Bukan semua orang mampu untuk membayar balik pinjaman PTPTN mereka mengikut jadual yang ditetapkan. Gaji permulaan yang berbeza, perubahan keadaan kewangan dan apa yang dilihat seperti mampu untuk dibayar di atas kertas tidak selalunya praktikal dalam realiti.
Jika anda bergelut untuk membuat bayaran, menstruktur semula pinjaman PTPTN mungkin dapat memberikan ruang untuk anda “bernafas”. Ia merupakan cara untuk melaraskan bayaran balik kepada jumlah yang mampu dibayar secara realistik, daripada anda terus terlepas tarikh pembayaran dan terpaksa berhadapan dengan masalah yang lebih besar di kemudian hari.
PTPTN amat menggalakkan peminjam yang menghadapi kesukaran untuk tampil lebih awal. Menyelesaikan masalah dengan lebih cepat dapat memberikan anda lebih banyak pilihan berbanding menunggu sehingga tunggakan menimbun yang boleh mengakibatkan rekod CCRIS anda terjejas atau tindakan penguatkuasaan dikenakan.
Perbezaan Penstrukturan Semula dan Penjadualan Semula
Kedua-dua istilah ini sering digunakan tetapi ia membawa maksud yang berbeza.
Penjadualan Semula (Rescheduling) membolehkan anda melaraskan Jadual Bayaran Balik (JBB) dalam tempoh bayaran balik asal pinjaman anda. Dalam erti kata lain, anda menyusun semula jumlah yang perlu dibayar pada waktu-waktu tertentu tanpa memanjangkan tempoh keseluruhan bayaran balik tersebut.
Penstrukturan Semula (Restructuring) pula mengubah struktur pinjaman anda. Ansuran bulanan anda dikira semula berdasarkan kemampuan anda, dan tempoh bayaran balik boleh dilanjutkan sehingga anda berumur 60 tahun. Bayaran bulanan biasanya ditetapkan pada kadar sekitar 5% hingga 8% daripada pendapatan kasar anda.
Sebagai contoh, jika JBB semasa anda adalah RM350 sebulan tetapi pendapatan anda hanya RM2,500, penstrukturan semula boleh mengurangkan jumlah itu kepada sekitar RM125 hingga RM200 sebulan. Anda akan membayar untuk tempoh yang lebih lama, tetapi bayaran yang lebih rendah dan konsisten adalah jauh lebih baik daripada bayaran tinggi yang sering tertunggak.
Adakah Kadar Faedah Anda Akan Berubah?
PTPTN kini menawarkan dua skema pinjaman. Ianya skema konvensional lama yang mengenakan caj antara 3% hingga 5% dan skema Ujrah yang patuh Syariah dengan upah tetap 1% setahun.
Jika anda masih di bawah skema konvensional, anda perlu menukarnya kepada Ujrah sebelum boleh melakukan penstrukturan semula. Pertukaran ini adalah percuma, dan kadar anda akan turun kepada 1%. Jika anda sudah sedia ada di bawah skema Ujrah, kadar anda akan kekal sama selepas penstrukturan semula.
Jika anda memanjangkan tempoh bayaran balik melalui penstrukturan semula, upah Ujrah 1% tersebut akan dikenakan bagi keseluruhan tempoh yang dilanjutkan itu. Ini bermakna bayaran bulanan anda akan menjadi lebih rendah, tetapi jumlah keseluruhan yang dibayar sepanjang hayat pinjaman akan meningkat.
Bolehkah Anda Memohon Penstrukturan Semula PTPTN Secara Dalam Talian?
Ya, keseluruhan proses penstrukturan semula boleh dilakukan melalui aplikasi myPTPTN atau layari laman web PTPTN.
Sebaik sahaja anda menghantar permohonan, eksekutif jualan PTPTN biasanya akan menghubungi anda dalam masa tujuh hari bekerja untuk membincangkan situasi anda. Setelah kedua-dua pihak bersetuju dengan syarat baharu dan anda menandatangani perjanjian tersebut, anda boleh memuat naik semua dokumen yang diperlukan melalui aplikasi. Dari mula hingga selesai, proses ini biasanya mengambil masa sekitar dua minggu.
Adakah Bayaran Bulanan yang Lebih Rendah Akan Memanjangkan Tempoh Pinjaman Anda?
Dalam kebanyakan kes, ya.
Sebagai contoh, jika baki hutang anda adalah RM25,000 dengan baki tempoh 10 tahun dan anda kini membayar RM250 sebulan, menstruktur semula bayaran kepada RM150 sebulan boleh memanjangkan tempoh bayaran balik anda kepada sekitar 17 tahun. Sepanjang tempoh pelanjutan tersebut, anda mungkin akan membayar kira-kira RM2,500 lebih dalam bentuk caj Ujrah.
Sama ada pertukaran (trade-off) ini berbaloi atau tidak, ia bergantung kepada situasi anda. Bagi kebanyakan peminjam, penjimatan RM100 sebulan boleh menjadi penentu sama ada mereka dapat membayar secara konsisten atau mula terjebak dengan tunggakan.
PTPTN membenarkan pinjaman yang distruktur semula untuk diteruskan sehingga umur 60 tahun. Dan jika keadaan kewangan anda bertambah baik pada masa akan datang, anda bebas untuk membayar lebih daripada had minimum JBB bagi menyelesaikan pinjaman dengan lebih cepat.
Adakah Anda Perlu Membuat Bayaran Secara Sekaligus (Lump Sum) Terlebih Dahulu?
Jika akaun anda sudah mempunyai tunggakan, PTPTN biasanya akan meminta anda menjelaskan sebahagian daripada jumlah tertunggak tersebut sebelum penstrukturan semula dapat diteruskan. Kebiasaannya, jumlah ini adalah sekitar 50% daripada jumlah tunggakan, berserta sebarang kos penguatkuasaan, duti setem, atau caj berkaitan takaful.
Walau bagaimanapun, amaun tersebut tidak selalunya berada dalam jumlah yang tetap. Jika anda benar-benar tidak mampu, bayaran pendahuluan ini kadangkala boleh dirunding dengan pegawai pinjaman berdasarkan situasi kewangan anda.
PTPTN juga kerap menjalankan kempen berkala untuk memudahkan urusan penstrukturan semula. Contoh terbaru adalah kempen “Bayar Tunggakan Serendah RM300”. Kempen berkenaan membenarkan peminjam meneruskan proses dengan hanya bayaran pendahuluan RM300, tanpa mengira jumlah keseluruhan tunggakan mereka.
Memandangkan kempen-kempen ini berubah dari semasa ke semasa, sebaiknya anda menyemak laman web PTPTN atau menghubungi talian khidmat pelanggan (careline) untuk melihat tawaran terkini yang tersedia.
Untuk permohonan penstrukturan semula kali pertama, PTPTN tidak mengenakan sebarang yuran pemprosesan.
Adakah Penstrukturan Semula Akan Memulihkan Rekod CCRIS Anda Secara Serta-merta?
Tidak secara langsung, dan perkara ini telah mengejutkan ramai pihak.
Sebaik sahaja anda melakukan penstrukturan semula, rekod CCRIS anda akan mencerminkan perjanjian baharu tersebut. Status bulan semasa anda akan kelihatan baik selagi anda membuat pembayaran mengikut JBB yang baharu. Walau bagaimanapun, CCRIS memaparkan sejarah pembayaran anda bagi tempoh 12 bulan yang lalu. Sebarang bayaran yang anda terlepas tarikh pembayaran akhir sebelum penstrukturan semula dilakukan kan tetap kelihatan dalam tempoh tersebut.
Ini bermakna pihak bank masih boleh melihat rekod lama itu jika anda memohon kad kredit atau pinjaman lain dalam bulan-bulan berikutnya.
Panduan daripada PTPTN menyatakan bahawa kedudukan kredit anda akan kelihatan lebih sihat selepas enam bulan berturut-turut membuat pembayaran tepat pada masanya tanpa sebarang tunggakan baharu. Tiada jalan pintas untuk ini kerana konsistensi adalah kunci yang akan menambah baik rekod anda dari semasa ke semasa.
Setelah anda menyelesaikan sepenuhnya pinjaman PTPTN, status CCRIS anda akan dikemas kini kepada angka “0” dalam masa tujuh hari bekerja.
Apa Yang Anda Perlukan Untuk Memohon Penstrukturan Semula
Sebelum memulakan permohonan anda di myPTPTN, sediakan penyata gaji terkini anda. Jika anda bekerja sendiri, penyata KWSP mungkin diperlukan sebagai ganti. Selain itu, semak juga penyata pinjaman anda di dalam aplikasi supaya anda mengetahui baki tertunggak dan sebarang jumlah tunggakan yang ada.
Anda perlu memberi komitmen kepada kaedah bayaran balik secara konsisten sebaik sahaja perjanjian baharu dikuatkuasakan. Tidak kiralah melalui potongan gaji atau potongan secara terus melalui debit.
Bilakah Penstrukturan Semula Menjadi Pilihan Yang Tepat?
Penstrukturan semula menjadi sangat membantu jika anda benar-benar bergelut dengan bayaran balik semasa. Bayaran ansuran yang lebih kecil secara konsisten adalah lebih baik berbanding jumlah besar yang anda gagal jelaskan.
Walau bagaimanapun, ia bukanlah penyelesaian yang tepat bagi semua orang. Jika Akaun 2 KWSP anda mempunyai baki yang mencukupi untuk melangsaikan tunggakan atau membayar sebahagian besar pinjaman anda, itu mungkin langkah jangka panjang yang lebih bijak. Pengeluaran Akaun 2 KWSP boleh digunakan untuk membayar hutang PTPTN, dan menyelesaikan pinjaman tersebut akan menghapuskan tekanan bayaran balik pada masa hadapan secara menyeluruh.
Jika masalah kewangan anda hanya bersifat sementara dan anda kini sedang menganggur, anda juga mungkin layak untuk memohon penangguhan sehingga 24 bulan. Cuma perlu diingat bahawa caj Ujrah akan terus terkumpul sepanjang tempoh penangguhan tersebut.
Langkah Seterusnya
Jika anda tidak pasti dengan status semasa anda, mulakan dengan log masuk ke myPTPTN dan semak penyata pinjaman anda. Dari situ, anda boleh menghantar permintaan konsultasi bayaran balik melalui portal atau hubungi PTPTN Careline di talian 03-2193 3000 jika anda mempunyai sebarang soalan.
Lebih awal anda bertindak, lebih banyak fleksibiliti yang mungkin anda perolehi. Uruskan hal ini dengan segera bagi mengelakkan hutang daripada terus bertambah.
Inginkan lebih banyak tips kewangan peribadi yang praktikal dan terus-terang untuk rakyat Malaysia? Sertai Saluran WhatsApp kami.

Seorang penulis yang suka cafe hopping untuk dapatkan idea penulisan yang baharu bagi memudahkan lebih ramai Gen Z faham tentang kewangan dengan bahasa yang mudah difahami. Sambil-sambil menulis, minuman matcha sentiasa menjadi peneman! 💚
