Tunggakan PTPTN Cecah RM10.7 Bilion, Peminjam Yang Sukar Bayar Masih Ada Pilihan

KONGSI

Tunggakan pinjaman PTPTN kini telah mencecah RM10.7 bilion, melibatkan 1.16 juta peminjam setakat 31 Ogos 2026. Peminjam yang berdepan kesukaran untuk membayar semula pinjaman tersebut masih boleh memohon untuk menstruktur semula ansuran atau menangguhkan bayaran, tertakluk kepada kelulusan PTPTN.

Jumlah tunggakan ini didedahkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam jawapan bertulis Parlimen pada 5 Oktober 2026, menurut laporan The Edge Malaysia. Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, tentang hutang terkini peminjam dan usaha meningkatkan kutipan.

Kutipan Mahu Dipertingkat, Peminjam Yang Sukar Untuk Bayar Semula Boleh Dapat Khidmat Nasihat

Menurut Zambry, kerajaan sedang memperhalusi terma dan syarat pinjaman supaya lebih bersasar, mengikut keperluan peminjam dan kemampuan kewangan PTPTN. Kerajaan juga berusaha meningkatkan kecekapan kutipan melalui penguatkuasaan dan kerjasama dengan agensi kerajaan serta syarikat.

Namun, Zambry berkata peminjam yang benar-benar sukar membayar boleh tampil untuk mendapatkan khidmat nasihat. Mereka boleh menstruktur semula jadual bayaran ikut kemampuan, atau memohon penangguhan tertakluk kepada fleksibiliti yang dibenarkan PTPTN.

Struktur Semula PTPTN, Ansuran Dikira Ikut Gaji Semasa

Struktur semula bermaksud PTPTN mengira semula ansuran bulanan berdasarkan pendapatan semasa peminjam. Panduan penstrukturan semula RinggitPlus menyatakan ansuran baharu biasanya ditetapkan antara 5% hingga 8% daripada pendapatan kasar. Panduan yang sama turut menyatakan pinjaman skim konvensional perlu ditukar ke skim Ujrah dengan caj 1% setahun.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli pula berkata pada 9 Februari lalu bahawa struktur semula dibenarkan mengikut kemampuan kewangan peminjam sehingga maksimum umur 60 tahun, menurut laporan Berita RTM.

Berdasarkan anggaran sekitar 5% hingga 8% dalam panduan RinggitPlus, gaji kasar RM3,000 bermakna ansuran kira-kira RM150 (5%) hingga RM240 (8%) sebulan. Namun, tempoh bayaran yang lebih panjang bermakna caj Ujrah 1% dikenakan lebih lama, jadi jumlah keseluruhan yang dibayar akan meningkat. 

Cara Mohon Struktur Semula

Menurut panduan yang sama, permohonan boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN atau laman web PTPTN. Dokumen yang diperlukan ialah penyata gaji terkini. Bagi yang bekerja sendiri, penyata KWSP mungkin diperlukan sebagai ganti. Semak juga penyata pinjaman dalam aplikasi untuk tahu baki dan tunggakan anda.

Bagi peminjam yang sudah tertunggak, panduan yang sama menyatakan PTPTN biasanya meminta sebahagian tunggakan dijelaskan dahulu, iaitu sekitar 50% daripada jumlah tertunggak, ditambah kos penguatkuasaan, duti setem dan caj takaful. Amaun ini kadangkala boleh dirunding mengikut keadaan kewangan anda, dan kempen PTPTN kadangkala menurunkan bayaran awal ini. Semak dengan PTPTN untuk kempen terkini.

Kesan Struktur Semula Pada Permohonan Pinjaman Rumah

Pada 4 Januari 2026, Zambry menafikan dakwaan bahawa struktur semula menjejaskan kelayakan peminjam untuk memohon pinjaman perumahan, menurut laporan Utusan Malaysia. Beliau turut berkata tindakan tegas hanya akan diambil terhadap peminjam yang langsung tidak berusaha menghubungi PTPTN atau memaklumkan kedudukan kewangan mereka. 

Kelulusan pinjaman perumahan tetap bergantung pada penilaian bank masing-masing. Menurut panduan penstrukturan semula RinggitPlus, CCRIS memaparkan sejarah bayaran 12 bulan terakhir, jadi bayaran yang terlepas sebelum struktur semula masih kelihatan dalam tempoh itu. Rekod anda akan kelihatan lebih baik selepas enam bulan berturut-turut membuat bayaran tepat pada masanya. 

Tangguh Bayaran Jika Tidak Bekerja Atau Sambung Belajar

Borang permohonan penangguhan PTPTN menyenaraikan dua sebab untuk menangguhkan bayaran. Semak dengan PTPTN sama ada borang ini serta syarat dan prosesnya masih terpakai.

Sebab penangguhanTempohDokumen sokongan
Tidak bekerja atau tiada pendapatan6 bulan bagi setiap permohonan, maksimum 24 bulan sepanjang tempoh pinjamanPenyata KWSP terperinci dan Akuan Sumpah oleh Pesuruhjaya Sumpah
Sambung belajar sepenuh masa tanpa pinjaman PTPTNMinimum 6 bulan. Maksimum 2 tahun (asasi, sijil, profesional, diploma lanjutan, sarjana, PhD), 3 tahun (diploma), 4 tahun (ijazah sarjana muda)Surat tawaran terkini dan/atau surat pengesahan institusi

Penangguhan ini turut terpakai bagi peminjam yang mengikuti program berkembar (2+1 atau 2+2) atau melanjutkan pengajian sepenuh masa di luar negara.  Penangguhan sambung belajar tidak terpakai jika pengajian sedia ada dilanjutkan kerana gagal atau sengaja ditangguhkan, atau jika kursus baharu sama peringkat atau lebih rendah daripada pengajian yang sudah dibiayai PTPTN.

Hanya pinjaman Ujrah yang layak, dan peminjam yang berdepan tindakan undang-undang perlu menjelaskan kos guaman dahulu. Sepanjang penangguhan, PTPTN masih boleh menyenaraikan nama anda dalam CCRIS dan menyalurkannya kepada pihak ketiga bagi tujuan pemantauan. Caj Ujrah juga terus terkumpul, menurut panduan RinggitPlus.

Penangguhan terbatal jika anda menstruktur semula bayaran dalam tempoh itu. Hantar borang yang lengkap ke pejabat PTPTN negeri atau cawangan berhampiran.

Bagi yang baru tamat belajar, Adam Adli dalam jawapan yang sama berkata peminjam diberi tempoh bertenang selama 12 bulan selepas tamat pengajian untuk mendapatkan pekerjaan dan pendapatan stabil sebelum perlu mula membayar.

Bayaran Anda Membiayai Pinjaman Pelajar Baharu

Menurut Zambry, PTPTN beroperasi sebagai dana pusingan. Bayaran balik daripada peminjam yang sudah tamat pengajian menjadi sumber utama untuk membiayai pinjaman pelajar baharu. Kekurangan dana tahunan pula ditampung melalui terbitan sukuk atau pinjaman daripada institusi kewangan tempatan yang dijamin kerajaan.

Semak Baki Dan Hubungi PTPTN Sebelum Tindakan Undang-Undang

Semak baki pinjaman anda dalam myPTPTN dahulu. Hubungi PTPTN sebelum tindakan undang-undang dimulakan, dan simpan rekod bertulis jumlah ansuran baharu serta tarikh mula bayaran.

Syarat struktur semula dan penangguhan boleh berubah, jadi sahkan butiran terkini dengan PTPTN sebelum membuat keputusan. Untuk cara bayaran balik yang lain, baca panduan bayaran balik PTPTN untuk graduan di RinggitPlus.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

0 0 votes
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen