Cara Failkan Cukai Jika Anda Tukar Atau Hilang Kerja Pada 2025 (YA 2025)

KONGSI

Menukar pekerjaan atau kehilangan kerja dalam tempoh setahun boleh menyebabkan proses pencukaian menjadi lebih rumit. Berbeza daripada situasi biasa di mana anda hanya mempunyai satu Borang EA dan proses penghantaran yang mudah, kini anda mungkin perlu berurusan dengan lebih daripada satu majikan, tempoh pendapatan yang berbeza atau bayaran pampasan yang perlu dilaporkan.

Jika situasi pekerjaan anda berubah sepanjang 2025. Anda tetap perlu menghantar borang cukai pendapatan berdasarkan jumlah pendapatan yang diterima antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025. Perbezaan utamanya adalah untuk memastikan semua dokumen dan bayaran yang berkaitan dimasukkan dengan betul dalam borang cukai anda.

Berikut adalah perkara yang perlu anda tahu semasa memfailkan cukai Tahun Taksiran 2025 (YA 2025) sekiranya anda telah menukar kerja, dibuang kerja, atau mengalami tempoh tanpa pekerjaan sepanjang tahun lalu.

Jika Anda Menukar Kerja Pada 2025

Bertukar majikan dalam tahun yang sama tidak mengubah cara cukai pendapatan dikira. Tetapi ini bermakna anda perlu menggabungkan maklumat pendapatan daripada pelbagai majikan semasa memfailkan borang cukai.

Semua pendapatan penggajian yang diperoleh sepanjang 2025 mesti dinyatakan dalam satu borang cukai pendapatan.

Dapatkan Borang EA Daripada Setiap Majikan

Setiap majikan dikehendaki mengeluarkan Borang EA kepada pekerja menjelang akhir Februari tahun berikutnya. Bagi pendapatan yang diperoleh pada 2025, Borang EA sepatutnya telah dikeluarkan pada atau sebelum 28 Februari 2026.

Borang EA merumuskan maklumat penting yang diperlukan untuk memfailkan cukai, termasuk jumlah gaji dan elaun yang diterima, bonus atau komisen, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), serta Potongan Cukai Bulanan (PCB).

Jika anda bertukar kerja dalam tempoh setahun, anda sepatutnya menerima Borang EA daripada setiap majikan yang anda bekerja bersama pada 2025.

Semasa melengkapkan Borang BE melalui portal MyTax, anda perlu menggabungkan angka-angka daripada semua Borang EA untuk mengira jumlah pendapatan penggajian anda.

Bagaimana Jika Anda Tidak Menerima Borang EA?

Dalam sesetengah keadaan, anda mungkin tidak menerima Borang EA daripada majikan lama sebelum tarikh akhir penghantaran cukai.

Anda tetap boleh memfailkan cukai dengan menyemak semula maklumat yang diperlukan menggunakan dokumen seperti slip gaji, penyata caruman KWSP, rekod caruman PERKESO, atau penyata bank yang menunjukkan bayaran gaji.

Dokumen-dokumen ini boleh membantu menganggarkan pendapatan dan potongan anda bagi tahun tersebut. Jika anda mempunyai Borang EA rasmi daripada majikan lama anda adalah lebih memudahkan kerana ia memberikan ringkasan pendapatan penggajian yang paling tepat.

Jika Anda Dibuang Kerja Atau Menganggur Sepanjang 2025

Kehilangan pekerjaan dalam tahun tersebut tidak secara automatik membebaskan anda daripada kewajipan memfailkan cukai.

Jika anda memperoleh pendapatan penggajian pada awal tahun, anda masih dikehendaki mengisytiharkan pendapatan tersebut dalam borang cukai anda.

Dalam banyak kes, individu yang telah ditolak PCB daripada gaji mereka mungkin layak mendapat bayaran balik cukai setelah pelepasan dan potongan diambil kira.

Menghantar borang cukai anda memastikan pengiraan cukai yang betul dibuat berdasarkan pendapatan sebenar yang diperoleh sepanjang tahun.

Melaporkan Pampasan Kehilangan Pekerjaan

Jika anda menerima pampasan selepas kehilangan kerja, sebahagian daripada bayaran tersebut mungkin boleh dikenakan cukai.

Menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pampasan kehilangan pekerjaan merangkumi bayaran seperti faedah buang kerja (retrenchment benefits), bayaran pesangon (severance payments), pampasan pelanggaran kontrak, serta gaji sebagai ganti notis.

Namun, pengecualian tertentu tetap terpakai.

Jika anda behenti kerja adalah disebabkan masalah kesihatan, pampasan yang diterima adalah dikecualikan sepenuhnya daripada cukai pendapatan.

Jika anda diberhentikan atas sebab-sebab  yang lain, pengecualian sebanyak RM10,000 diberikan bagi setiap tahun perkhidmatan penuh bersama majikan atau kumpulan syarikat yang sama. Sebarang jumlah yang melebihi pengecualian ini perlu dinyatakan sebagai pendapatan bercukai.

Semasa memfailkan borang cukai, hanya bahagian pampasan yang bercukai sahaja perlu dimasukkan di bawah pendapatan penggajian.

Dokumen Yang Perlu Disimpan Jika Anda Kehilangan Kerja

Jika pekerjaan anda tamat pada 2025,penting untuk anda menyimpan dokumen yang menyokong pengisytiharan pendapatan anda.

Dokumen-dokumen ini mungkin termasuk Borang EA daripada majikan anda, surat penamatan atau buang kerja, penyata bayaran pampasan, kontrak pekerjaan, serta slip gaji.

Dokumen-dokumen ini mungkin diminta oleh LHDN sekiranya pengesahan lanjut diperlukan.

Memfailkan Cukai TA 2025 Melalui MyTax

Borang cukai pendapatan bagi pendapatan yang diperoleh antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025 mesti dihantar pada tahun 2026 melalui portal MyTax LHDN.

Kebanyakan pekerja akan menggunakan Borang BE, iaitu borang untuk individu pemastautin yang mempunyai pendapatan penggajian tetapi tiada pendapatan perniagaan.

Tarikh akhir statutori bagi YA 2025 adalah seperti berikut:

BorangTarikh Akhir
Borang BE (individu pemastautin tanpa pendapatan perniagaan)30 April 2026
Borang B (individu pemastautin yang menjalankan perniagaan)30 Jun 2026

LHDN biasanya memberikan lanjutan pentadbiran bagi penghantaran secara elektronik melalui e-Filing. Berdasarkan tahun-tahun sebelumnya, tarikh akhir yang dilanjutkan biasanya sekitar pertengahan Mei (15 Mei) untuk Borang BE dan pertengahan Julai (15 Julai) untuk Borang B, walaupun pembayar cukai perlu sentiasa menyemak tarikh rasmi yang diumumkan oleh LHDN.

Failkan Cukai Walaupun Pendapatan Anda Berkurangan

Jika pendapatan anda menurun dengan ketara selepas bertukar kerja atau semasa menganggur, cukai yang perlu dibayar mungkin lebih rendah daripada yang anda jangkakan.

Pelepasan seperti caruman KWSP, premium insurans, pembelian berkaitan gaya hidup, serta perbelanjaan perubatan boleh mengurangkan pendapatan bercukai anda lebih jauh lagi.

Dalam sesetengah kes, pembayar cukai yang telah ditolak PCB lebih awal dalam tahun mungkin menerima bayaran balik selepas menghantar borang cukai mereka.

Menghantar borang cukai anda memastikan kedudukan cukai akhir anda mencerminkan pendapatan sebenar yang diperoleh sepanjang tahun, bukan sekadar anggaran potongan yang dibuat semasa tempoh bekerja.

Untuk panduan yang lebih lengkap tentang cara memfailkan cukai, semak Panduan Cukai Pendapatan Peribadi Malaysia 2026 (YA 2025).

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments