas budi bicara mereka, dan anda mungkin terperangkap dengan kos perjalanan yang tinggi secara mengejut.

5. Tanya Tentang Pertumbuhan Kerjaya

Tawaran kerja yang menarik bukan sekadar apa yang anda dapat hari ini. Tanya tentang struktur kenaikan gaji tahunan, adakah ada peratusan minimum yang dijamin, atau bergantung sepenuhnya kepada budi bicara pengurus? Tanya juga sama ada ada laluan kenaikan pangkat yang jelas dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

Kalau syarikat tidak dapat memberi jawapan yang jelas untuk soalan-soalan ini, anda perlu menilai semula dengan teliti sebelum menerima tawaran tersebut.

6. Semak Reputasi Syarikat

Platform seperti Glassdoor dan LinkedIn boleh bagi gambaran awal tentang budaya kerja dan pengalaman sebenar dari pekerja yang masih berkhidmat atau bekas pekerja. Cari nama syarikat dan baca ulasan terutamanya yang negatif untuk melihat sama ada masalah tersebut masih berulang seperti OT tanpa bayaran, pengurusan yang bermasalah atau kadar pusing ganti (turnover rate) pekerja yang tinggi.

Kalau anda ada kenalan dalam industri yang sama, tanya pendapat mereka tentang syarikat tersebut. Maklumat daripada orang dalam juga berguna jika dibandingkan dengan hanya mengharapkan apa yang tertulis dalam surat tawaran.

Senaraikan soalan anda sebelum sesi tawaran kerja atau sebelum menandatangani kontrak. Tanya tentang kadar caruman KWSP, had perlindungan perubatan, dan terma notis, maklumat ini adalah hak anda untuk tahu sebelum bersetuju.

Mahu lebih banyak perkongsian dan tip kewangan? Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen