Cara Semak Jika Anda Perlu Failkan Cukai Di Malaysia

KONGSI

Setiap kali musim cukai tiba, mesti soalan yang sama akan  muncul: “Sebenarnya, saya perlu ke hantar borang cukai?” Jawapannya bergantung kepada jumlah pendapatan tahunan anda, punca pendapatan, dan bagaimana anda memilih untuk ditaksir oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). 

Bagi pekerja makan gaji, menghantar borang cukai bukan sekadar kewajipan, tetapi ia adalah cara untuk anda menuntut pelepasan cukai dan mendapatkan semula bayaran lebihan cukai.

Untuk Tahun Taksiran (YA) 2025, e-Filing telahpun dibuka sejak 1 Mac 2026. Tarikh akhir untuk melengkapkan e-Filing pula bergantung kepada jenis pendapatan anda.

Jenis PendapatanBorang CukaiTarikh Akhir (Termasuk Tempoh Ihsan)
Pendapatan bekerja sahaja (Makan gaji)Borang BE30 April 2026 / 15 Mei 2026
Pendapatan perniagaan (Termasuk gaji dan punca pendapatan yang lain)Borang  B30 Jun 2026 / 15 Julai 2026

Jika Anda Pekerja Yang Dibayar Gaji

Bagi pekerja swasta atau kerajaan yang sudah mempunyai Potongan Cukai Bulanan (PCB) daripada gaji, jumlah gaji tahunan yang ditetapkan untuk membayar cukai pendapatan  ialah RM37,333. Jika pendapatan tahunan anda melebihi jumlah tersebut (kira-kira RM3,111 sebulan), maka anda layak untuk dikenakan cukai.

Terdapat beberapa pelepasan asas yang biasa digunakan, seperti RM9,000 untuk individu dan saudara tanggungan, tambahan RM4,000 untuk pasangan (jika berkenaan), dan RM2,000 untuk setiap anak yang belum berkahwin di bawah umur 18 tahun. Terdapat juga rebat cukai sebanyak RM400 (dan tambahan RM400 untuk pasangan), yang terpakai jika pendapatan bercukai anda adalah RM35,000 atau ke bawah.

Had Pendapatan Tidak Dikenakan Cukai

Jika pendapatan tahunan anda berada di bawah had yang disenaraikan untuk jenis taksiran anda, anda tidak perlu membayar cukai. Berikut adalah had yang ditetapkan oleh LHDN.

Jenis TaksiranPendapatan Tahunan (RM)Pendapatan Bulanan (RM)
Diri Sendiri (Bujang /Duda /Ibu Tunggal /Pasangan tiada pendapatan)37,3333,111
Taksiran Berasingan
Berkahwin tanpa anak37,3333,111
Berkahwin dengan 1 anak39,3333,278
Berkahwin dengan 2 anak41,3333,444
Taksiran Bersama
Berkahwin tanpa anak48,0004,000
Berkahwin dengan 1 anak50,0004,167
Berkahwin dengan 2 anak52,0004,333

Pendapatan di bawah had dan ‘tidak perlu failkan cukai’ adalah dua perkara yang berbeza. Jika anda sudah berdaftar dengan LHDN dan mempunyai nombor cukai, anda mungkin tetap perlu menghantar borang cukai walaupun tiada jumlah cukai yang perlu dibayar (RM0).

Anda boleh menyemak sama ada anda mempunyai fail cukai dengan log masuk ke portal MyTax menggunakan nombor MyKad, atau hubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000.

Bagaimana Jika Majikan Sudah Tolak PCB?

Jika majikan anda telah memotong PCB sepanjang tahun, anda mempunyai pilihan untuk menjadikan potongan tersebut sebagai cukai muktamad. Jika anda memilih cara ini, anda tidak perlu menghantar borang e-Filing.

Masalahnya ialahjika PCB anda hanya mengambil kira gaji anda dan beberapa pelepasan asas sahaja. Ia tidak mengambil kira perbelanjaan peribadi anda sepanjang tahun seperti pelepasan gaya hidup (beli buku atau komputer riba), kos perubatan, insurans, pendidikan, atau yuran kursus. Jika anda ada berbelanja untuk beberapa perkara ini, kemungkinan besar anda telah terlebih bayar cukai melalui PCB. Mengisi e-Filing dan menuntut setiap pelepasan adalah satu-satunya cara untuk mendapatkan semula wang anda.

Sebagai contoh, anda berpendapatan RM40,000 pada tahun 2025, dan majikan memotong PCB berdasarkan angka itu. Namun, anda ada membeli komputer riba  (RM3,000) dan melakukan pemeriksaan kesihatan (RM2,000). Jika anda failkan e-Filing, pelepasan RM5,000 ini akan mengurangkan pendapatan bercukai anda kepada RM35,000. Anda mungkin akan mendapat bayaran balik sekitar RM250 (bergantung kepada tahap cukai). Jika tidak failkan, RM250 itu akan ‘hangus’ begitu sahaja. Pastikan anda hantar sebelum tarikh akhir untuk elakkan penalti!

Jika Anda Mempunyai Pendapatan Perniagaan

Peraturan untuk pendapatan perniagaan berbeza dengan pendapatan makan gaji. Jika anda mendapat keuntungan daripada perniagaan, kerja bebas (freelance), atau sebarang kerja bebas, pendapatan itu tertakluk kepada cukai. Tiada had pendapatan minimum seperti pekerja makan gaji. Walaupun anda hanya untung RM3,000 daripada kerja freelance tahun lepas, secara teknikalnya anda perlu mengisytiharkannya.

Untuk membolehkan anda memahaminya dengan lebih jelas, ‘perniagaan’ di sini tidak bermaksud anda perlu ada syarikat berdaftar (Sdn Bhd). LHDN merujuk kepada sebarang aktiviti di mana anda menjana pendapatan sendiri, di luar hubungan majikan-pekerja. Ia merangkumi dua kategori utama:

  • Pemilikan Tunggal atau Bekerja Sendiri: Merujuk kepada sesiapa yang menjalankan perniagaan sendiri. Ini termasuk freelancer, kontraktor bebas, dan peniaga kecil-kecilan.
  • Perkongsian: Usaha niaga di mana dua atau lebih pihak bergabung tenaga atau modal untuk berkongsi keuntungan. Perkongsian itu sendiri tidak dicukai, tetapi setiap rakan kongsi perlu melaporkan bahagian pendapatan mereka secara individu melalui Borang B.

Apa Yang Dikira Sebagai Pendapatan Perniagaan?

Senarai rasmi aktiviti perniagaan LHDN sebenarnya lebih luas daripada yang disangka. Ia merangkumi banyak pekerjaan ekonomi gig dan pendapatan sampingan (side hustle) yang mungkin anda tidak anggap sebagai perniagaan.

  • Perniagaan Tradisional: Kedai runcit, pasar malam, gerai makan, pertanian, serta amalan profesional seperti klinik, firma guaman, dan firma perakaunan.
  • Ekonomi Digital & Kreatif: Perniagaan dalam talian , penulisan iklan (copywriting), YouTube, blog, serta kerja sebagai pelakon, penyanyi, influencer, atau duta produk.
  • Lain-lain: Kerja berasaskan komisen (ejen insurans atau hartanah), pusat tuisyen, ceramah swasta, jualan langsung, stokis, dan perkhidmatan pengangkutan seperti pemandu teksi atau e-hailing (Grab).

Secara ringkasnya, jika anda menjana wang daripada aktiviti di atas, tidak kira sama ada perniagaan berdaftar atau tidak, pendapatan tersebut wajib diisytiharkan.

Jika Anda Ada Kedua-dua Pendapatan (Gaji dan Bisnes)

Jika anda bekerja tetap namun membuat bisnes sebagai pendapatan sampingani , anda perlu mengisytiharkan kedua-duanya dalam borang cukai yang sama menggunakan Borang B (bukan Borang BE). Borang B mempunyai bahagian untuk pendapatan pekerjaan dan pendapatan perniagaan. Segala PCB yang telah dipotong oleh majikan akan diambil kira dalam borang ini.

Apa Langkah Seterusnya Yang Perlu Anda Lakukan?

Tindakan anda bergantung kepada situasi semasa:

  1. Pekerja makan gaji (pendapatan melebihi had): Anda perluhantar borang cukai. Walaupun ada PCB, e-Filing membolehkan anda tuntut pelepasan tambahan (gaya hidup, insurans, dll) untuk dapatkan refund.
  2. Pekerja makan gaji (pendapatan di bawah had): Anda mungkin tidak berhutang cukai, tetapi periksa jika anda mempunyai fail cukai aktif. Jika ada, lebih selamat untuk hantar borang ‘cukai sifar’ daripada membiarkannya kosong.
  3. Pendapatan perniagaan/freelance: Anda diwajibkan memfailkan cukai menggunakan Borang B, tidak kira berapa pun jumlah pendapatan anda.

Anda boleh memfailkan cukai melalui portal MyTax yang telahpun dibuka untuk YA 2025 pada 1 Mac 2026.

Jika anda mempunyai sumber pendapatan yang kompleks, anda boleh hubungi ejen cukai berdaftar melalui direktori di laman web LHDN atau hubungi Hasil Care Line di 03-8911 1000 untuk pertanyaan lanjut.

Ikuti saluran WhatsApp rasmi kami untuk tip kewangan dan kemas kini terkini.

5 1 vote
Penilaian Artikel
Subscribe
Notify of

0 Komen
Inline Feedbacks
View all comments