Jalan hidup dan ujian yang dilalui oleh setiap orang adalah berbeza, ada individu yang baru melangkah ke alam pekerjaan telah diberi pendapatan yang lumayan, namun ada orang yang telah bekerja bertahun-tahun tetapi gaji masih sekadar cukup-cukup makan.
Di Malaysia, masih ramai individu yang pening kepala memikirkan tentang komitmen yang perlu ditanggung setiap bulan. Mana tidaknya, kadangkala gaji yang diperolehi habis begitu sahaja selepas membayar pinjaman bank, bil dan sebagainya.
Graduan Pening Kepala, Tak Tahu Nak Buat Apa Dengan Baki Gaji
Namun berbeza pula dengan luahan seorang graduan ini apabila mendakwa dirinya pening dan tidak tahu apa yang ingin dibuat dengan baki gajinya yang mempunyai banyak lebihan setelah menolak komitmen.
Luahan individu itu mendapat perhatian ramai selepas ia dikongsikan di laman X akaun @meimoktar.
Dalam luahan tersebut, individu berkenaan mendakwa dia memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM7,000. Amaun tersebut dipercayai gaji bulanannya.
Hanya Bayar Makanan, Rumah dan Kereta Pula Ibu Bapa Yang Bayarkan
Dakwa individu itu lagi, dia mempunyai banyak lebihan baki pendapatan kerana gajinya hanya digunakan untuk membeli makanan dan membayar dua yuran keahlian gim.
Difahamkan juga, ibu bapanya juga telah memberikan sebuah rumah sebagai tempat tinggal serta membantunya menyelesaikan pinjaman kereta.
“Setiap bulan tak habis gaji saya pakai. Keahlian gim sampai dua tempat saya ambil, itu pun masih banyak baki. Pening juga ya macam ini,” luah individu itu.
Ramai Cadang Agar Individu Itu Menabung dan Melabur
Di ruangan komen, rata-rata pengguna X memberi cadangan agar individu itu agar hanya menyimpan lebihan gajinya serta membuat pelaburan.
Tidak kurang juga yang mencadangkan agar ia menggunakan lebihan wang daripada pendapatannya itu untuk bersedekah kepada insan yang memerlukan.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada luahan tersebut sememangnya benar atau rekaan semata-mata.
Lain macam flex ang anon pic.twitter.com/jUcY9agl3a
— 🔺meingl🔻 (@meinmokhtar) March 24, 2026
Apa Nak Buat Dengan Lebihan Gaji?
Sememangnya wujud individu yang mempunyai lebihan gaji yang banyak dan tidak tahu apa yang harus dibuat dengan wang tersebut.
Susulan itu, mari kami kongsikan kepada anda apa yang seharusnya dilakukan dengan lebihan wang terbabit.
Bina Dana Kecemasan Dulu
Sebelum apa-apa, pastikan dana kecemasan anda berada dalam keadaan yang mencukupi. Sasarkan untuk simpanan sebanyak 3 hingga 6 bulan perbelanjaan bulanan, disimpan dalam akaun yang mudah dicapai seperti akaun simpanan biasa atau money market fund. Ini bukan pelaburan, ini perlindungan.
Tambah Caruman KWSP Secara Sukarela
Caruman KWSP melebihi kadar wajib boleh dilakukan bila-bila masa. Terdapat dua faedah bagi tambahan caruman KWSP iaitu dividen yang lebih tinggi daripada akaun Simpanan Tetap, dan potongan cukai sehingga RM3,000 setahun.
Melabur Mengikut Tahap Keselesaan Anda
Wang yang tidak dilaburkan tidak akan bertambah secara sendirinya. Pilih instrumen pelaburan mengikut profil risiko anda:
- Rendah: akaun Simpanan Tetap, akaun simpanan berfaedah tinggi, atau ASB (jika layak)
- Sederhana: Unit amanah atau robo-advisor seperti StashAway, Wahed, atau Raiz
- Tinggi: Saham Bursa Malaysia atau ETF
Langsaikan Hutang Lebih Awal
Ada pinjaman peribadi atau hutang kad kredit? Gunakan lebihan untuk membayar lebih daripada jumlah minimum. Setiap Ringgit lebih yang dibayar hari ini menjimatkan faedah yang lebih besar di kemudian hari.
Melabut Untuk Diri Sendiri
Kursus kemahiran atau sijil profesional boleh menaikkan nilai anda di pasaran kerja. Kadang-kadang pulangan pelaburan ni lebih tinggi daripada mana-mana instrumen kewangan.
Guna Formula 50/30/20
Jika anda belum ada sistem pengurusan wang, ini adalah titik permulaan yang baik:
- 50% untuk keperluan (sewa, utiliti, makanan)
- 30% untuk kehendak (hiburan, makan luar)
- 20% untuk simpanan dan pelaburan
Jika komitmen anda sudah diselesaikan dan masih ada lebihan, anda sudah melepasi separuh daripada cabaran dari segi kewangan. Langkah seterusnya adalah untuk memastikan wang tersebut betul-betul bekerja untuk anda, bukan sekadar duduk dalam akaun semasa.
Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

Seorang yang gemar menulis dan berkongsi idea. Minat terhadap perjalanan dan pengalaman baharu, serta menghargai keindahan dunia dari pelbagai perspektif. Sentiasa mencari inspirasi dalam perkara-perkara kecil di sekeliling.
