Kehilangan insan tersayang adalah sesuatu yang cukup menyedihkan, apatah lagi jika perlu berhadapan dengan hutang-hutang yang tidak dijangka! Ramai keluarga di Malaysia bimbang jika mereka akan mewarisi hutang ahli keluarga mereka yang sudah meninggal dunia. Tapi tahukah anda, undang-undang sebenarnya melindungi anda lebih daripada yang anda sangka!
Berita baiknya, undang-undang di Malaysia telah menetapkan bahawa hutang anda tidak menjadi tanggungjawab keluarga anda secara automatik. Ini kerana undang-undang memisahkan tanggungjawab kewangan anda daripada kewangan peribadi waris anda. Tetapi terdapat beberapa pengecualian yang perlu anda ketahui agar anda lebih bersedia dan cakna.
Keluarga Anda Tidak Akan Mewarisi Hutang Anda
Di Malaysia, undang-undang menetapkan garis pemisah yang jelas antara hutang anda dan wang keluarga anda. Apabila anda meninggal dunia, hutang-hutang anda akan dikategorikan sebagai harta pusaka. Ini adalah satu entiti undang-undang yang terdiri daripada aset dan liabiliti anda.
Akta Probet dan Pentadbiran 1959 menjadikan perkara ini sebagai sesuatu yang bersifat rasmi. Bil kad kredit, pinjaman kereta, dan bayaran gadai janji anda tidak boleh ‘mengejar’ anak-anak atau pasangan anda. Pengutip hutang mungkin akan cuba menghubungi keluarga anda, tetapi mereka sebenarnya tidak mempunyai hak undang-undang untuk menuntut pembayaran tersebut.
Harta pusaka anda akan digunakan untuk membayar hutang yang ada. Jika wang tidak mencukupi, maka pemiutang terpaksa menerima hakikat tersebut. Manakala, wang milik keluarga anda kekal selamat dan tidak akan disentuh.
Bila Keluarga Anda Mungkin Perlu Membayar Hutang Anda?
Terdapat tiga situasi di mana keluarga anda masih boleh terikat dengan hutang-hutang anda. Kesemua situasi ini melibatkan keluarga anda yang sememangnya sudah terikat secara sah dengan hutang tersebut.
Penjamin yang telah menandatangani perjanjian yang mengikat mereka secara sah untuk bertanggungjawab sekiranya peminjam utama gagal membayar, kekal bertanggungjawab sepenuhnya. Pihak peminjam berhak untuk menuntut keseluruhan baki hutang yang belum dijelaskan daripada penjamin, tanpa mengira sama ada peminjam utama sudah meninggal dunia.
Peminjam bersama bagi pinjaman bersama-sama, seperti pinjaman perumahan dan pinjaman kereta, berkongsi tanggungjawab yang sama bagi keseluruhan hutang. Apabila salah seorang peminjam bersama meninggal dunia, peminjam yang masih hidup kekal bertanggungjawab sepenuhnya untuk baki penuh hutang tersebut.
Pemegang kad kredit bersama turut menanggung tanggungjawab yang sama untuk semua hutang akaun. Ini berbeza dengan pemegang kad tambahan, yang biasanya tidak menanggung liabiliti melainkan mereka juga bertindak sebagai penjamin.
Walaupun undang-undang memberi perlindungan, pengutip hutang mungkin akan tetap menghubungi ahli keluarga. Oleh itu, amat penting untuk anda memahami hak-hak anda. Elakkan daripada membuat sebarang pembayaran pendahuluan kerana ini boleh ditafsirkan sebagai anda menerima tanggungjawab hutang tersebut. Laporkan sebarang gangguan kepada pihak berkuasa seperti Bank Negara Malaysia atau polis.
Bagaimana Harta Pusaka Anda Membayar Bil-Bil Anda?
Harta pusaka anda merangkumi semua aset dan liabiliti yang anda miliki semasa anda meninggal dunia. Ini termasuklah rumah, simpanan, pelaburan, wang KWSP, hutang, cukai, serta bil-bil anda.
Undang-undang Malaysia menetapkan bahawa semua hutang wajib dijelaskan terlebih dahulu sebelum sebarang pembahagian harta pusaka dilakukan. Tiada pengecualian.
Untuk menguruskan proses ini, seseorang perlu mempunyai kuasa undang-undang. Sekiranya anda meninggalkan wasiat, pihak yang anda pilih sebagai pelaksana akan bertanggungjawab. Jika anda tiada wasiat, mahkamah akan melantik seorang pentadbir untuk mengendalikan urusan ini.
Individu yang dilantik ini akan mengumpulkan semua aset anda, membayar hutang-hutang anda, dan barulah menyerahkan baki yang tinggal kepada waris-waris anda. Proses ini direka untuk melindungi kedua-dua pihak, iaitu pemiutang dan keluarga anda dengan memastikan segalanya diuruskan secara telus dan sah di sisi undang-undang.
Apa Beza Hutang Bercagar dan Hutang Tidak Bercagar?
Sesetengah hutang mendapat keutamaan istimewa kerana ia disandarkan kepada sesuatu yang bernilai.
Hutang bercagar seperti pinjaman perumahan dan pinjaman kereta dikaitkan dengan harta tersebut. Tak dapat bayar pinjaman rumah? Bank boleh menjual rumah itu. Tak dapat bayar pinjaman kereta? Mereka boleh tarik semula kereta itu.
Hutang tidak bercagar pula seperti kad kredit dan pinjaman peribadi tidak mempunyai cagaran. Pemiutang ini hanya boleh berharap agar harta pusaka anda mempunyai wang tunai yang mencukupi untuk membayar mereka.
Jika harta pusaka anda tidak mempunyai wang yang mencukupi, pemiutang bercagar akan mendapatkan cagaran mereka, manakala pemiutang tidak bercagar mungkin tak dapat apa-apa. Keluarga anda pula tidak perlu menanggung hutang yang selebihnya.
Memahami Peranan Pelaksana dalam Menguruskan Harta Pusaka Anda
Dalam pentadbiran harta pusaka, seseorang perlu diberi kuasa undang-undang untuk bertindak bagi pihak anda. Di sinilah peranan pelaksana iaitu individu yang anda lantik dalam wasiat anda. Seperti yang kita tahu, jika tiada wasiat, mahkamah akan melantik seorang pentadbir untuk menguruskan harta pusaka.
Individu ini memikul tanggungjawab yang berat. Mereka perlu mencari semua aset dan hutang anda, mendapatkan kebenaran sah untuk bertindak, menjelaskan semua hutang yang ada, dan kemudian mengagihkan baki yang tinggal mengikut wasiat anda atau undang-undang warisan Malaysia.
Walaupun pelaksana dan pentadbir tidak bertanggungjawab secara peribadi atas hutang-hutang anda, mereka boleh menghadapi kesan yang serius sekiranya menguruskan harta pusaka dengan cuai. Contohnya, jika mereka mengagihkan harta pusaka sebelum menyelesaikan semua hutang, mereka boleh dikenakan tanggungjawab peribadi untuk menanggung kekurangan tersebut.
Insurans Boleh Selamatkan Keluarga Anda Daripada Masalah
Perancangan yang bijak adalah lebih baik daripada hanya bergantung pada perlindungan undang-undang. Insurans nyawa biasanya akan membayar terus kepada waris anda, sekali gus melindungi wang tersebut daripada pemiutang dan pengutip hutang.
Bagi pemilik rumah, insurans gadai janji adalah pilihan yang lebih bijak. Di Malaysia, terdapat dua jenis utama iaitu Mortgage Reducing Term Assurance (MRTA) dan Mortgage Level Term Assurance (MLTA). Kedua-duanya berfungsi untuk melunaskan pinjaman rumah anda apabila anda meninggal dunia.
MRTA mempunyai kos permulaan yang lebih rendah, tetapi jumlah perlindungan akan berkurangan seiring dengan bayaran pinjaman anda. Sebaliknya, MLTA pula mempunyai kos yang lebih tinggi, tetapi mengekalkan jumlah perlindungan yang sama sepanjang tempoh pinjaman. Ini bermakna waris anda akan menerima bayaran penuh yang boleh digunakan untuk melunaskan pinjaman dan menyimpan baki wang yang ada.
Anda boleh membandingkan polisi insurans nyawa yang berbeza untuk mencari perlindungan yang sesuai dengan bajet dan situasi keluarga anda.
Pastikan Kertas Kerja Anda Tersusun

Bila anda sedih berduka susulan kematian ahli keluarga, perkara terakhir yang keluarga anda perlukan adalah menjadi ‘detektif kewangan’, terpaksa menyelongkar laci dan menghubungi bank semata-mata untuk mengumpul maklumat tentang hidup anda.
Menyimpan semua dokumen dengan teratur dapat membantu orang tersayang anda mengelakkan tekanan dan membolehkan mereka menumpukan perhatian pada perkara yang benar-benar penting pada waktu yang sukar.
Buat Wasiat dan Sediakan ‘Legacy Folder‘
Bahagian paling penting dalam membuat wasiat adalah melantik seseorang yang anda percaya untuk menguruskan hal anda apabila anda sudah tiada. Individu ini seharusnya memahami nilai-nilai anda dan komited untuk menunaikan hasrat anda. Tanpa wasiat, kerajaan akan mengambil alih dan mengagihkan aset anda mengikut formula yang ditetapkan, yang mungkin tidak selari dengan niat sebenar anda.
Perancangan legasi melangkaui sekadar insurans nyawa dan memerlukan dokumentasi yang komprehensif. Inilah sebabnya mengapa anda perlu menyediakan ‘Legacy Folder’ dengan salinan semua dokumen penting, termasuk:
- Wasiat anda
- Polisi insurans
- Perjanjian pinjaman
- Butiran akaun bank
- Senarai aset dan ringkasan hutang
- Maklumat hubungan peguam, penasihat kewangan, akauntan, dan ejen insurans
- Akses atau arahan untuk akaun digital
- Senarai bil bulanan dan pembayaran berulang yang perlu diuruskan
Pastikan anda mengemaskini fail tersebut sekurang-kurangnya setahun sekali, dan maklumkan kepada seseorang yang boleh dipercayai di mana ia disimpan. Pertimbangkan untuk menyimpan salinan dengan peguam anda atau di dalam peti simpanan selamat (safe deposit box), dengan arahan yang jelas tentang cara mengaksesnya.
Kesan Jika Ia Tidak Terurus
Dokumen yang tidak terurus boleh menyebabkan aset anda menjadi sebahagian daripada RM65 bilion dana tidak dituntut di Malaysia yang berpunca daripada perancangan harta pusaka yang kurang baik. Di sebalik angka tersebut, terdapat kisah keluarga sebenar yang tidak dapat mencari akaun bank insan tersayang, tidak tahu tentang polisi insurans, atau hanya menyedari tentang hutang perniagaan selepas berbulan-bulan.
Jangan biarkan keluarga anda tertanya-tanya. Tulis nota ringkas yang menerangkan mengapa anda memilih seseorang sebagai pelaksana atau tujuan akaun-akaun tertentu. Contohnya, ‘Pakcik Ahmad dilantik kerana beliau cekap menguruskan dokumen dan tinggal berdekatan’, atau ‘akaun simpanan tetap di Public Bank ini khusus untuk pendidikan anak-anak’.
Jika anda mempunyai urusan yang luar biasa, rakam video pendek untuk menerangkan butirannya. Contohnya, di mana anda menyembunyikan wang tunai kecemasan, kata laluan yang berdasarkan tarikh lahir keluarga, atau rakan kongsi perniagaan yang perlu dimaklumkan dengan segera sekiranya sesuatu berlaku. Suara anda dapat memberikan konteks yang jelas, sekali gus mengelakkan kekeliruan dan perselisihan faham dalam keluarga.
Apa Berlaku Apabila Hutang Melebihi Aset Anda?
Senario terburuk adalah apabila jumlah hutang anda melebihi nilai aset anda. Dalam keadaan ini, harta pusaka anda dianggap bankrap.
Berita baiknya, keluarga anda tidak akan bertanggungjawab untuk menanggung hutang yang masih ada. Di Malaysia, harta pusaka yang tidak diselesaikan akan dianggap seperti satu kes kebankrapan. Aset yang ada akan digunakan untuk membayar hutang-hutang pemiutang mengikut keutamaan undang-undang, dan apabila dana tersebut habis, baki hutang akan dihapuskan.
Pemiutang tidak boleh menuntut aset peribadi keluarga anda. Hutang tersebut akan berakhir dengan harta pusaka.
Berikan Jaminan untuk Keluarga Anda Melalui Perancangan Bijak
Hadiah terbaik yang boleh anda berikan kepada keluarga adalah ketenangan fikiran, iaitu kepastian bahawa segala-galanya telah diuruskan untuk mereka apabila tiba masanya.
Memulakan perbincangan tentang kematian dan kewangan bukanlah sesuatu yang mudah, tetapi mengelak daripada berbincang mengenainya hanya akan menyukarkan lagi keadaan untuk orang yang anda sayangi pada masa akan datang. Mulakan dengan berbincang secara terbuka dengan keluarga anda tentang kewangan. Susun dokumen kewangan anda dan semak semula perjanjian pinjaman untuk mengenal pasti mana-mana penandatangan bersama (co-signers) atau penjamin yang mungkin menanggung liabiliti.
Lindungi masa depan keluarga anda dengan polisi insurans nyawa atau insurans gadai janji, dan rancang lebih awal dengan menyediakan wasiat yang jelas tentang siapa yang akan menguruskan harta pusaka anda dan cara aset anda akan diagihkan.
Ingatlah, anda sedang merancang untuk kestabilan kewangan dan kesejahteraan emosi keluarga anda.
Ingin dapatkan tip kewangan yang lebih bijak terus ke telefon anda? Sertai Saluran WhatsApp kami.
