Untuk mendapatkan kad kredit di Malaysia, anda perlu memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan.
Faktor utama yang dinilai ialah pendapatan tahunan, status pekerjaan, dan rekod kredit anda. Walaupun anda telah lama menjadi pelanggan sesebuah bank, anda tetap perlu memenuhi had pendapatan minimum mereka di mana hubungan sedia ada tidak mengecualikan anda daripada syarat-syarat tersebut.
Memahami kelayakan anda sebelum memohon dapat menjimatkan masa dan melindungi laporan kredit anda.
Berapa Pendapatan Minimum Untuk Memohon Kad Kredit Asas?
BNM telah menetapkan pendapatan minimum untuk memohon kad kredit pada RM24,000 setahun (RM2,000 sebulan). Ini merupakan had minimum bagi semua bank di Malaysia. Tiada bank boleh mengeluarkan kad kredit kepada anda jika gaji kasar tahunan anda kurang daripada jumlah ini.
Namun, pendapatan RM24,000 setahun hanya melayakkan anda untuk kad kredit yang paling asas. Kad kredit pulangan tunai mungkin menerima pendapatan RM24,000. Manakala kad kredit pelancongan daripada bank yang sama mungkin memerlukan jumlah pendapatan tahunan sekurang-kurangnya RM60,000 atau lebih.
Peraturan khas bagi pendapatan di bawah RM36,000 setahun
Jika pendapatan tahunan anda adalah kurang daripada RM36,000, BNM akan mengenakan sekatan tambahan untuk melindungi anda daripada beban hutang yang berlebihan:
Had dua bank: Anda hanya boleh memegang kad kredit daripada maksimum dua bank. Jika anda sudah mempunyai kad daripada dua bank dan ingin memohon di bank ketiga, anda perlu menutup akaun sedia ada terlebih dahulu.
Had kredit: Setiap bank hanya boleh memberi had kredit sehingga dua kali ganda gaji bulanan anda. Jika gaji anda RM3,000 sebulan, had kredit tertinggi daripada mana-mana bank ialah RM6,000. Walaupun bank meluluskan kad yang biasanya menawarkan had RM10,000, had anda akan dihadkan kepada RM6,000.
Sekatan ini terpakai mengikut bank, bukan mengikut kad. Jika anda mempunyai dua kad daripada bank yang sama, had gabungan kedua-duanya tidak boleh melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan anda.
Sebaik sahaja pendapatan tahunan anda melebihi RM36,000, sekatan ini tidak lagi terpakai. Namun, syarat pendapatan minimum bagi setiap kad masih diambil kira. Bank mungkin menawarkan had kredit yang lebih tinggi, namun anda tetap perlu memenuhi syarat pendapatan minimum kad tertentu yang anda pohon.
Apa Bezanya Syarat Kad Platinum Berbanding Kad Asas?
Kad kredit mempunyai beberapa peringkat (tier), dan setiap peringkat mempunyai syarat pendapatan yang berbeza:
Kad Asas dan Gold lazimnya memerlukan RM24,000 hingga RM30,000 setahun. Ini adalah kad kredit peringkat permulaan yang sesuai untuk pemohon kali pertama atau mereka yang berpendapatan sederhana. Kebanyakan bank menawarkan sekurang-kurangnya satu kad pada had minimum RM24,000.
Kad Platinum umumnya memerlukan pendapatan minimum RM36,000 hingga RM60,000 setahun, walaupun sesetengah bank menetapkan had yang lebih tinggi. Jumlah yang tepat berbeza antara bank di mana kad platinum sebuah bank mungkin memerlukan RM36,000. Sementara bank lain memerlukan RM48,000 untuk produk yang serupa.
Kad Premium (Visa Infinite, Mastercard World, atau peringkat premium khusus bank) kebiasaannya memerlukan jumlah pendapatan RM80,000 hingga RM150,000 atau lebih setahun. Kad-kad ini menyasarkan golongan berpendapatan tinggi dan mempunyai syarat yang paling ketat.
Sesetengah bank juga mengekalkan had pendapatan minimum yang tinggi untuk semua kad mereka. Contohnya, bank antarabangsa tertentu memerlukan pendapatan tahunan RM96,000 atau RM102,000 walaupun untuk kad paling asas yang mereka tawarkan.
Had pendapatan tepat bagi setiap kad tersenarai di laman web bank berkenaan dan di halaman perbandingan kad kredit kami. Anda boleh membuat tapisan mengikut tahap pendapatan untuk melihat kad yang anda layak mohon.
Apakah dokumen yang diperlukan untuk memohon kad kredit?
Dokumen yang diperlukan bergantung pada cara anda memperoleh pendapatan, tetapi semuanya mestilah dalam bentuk berkomputer.
Pekerja bergaji: Lazimnya, bank memerlukan slip gaji terkini atau penyata KWSP yang menunjukkan sekurang-kurangnya enam bulan caruman. Jika gaji termasuk elaun berubah-ubah? Anda mungkin perlu mengemukakan tiga bulan slip gaji dan penyata bank untuk mengesahkan pendapatan berulang.
Bekerja sendiri/Pemilik perniagaan: Bank perlukan dokumen pendaftaran perniagaan (SSM Borang 9, 24, atau 49), enam bulan penyata bank syarikat, serta Borang B terkini bersama resit cukai LHDN untuk mengesahkan pendapatan rasmi.
Pendapatan komisen atau bebas (freelance): Bawa bersama enam bulan penyata komisen berkomputer, Borang EA atau Borang BE terkini, serta resit LHDN. Bank perlu melihat pendapatan yang stabil dari semasa ke semasa, bukan hanya satu bulan yang luar biasa tinggi.
Semua dokumen perlu jelas dan lengkap. Imbasan yang kabur atau terpotong mungkin ditolak oleh sistem automatik sebelum sempat disemak oleh mana-mana pihak.
Bolehkah Warga Asing Memohon Kad Kredit Di Malaysia?

Ya, tetapi syaratnya lebih ketat dan proses untuk mendapatkan kelulusan adalah lebih sukar berbanding warganegara Malaysia.
Bank memerlukan permit kerja atau pas pekerjaan (employment pass/EP) yang sah dengan sekurang-kurangnya satu tahun lagi sebelum tamat tempoh.
Syarat pendapatan minimum juga kerap lebih tinggi berbanding warganegara, sesetengah bank menambah RM10,000 hingga RM20,000 kepada had standard mereka untuk pemohon asing.
Anda perlu mengemukakan pasport, surat daripada majikan yang mengesahkan jawatan dan tempoh jangkaan anda berada di Malaysia, serta bukti alamat di Malaysia. Kebanyakan bank juga memerlukan anda memegang akaun simpanan atau semasa sedia ada bersama mereka sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan sebelum permohonan kad kredit anda dipertimbangkan.
Kebanyakan Bank Tak Luluskan Kad Kredit Tanpa Cagaran
Kebanyakan bank tidak meluluskan kad kredit tanpa cagaran (unsecured) untuk warga asing yang baru tiba di Malaysia atau mereka yang bekerja atas kontrak jangka pendek. Pemegang visa pelajar menghadapi sekatan yang lebih ketat lagi, dengan kebanyakan bank menolak permohonan sepenuhnya.
Namun, warga asing yang tidak layak untuk kad kredit tanpa cagaran boleh memohon kad kredit bercagaran (secured credit card). Kad ini dikaitkan dengan akaun Deposit Tetap, dengan had kredit lazimnya ditetapkan pada 80% hingga 100% daripada jumlah deposit anda.
Deposit tersebut menjana keuntungan semasa ia berada dalam akaun berkenaan dan akan dikembalikan apabila anda menutup kad, dengan syarat semua baki dibayar sepenuhnya.
Pilihan ini amat popular dalam kalangan warga asing. Kerana ia menghapuskan keperluan pengesahan pendapatan, dan risiko bank dilindungi oleh deposit anda.
Selepas mengekalkan kad bercagaran dengan rekod pembayaran yang baik selama enam hingga dua belas bulan. Ramai warga asing mendapati ia lebih mudah untuk layak mendapat kad kredit tanpa cagaran biasa terutamanya setelah mereka membina sejarah pekerjaan yang lebih panjang di Malaysia.
Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Saya Tidak Memenuhi Syarat Piawaian Yang Ditetapkan?
Jika anda tidak memenuhi syarat untuk kad biasa, kad kredit bercagaran (secured credit card) adalah salah satu alternatif yang terbaik. Kelulusan untuk mendapat kad ini bergantung pada Deposit Tetap, bukan pendapatan.
Had kredit lazimnya ditetapkan pada 80% hingga 100% daripada deposit, yang menjana keuntungan semasa ia ditahan. Deposit dikembalikan apabila kad ditutup, dengan syarat semua baki dibayar sepenuhnya.
Selepas enam hingga dua belas bulan pembayaran tepat pada masanya, rekod kredit anda bertambah baik, menjadikannya lebih mudah untuk layak mendapat kad kredit tanpa cagaran pada masa hadapan.
Sebelum Anda Memohon
Kelayakan kad kredit di Malaysia mudah difahami sebaik anda mengetahui peraturannya. Semak pendapatan tahunan anda, kenal pasti peringkat yang anda berada, dan mohon hanya untuk kad dalam julat kelayakan anda. Bank telah menetapkan syarat mereka dengan jelas, dan alat perbandingan RinggitPlus membolehkan anda membuat perbandingan mengikut pendapatan untuk melihat dengan tepat apa yang tersedia.
Jika pendapatan anda masih di bawah had untuk kad yang anda inginkan, kad bercagaran memberi anda laluan ke hadapan sambil membina rekod kredit yang memudahkan kelulusan pada masa depan.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
